{Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya dan mereka tidak ragu (dalam keimanan itu) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka serta diri mereka pada jalan Allah. Merekalah orang-orang yang benar (dalam menghayati keimanan/aqidah)}
(al-Hujurat : 15)
Tuesday, March 2, 2010
Gerakan Mahasiswa Tergugat?
Tragedi Kelesuan Politik Kampus-Bah. 1
Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.25-47
Gerakan Mahasiswa Tergugat?
Politik perkauman antara mahasiswa boleh membahayakan kedudukan masyarakat dan penentangan oleh mahasiswa-mahasiswa terhadap 'establishment' boleh membahayakan kedudukan kerajaan. Perkembangan yang berlaku sebelum akta tersebut dilaksanakan jelas menunjukkan bahawa pihak pemerintah telah mulai merasa bimbang terhadap tindak tanduk sesetengah pihak yang ingin menjadikan universiti mengikut cita-cita perjuangan politik mereka.
Walaupun setelah dilaksanakan AUKU pada tahun 1971 kegiatan mahasiswa adalah seperti biasa, malah lebih hebat dari sebelumnya. Selepas akta tersebut dilaksanakan, mereka masih cergas mengadakan demonstrasi serta menimbulkan berbagai isu masyarakat dan politik. Di antaranya yang bersejarah adalah "Demonstrasi Tasik Utara dan Baling" pada tahun 1974.
Ramai pemimpin mahasiswa telah ditangkap termasuk Setiausaha Agong PMUM, Hishamuddin Rais ekoran peristiwa demonstrasi Tasik Utara. Penangkapan pemimpin mahasiswa telah mencetuskan kemarahan mahasiswa Universiti Malaya yang menyebabkan berlakunya rampasan kuasa pentadbiran Universiti Malaya oleh Majlis Tertinggi Sementara (MTS) pada 20hb. September, 1974. Manakala Majlis Tertinggi Nasional (MTN) telah bertindak dan berjaya menyerahkan kembali pentadbiran universiti kepada Naib Canselor.
Pertentangan di antara dua puak yang berlainan pendirian ini telah membuka jalan kepada pihak kerajaan untuk campurtangan. Kerajaan telah bertindak tegas dengan menggantung PMUM. Walaubagaimanapun mahasiswa terus bergiat memperjuangkan hak masyarakat. Kemuncak perjuangan mereka adalah Peristiwa Baling pada bulan November 1974 di mana lebih 4,000 mahasiswa dari beberapa universiti telah bersama petani-petani mengadakan demonstrasi membantah kebuluran yang berlaku di Baling.
Manakala ekoran dari demonstrasi ini, lebih 1,000 mahasiswa daripada beberapa buah universiti telah ditahan dan sebahagiannya dihadapkan ke mahkamah. Gerakan mahasiswa menjadi begitu agresif dan optimis dalam tindakan-tindakan mereka serta mengancam kedudukan pemerintah. Kerajaan telah bertindak dengan meminda akta tersebut pada tahun 1975 supaya kegiatan mahasiswa dapat dikawal. Kerajaan juga telah bertindak mengongkong pergerakan mahasiswa dengan cara mewujudkan sebuah institusi baru yang dinamakan bahagian Hal Ehwal Pelajar untuk mengawal aktiviti mahasiswa.
Perjuangan mahasiswa ketika itu sentiasa bersama dengan penderitaan masyarakat bawahan yang miskin. Sebab itulah setiap kali mahasiswa mengadakan demonstrasi terhadap sesuaru isu penderitaan masyarakat sentiasa mendapat sokongan dan dokongan rakyat. Dua peristiwa terbesar dalam sejarah perjuangan mereka adalah Perisriwa Tasik Utara dan Peristiwa Baling yang berlaku pada penghujung tahun 1974 telah mengakibatkan ramai pemimpin mahasiswa ditangkap dan juga kebebasan berpolitik mahasiswa juga dirampas melalui pindaan AUKU, pada tahun 1975.
Kegiatan mahasiswa selepas pindaan AUKU,1975 jauh berbeza , dengan rakan mereka sebelum akta dikuatkuasakan. Malah ramai pula mahasiswa yang ingin menjadi pemerhati atau pengikut sahaja daripada menjadi pendokong kegiatan kemahasiswaan menyebabkan mereka kekurangan pemimpin yang berwibawa. Ini akan merugikan perkembangan negara di masa akan datang kerana ramai tokoh-tokoh ;politik, kerajaan dan swasta sekarang adalah terdiri dan bekas tokoh-tokoh pemimpin mahasiswa di zaman mereka.
Kalau Peristiwa Baling 1974 menjadi kemuncak perjuangan mahasiswa, tetapi dalam peristiwa Tragedi Memali, Baling pada 19 November 1985 sukar untuk kita mencari suara-suara mahasiswa. Inilah "bahana" Akta Universiti yang berjaya menjajah pemikiran mahasiswa. Mahasiswa-mahasiswa dibawa leka dengan hiburan yang dinamakan dengan kebajikan seperti Pestaria Kebajikan, Konsert Kebajikan dan berbagai-bagai nama lagi.
Bersambung.....