{Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya dan mereka tidak ragu (dalam keimanan itu) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka serta diri mereka pada jalan Allah. Merekalah orang-orang yang benar (dalam menghayati keimanan/aqidah)}
(al-Hujurat : 15)
Monday, March 29, 2010
Baitul MUSLIM- Kahwin kerana apa???
Sesetengah wanita hari ini yang tidak dapat merasakan ‘mahalnya’ sebuah perkahwinan. Malah semacam takut untuk berkahwin. Kurang yakin berkahwin itu seronok, membahagiakan dan dapat beri ketenangan. Lalu hati kecilnya bertanya,“Kahwin untuk apa?”
Kahwin dilihat banyak timbulkan masalah, menyebabkan ada wanita yang rela tidak berkahwin.
Dalam hidup ini, kita tidak boleh menggunakan akal semata-mata. Perkahwinan itu sunnah Rasulullah s.a.w. dan Rasulullah bersabda, ‘Siapa yang tidak mengikut sunnahku, bukanlah ia dari golonganku.’ Dengan mengikut sunnah Rasulullah dalam berumah tangga, ia akan melahirkan ketenangan. Kita jangan tengok secara negatif, kita kena tengok yang positif. Bukanlah perkahwinan itu yang menyebabkan masalah tapi cara melaksanakannya.
Sebenarnya tak kahwin itu menyebabkan tidak tenang. Kalau Allah kata dengan berkahwin dapat ketenangan, Allah akan beri. Apa yang wanita selalu takut bila hendak kahwin? Takut risiko tidak dapat suami yang baik. Sebenarnya itu risiko kedua. Risiko pertama, celik mata saja kita tidak dapat berhubung, tidak dapat mengingati Allah.
Bila kita berhubung dengan Allah sepanjang masa, hati kita dipegang oleh hidayah Allah. Jadi, apa saja yang kita buat akan jadi amal soleh. Lalu Allah akan beri kehidupan yang baik (termasuk kehidupan berumah tangga).Kalau tak berhubung dengan Allah, syaitan akan berhubung dengan kita. Itu risiko kehidupan yang pertama.
Bila tak dapat buat amal soleh, datang risiko kedua – musibah. Atau Allah datangkan istidraj… kadang-kadang Allah beri badan yang sihat, harta yang banyak, diberi rezeki secara fizikal tapi tidak dapat rezeki dalam bentuk ketenangan.Ketenangan akan jatuh pada hati orang yang yakin pada Allah. Ini formula yang tak boleh dilanggar.
Ada wanita yang belum kahwin-kahwin sebab “Belum ada jodoh” atau “Susah nak cari calon, maklumlah kita ni orang perempuan.” Apa jalan keluarnya?
Saya kata, you pinanglah orang lelaki! Perkara ini tidak salah. Siti Khadijah dulu pun pinang Rasulullah. Buatlah dengan cara yang betul, seperti melalui orang ketiga. Soalnya, macam mana usaha yang dibuat untuk dapat jodoh itu?
Usaha ada dua aspek. Usaha nombor satu, hablumminallah. Kita baik dengan Allah dulu. Kenal pasti apa yang Allah suka. Lepas menyerahkan diri dengan Allah iaitu mengucap dua kalimah syahadah, kita dirikan solat. Solat biar yang betul-betul diterima Allah.
Betul rukun fi’li, rukun qauli dan rukun qalbinya. Kalau hendak tahu sama ada Allah terima atau tidak solat kita, lihat tindak-tanduk kita. Kita pun boleh rasa solat kita lalai atau tidak. Bila kita baik dengan Allah, kita minta pun dengan Allah. Allah taala akan pandu dalam usaha kita. Allah beri panduan. Allah tidak akan menganiayai kita. “Sesungguhnya Allah tidak menganiaya kamu tetapi kamulah yang menganiaya dirimu sendiri,” maksud firman Allah.
Jadi usaha mesti dengan Allah dulu. Barulah kita boleh lakukan perubahan dalam hidup kita. Kita kena muhasabah. Kalau berlaku sesuatu pada diri kita, semak dulu macam mana diri kita dengan Allah.Dalam membuat keputusan, kita susah hendak nilai. Kita terlalu lemah. Kadang-kadang kita ikut luaran saja, sebab itu tersalah pilih pasangan.
Dalam soal ini, Allah kata, ‘Kau perlukan Aku’. Buatlah istikharah supaya dapat calon pilihan yang terbaik, yang boleh melahirkan kehidupan dan zuriat yang baik.
Ada wanita yang rasa rendah diri dan putus asa untuk kahwin sebab pernah dianiaya. “Dulu orang buat saya, orang sihir saya,” luahnya.
Kita jangan risau sangat apa yang orang hendak kenakan pada kita. Kalau kita baik dengan Allah, Allah tidak akan aniaya kita. Sebab itu asas tauhid sangat penting. Asas tauhid adalah asas untuk kenal siapa Allah – Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kaya… segala perbendaraan berada di tangan-Nya.
Maknanya, segala jodoh yang baik ada di tangan Allah. Allah juga maha pemurah. Jadi kalau kita ‘kawan’ baik dengan Allah, apa yang kita hendak bimbangkan? Sebab Yang Paling Kuat ada di sisi kita. Kita tak perlu takut dan bimbang. Mintalah supaya Allah pandu kita. Allah hanya akan memandu orang yang beriman.
Bila hendak pilih jodoh, kita perlu merisik. Apa yang hendak dirisik?
Perkara pertama untuk kenal calon pasangan, selidik solatnya. Macam mana solatnya. Kemudian risik sama ada mengaji Quran atau tidak, dan lain-lain perkara asas.
Bagaimana kalau dia jaga solat tapi akhlaknya kurang atau dia buat perkara-perkara yang tak sepatutnya?
Saya pernah ditanya oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah NGO. Mereka buat kajian masalah keluarga di dalam masyarakat. Dia tanya, ‘Doktor rasa apa punca timbulnya masalah keluarga ini?’ Kata saya, ‘Senang saja. Puncanya mereka tidak solat.’ Dia terperanjat kerana berdasarkan kajiannya, 50 peratus dari keluarga yang terlibat adalah orang yang tahu agama. Orang yang solat.
Ini bukan saya yang cakap tapi Rasulullah yang kata: "Siapa yang solat yang solatnya tidak dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar, sesungguhnya dia tidak solat." Atau dalam hadis lain disebut, sesungguhnya dia bukan semakin hampir dengan Allah tapi bertambah jauh dari-Nya.
Jadi konsep solat adalah ‘mencegah dari perbuatan keji dan mungkar’. Kita berikrar pada Allah lima kali sehari bahawa ‘hidupku, matiku… hanya untuk Allah’ tapi bila keluar dari solat, kita buat perkara yang tidak selari dengan ikrar kita. Sebab itu Rasulullah kata, kita sebenarnya tidak solat.
Solat sebenarnya dapat pastikan kita buat amal soleh, punca ketenangan. Jadi dalam memilih calon pasangan, pertama buat istikharah, kedua selidik. Selidik biar betul-betul, jangan sambil lewa.
Wanita bagaimana yang menjadi pilihan lelaki untuk dijadikan pasangan hidup?
Sebenarnya lelaki berkehendak kepada wanita solehah. Sebab wanita solehah inilah yang dapat melahirkan ketenangan dalam rumah tangga. Menyejukkan pandangan mata. Untuk memilih calon isteri, manusia memang sukakan kecantikan tapi nombor satu mesti agamanya.
Agamanya itu yang akan cetuskan ketenangan. Bukan saja lawa fizikal tapi lawa juga akhlaknya. Lawa yang berkekalan adalah akhlak – itu yang menyejukkan pandangan mata dan hati. Sebab kita hendak tengok dia bukan sehari dua, bukan sebulan dua tapi sepanjang usia perkahwinan.
Cuba tanya pada orang yang berkahwin, kenapa kahwin? Pernah tak orang jawab, saya kahwin kerana Allah. Orang yang kahwin kerana Allah akan memastikan jenis pasangan yang dipilihnya. Dia akan kaji aturan Allah untuk mendapatkan pasangan.
artikel ini di petik dari: http://halaqah.net/v10/index.php?article=27.0
Berkahwin dan bercinta Kerana ALLAH s.w.t
Asslamualikum w.b.t terlebih dahulu saya meminta maaf kepada pembaca blog ini kerana agak lama saya tidak mengupdate blog ini kerana masa tidak mengizin kan dan alhamduliilah sejak berumah tangga makin diberkati, makin di murahi rezeki, lagi matang dalam kehidupan, semakin bahagia, semakin dekat dengan Allah , dan banyak lagi kelebihan Allah s.w.t beri kepada kita..
sepertimana kita tahu,agama Islam adalah agama percintaan dan kasih sayang. Firman Allah di dalam surah Ar-Rum ayat 21, “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”
Apabila dua insan bercinta, ada yang sayang menyayang kerana “cinta berahi” yang wujud di antara mereka. Cinta berahi yang sampai ke jinjang pelamin akan terselamat dari gangguan syaitan. Cinta berahi yang tercemar dengan hasutan syaitan akan berakhir dengen keterlanjuran.
Di dalam keadaan lain, ada yang sayang menyayang kerana Allah. Bercinta sesama makhluk kerana Allah adalah lebih selamat. Ia tidak melukakan hati, tidak meresahkan jiwa, tidak merosakkan akhlak, tidak perlu risau tentang “frust”, tidak perlu melayan perasaan cemburu. Menurut Rasulullah, menyayangi seseorang kerana Allah dapat mendatangkan kemanisan iman.[1] Namun, tidak ramai yang mengetahui caranya.
Menurut Imam Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin, kecintaan seseorang yang hakiki kepada insan lain kerana Allah bukanlah bermaksud mencintai insan itu kerana dzatnya (sifatnya), sebaliknya adalah kerana insan itu dapat mendekatkan diri sendiri dengan akhirat.
Menurut beliau lagi, bahawa seorang lelaki mengahwini seorang wanita soleh supaya terpelihara dari gangguan syaitan, supaya terjaga agamanya, supaya memperolehi anak-anak yang soleh dari wanita itu dan seterusnya anak-anak itu mendoakan untuknya. Lalu apabila lelaki berkenaan mencintai wanita itu kerana semua sebab-sebab di atas, maka dia adalah tergolong sebagai salah seorang pencinta kerana Allah.[2] Perkara ini dinukilankan oleh Al-Ghazali lebih kurang 1000 tahun yang lalu.
Selepas ini, apabila anda mencari cinta, carilah cinta yang wujud kerana Allah. Apabila anda menemui cinta, tanya diri sendiri kenapa anda mencintainya? Apakah kaitan cinta itu dengan akhirat anda?
Dan di bawah ini ada sedikit kupasan berkenaan janji Allah Bagi orang yang mahu berkahwin...
1-"Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji, dan lelaki
yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita
yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah
untuk wanita-wanita yang baik (pula)". (An Nuur : 26)
Bila ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka perbaikilah diri. Hiduplah
sesuai dengan ajaran Islam dan Sunnah Nabi-Nya. Jadilah lelaki yang
soleh, jadilah wanita yang solehah. Semoga Allah memberikan hanya yang
baik buat kita. Amin.
2-"Dan kahwinikanlah orang-orang yang bujang diantara kamu dan
orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang
lelaki
dan perempuan.
Jika mereka miskin, Allah akan memberikan mereka dengan kurniaan-Nya.
Dan Allah Maha Luas (Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui". (An Nur: 32)
Sebagian para pemuda ada yang merasa bingung dan bimbang ketika akan
berkahwin. Salah satu sebabnya adalah kerana belum mempunyai pekerjaan.
Dan yang peliknya ketika para pemuda telah mempunyai pekerjaan pun
tetap
ada perasaan bimbang juga. Sebahagian mereka tetap ragu dengan harta
yang mereka dapatkan dari gajinya. Dalam fikiran mereka terdetik,
"adakah cukup untuk berkeluarga dengan gaji sekian?".
Ayat tersebut merupakan jawapan buat mereka yang masih ragu untuk
melangkah ke alam pernikahan kerana alasan ekonomi. Yang perlu
ditekankan kepada para pemuda dalam masalah ini adalah kesanggupan
untuk
memberi nafkah, dan terus bekerja mencari nafkah memenuhi tuntutan
berkeluarga. Bukan besarnya wang ringgit yang perlu dibimbangkan.
Kelak,
Allah akan menolong mereka yang berkahwin. Allah Maha Adil, bila
tanggung jawab para pemuda bertambah - dengan kewajiban menafkahi
isteri-isteri dan anak-anaknya - maka Allah akan memberikan rezeki yang
lebih. Tidakkah kita lihat kenyataan di dalam masyarakat, kebanyakan
mereka yang bermula dengan kemiskinan, tidak mempunyai apa-apa ketika
menikah, kemudian Allah memberinya rezeki yang melimpah-ruah dan
mencukupkan segala kekurangannya?
3-" Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, iaitu
seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya
supaya
merdeka dan seorang yang bernikah kerana ingin memelihara
kehormatannya".
(HR. Ahmad 2: 251, Nasaei, Tirmidzi, Ibnu Majah hadis no. 2518, dan
Hakim
2: 160)
Bagi siapa saja yang bernikah dengan niat menjaga kesucian dirinya,
maka
berhak mendapatkan pertolongan dari Allah berdasarkan penegasan
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam dalam hadis ini. Dan
pertolongan Allah itu pasti datang.
4-"Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu
isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa
tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan
sayang.
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda
bagi kaum yang berfikir" (Ar Rum : 21)
5-"Dan Tuhanmu berfirman : 'Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan
Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang memalingkan diri
dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina' ".
(Al Mu'min : 60)
Ini juga janji Allah 'Azza wa Jalla, bila kita berdoa kepada Allah
nescaya akan diperkenankan-Nya. Termasuk di dalamnya ketika kita berdoa
memohon diberikan pasangan hidup yang agamanya baik, cantik, taat dan
sbgnya.
Dalam berdoa perhatikan adab dan sebab terkabulnya doa. Diantaranya
adalah ikhlas, bersungguh-sungguh, merendahkan diri, mengadap kiblat,
mengangkat kedua tangan, dll.
Perhatikan juga waktu-waktu yang mustajab dalam berdoa. Di antaranya
adalah berdoa pada waktu sepertiga malam yang terakhir dimana para
malaikat turun dari langit dunia bersama-sama mengaminkan , pada waktu
antara azan dan iqamah, pada waktu turun hujan, dll.
Perhatikan juga penghalang terkabulnya doa. Di antaranya adalah makan
dan minum dari yang haram, juga makan, minum dari usaha dan sumber yang
haram, melakukan apa yang diharamkan Allah, dll.
Manfaat lain dari berdoa bererti kita meyakini kekuasaan Allah,
mengakui
bahwa Allah itu tempat meminta, mengakui bahwa Allah Maha Kaya,
mengakui
bahwa Allah Maha Mendengar, dll.
Sebahagian orang ketika jodohnya tidak sampai-sampai maka mereka pergi
ke dukun-dukun dan bomoh berharap agar jodohnya lancar. Sebahagian
orang
ada juga yang menggunakan guna-guna dan sihir. Cara-cara seperti ini
jelas dilarang oleh Islam. Perhatikan hadis-hadis berikut yang
merupakan
peringatan keras dari Rasulullah Sollallahu 'alaihi wa sallam:
"Barang siapa yang mendatangi peramal nasib / dukun, lalu ia menanyakan
sesuatu kepadanya, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh
malam".
(Hadis sahih riwayat Muslim (7/37) dan Ahmad)
Telah bersabda Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam, "Maka janganlah
kamu mendatangi peramal-peramal nasib itu." (Sahih riwayat Muslim juz 7
hal. 35).
Telah bersabda Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam, "Sesungguhnya
jampi-jampi (mantera) dan guna-guna (sihir) itu adalah (hukumnya)
syirik."
(Hadis sahih riwayat Abu Daud (no. 3883), Ibnu Majah (no. 3530), Ahmad
dan Hakim).
6-"Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat". (Al
Baqarah
: 153)
Mintalah tolong kepada Allah dengan sabar dan solat. Tentunya agar
datang pertolongan Allah, maka kita juga harus bersabar sesuai dengan
Sunnah Nabi Sollallahu 'alaihi wa sallam. Juga harus solat sesuai
Sunnahnya dan terbebas dari bid'ah-bid'ah.
7-"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan,
sesungguhnya
sesudah kesulitan itu ada kemudahan". (Alam Nasyrah : 5 - 6)
Ini juga janji Allah. Mungkin terasa bagi kita jodoh yang dinanti tidak
kunjung tiba. Segalanya terasa sulit. Tetapi kita harus tetap berbaik
sangka kepada Allah dan yakinlah bahwa sesudah kesulitan itu ada
kemudahan.
Allah sendiri yang menegaskan dua kali dalam Surah An- Nasyrah.
8-"Hai orang-orang yang beriman jika kamu menolong (agama) Allah,
nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu".(Muhammad : 7)
Supaya Allah Tabaraka wa Ta'ala menolong kita, maka kita tolong agama
Allah. Baik dengan berinfak di jalan-Nya, membantu penyebaran dakwah
Islam dengan penyebaran buletin atau buku-buku Islam, membantu
penyelenggaraan pengajian, dll. Dengan itu semoga Allah menolong kita.
9-"Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong
(agama)-Nya.Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha
Perkasa".
(Al Hajj : 40)
10-"Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat".(Al
Baqarah
:
214)
Itulah janji Allah. Dan Allah tidak akan menyalahi janjinya. Kalaupun
Allah tidak / belum mengabulkan doa kita, tentu ada hikmah dan kasih
sayang Allah yang lebih besar buat kita. Kita harus berbaik sangka
kepada Allah. Inilah keyakinan yang harus ada pada setiap muslim dan
muslimah.
Wallahu’alam.
referance:
~~~~~~
[1] http://hadith.al-islam.com, Sahih Bukhari #16
[2] Ihya Ulumuddin, Kitab Adab Berkasih Sayang, Bab Erti Persaudaraan Pada Jalan Allah dan Perbezaan Daripada Persaudaraan Pada Jalan Dunia.
Sunday, March 14, 2010
Mahasiswa tidak boleh berpolitik ?
Tragedi Kelesuan Politik Kampus-AUKU Menyekat Mahasiswa Berpolitik?-Bah. 3
Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.25-47
Mahasiswa tidak boleh berpolitik ?
Penglibatan mahasiswa dalam aktiviti politik sudah menjadi lumpuh. Sejak dahulu hingga sekarang, kegiatan politik sukar dipisahkan dari gerakan mahasiswa. Mahasiswa tidak mahu ketinggalan dalam kegiatan politik. Tetapi mereka tidak dibenarkan bergiat cergas dalam politik kepartian. Berbagai usaha dilakukan oleh pihak kerajaan untuk menafikan hak mahasiswa untuk terlibat sama dalam kegiatan di negara ini.
Kesedaran politik di kalangan mahasiswa amat diperlukan untuk menggerakkan gerakan mahasiswa supaya sentiasa aktif dan 'concern' dengan persekitaran mereka. Mereka perlu memahami politik negara supaya matang dengan perkembangan semasa yang berlaku. Dengan ini gerakan mahasiswa tidak hanya sekadar mengadakan aktiviti rutin sahaja sesuai dengan harapan yang diberikan masyarakat kepada mereka untuk menerajui generasi akan datang.
Kegiatan politik mahasiswa disekat sama sekali terutama dengan mewujudkan Seksyen 15 dalam AUKU (pindaan 1975). Peruntukan dalam seksyen ini menghalang sama sekali untuk mah siswa terlibat dalam kegiatan politik, dimana ;
Seksyen 15 (1) dan (2): Melarang pelajar dan pertubuhan pelajar daripada menjadi ahli atau bersekutu dengan mana-mana persatuan, parti kesatuan sekerja dan lain-lain kecuali sebagaimana diperuntukan Perlembagaan Universiti atau diluluskan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor.
Manakala Seksyen 15(3) dan (4): Melarang pelajar pertubuhan pelajar daripada menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik, kesatuan sekerja dan lain-lain badan.
Melalui Seksyen 15(1),(2),(3) dan (4), mahasiswa dilarang sama sekali dari menganggotai mana-mana parti politik, kesatuan sekerja dan seumpamanya. Mereka juga tidak boleh bersuara sama ada untuk menyatakan sokongan, bangkangan ataupun bersimpati kepada pihak terbabit.
Disamping itu terdapat banyak lagi peruntukan lain dalan tersebut yang membatas kegiatan mahasiswa untuk terlibat aktiviti politik. Di antaranya adalah;
Seksyen 7(3): Tiada seorang pelajar boleh menyertai mana-mana perhimpunan yang diadakan kecuali mendapat kebenaran dari Naib Cancelor atau orang yang diberi kuasa olehnya.
Sementara seksyen 11 : Melarang pelajar atau pertubuhan pelajar daripada menjalankan sebarang aktiviti di luar kampus kecuali dengan kebenaran bertulis Naib Canselor.
Dari segi hak asasi manusia, akta ini dikatakan bersifat 'standard' kerana disifatkan bertentangan dengan perlembagaan yang memberikan kebebasan ini kepada rakyatnya. Bagi mahasiswa di luar negara menikmati semuanya ini, malah digalakkan bergiat cergas dan boleh menubuhkan cawangan parti-parti tertentu terutamanya parti pemerintah seperti Kelab UMNO, MCA dan sebagainya di seluruh pelusuk dunia. Tetapi mahasiswa dalam negara dinafikan hak untuk terlibat dalam politik.
Kecenderungan mahasiswa untuk terlibat dalam isu-isu politik tidak terbendung dengan peruntukan yang ada dalam AUKU. Mereka sering menganjurkan forum-forum politik walaupun terpaksa berhadapan dengan berbagai kerenah pihak berkuasa universiti dalam memilih tokoh-tokoh tertentu terutamanya dari pihak pembangkang. Begitu juga mereka sering menganjurkan seminar-seminar politik. Di samping iru mereka juga sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbau politik walaupun terpaksa menghadapi risiko diambil tindakan tatatertib ataupun terpaksa menjawab surat tunjuk sebab kenapa tindakan tatatertib tindak boleh diambil ke atas mereka.
Mahasiswa selepas akta juga tidak mahu ketinggalan melibatkan diri dalam pilihanraya umum kebangsaan. Mereka turut mengadakan 'Pentas Mahasiswa' untuk berkempen menyatakan sikap mereka terhadap isu-isu yang berlaku dalam negara seperti yang terjadi dalam piliharaya umum, 1986 dan 1990. Disamping itu mereka juga mengeluarkan manifesto mereka untuk disebarkan kepada pengundi-pengundi.
Malah Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) pernah bercadang untuk menaja calon mereka dalam Pilihanraya Kecil Bentong sedikit masa dahulu. Tindakan PMUM ini telah mendapat reaksi pro dan kontra dari berbagai pihak berhubung dengan tindakan PMUM untuk menghantar proksi dalam pilihanraya kecil tersebut. Gimik politik beberapa kerat pemimpin PMUM menjadi 'berkesan' bila mereka menamakan Timbalan Presiden PMUM ketika itu, Azmi Tajuddin yang kebetulan akan menamat pengajian sebagai calon mereka.
Bersambung....
Friday, March 12, 2010
Majlis Perwakilan Pelajar Tidak Berfungsi ?
Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.25-47
Majlis Perwakilan Pelajar Tidak Berfungsi ?
Setiap kali sesi baru bermula, isu politik kampus hangat diperkatakan oleh semua pihak yang berminat mengikuti perkembangan ini.. Bilakah pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau piliham kampus akan diadakan? Golongan manakah yang akan menguasai tampuk kepimpinan kampus? Inilah di antara topik yang hangat diperbualkan di kalangan politikus kampus. Mereka seolah-olah begituh minat terhadap perkembangan politik kampus.
Tapi keghairahan mereka terhadap pilihanraya kampus tak ke mana. Habis pilihanraya mereka pun senyap dengan hal masing-masing kecuali dua tiga 'kerat' sahaja. Apa yang MPP nak buat selepas itu, mereka tak ambil pusing lagi. Tugas mereka memilih MPP telah berakhir (?). Mereka sudah tidak berminat lagi untuk mengetahui, apa peranan MPP diadakan ? Kemanakah perjuangan pelajar hendak dihalakan? Untuk siapakah MPP itu?
Majlis Perwakilan Pelajar sendiri tidak "berhak" mencorakkan perjuangannya dengan lebih terbuka dan bebas kerana boleh diambil tindakan undang-undang bila-bila masa. Seolah-olah mereka lebih senang MPP menjadi golongan "yes man" dari bertindak sebagai "presure group" yang membina atau lebih tepat agaknya kalau kita katakan MPP adalah untuk membantu bahagian Hal Ehwal Pelajar di dalam pentadbiran universiti. Kesannya jadilah MPP sebagai badan penganjur program-program bercorak kebudayaan, sukan dan baktisiswa sahaja.
Apa tidaknya? Mereka ini dikongkong dan tidak dibenarkan bersuara lantang menegur atau mengkritik sesuatu tindakan yang dibuat walaupun tindakan tersebut melanggar undang-undang dan mencabul hak kebebasan bersuara yang dibenarkan oleh demokrasi. Mereka ini tidak dibenarkan membuat kenyataan akhbar dan bersuara lantang diugut dengan berbagai peraturan.
Apakah ini satu perkembangan yang sihat untuk melahir pemimpin yang berkaliber generasi 2020? Apa untungnya melahirkan pemimpin "yes man" kepada pembangunan negara? Apakah tidak mungkin negara akan menuju ke gerbang kehancuran kerana melahirkan pemimpin yang tidak berpendirian, rasuah dan pentingkan diri sendiri. Berbagai lagi persoalan lain yang timbul.
Suatu ketika dulu, pemimpin-pemimpin negara percaya terhadap kemampuan mahasiswa memainkan peranan mereka dalam masyarakat. Allahyarham Tun Razak pernah menekankan, "sebagai bakal pemimpin, mahasiswa mestilah menggabungkan pelajaran akademik dengan fahaman praktis terhadap kedudukan masyarakat dan negara di mana mereka terlibat."
Dulu pergerakan mahasiswa tidak pernah disekat, kini zaman itu telah berlalu dan menjadi kenangan dalam sejarah perjuangan mahasiswa. Kita tidak nafikan MPP diberikan sedikit suara di dalam perjalanan pentadbiran universiti. Sekurang-kurangnya dapatlah wakil mahasiswa yang dipilih menduduki MPP memberi sedikit pandangan dalam perjalanan universiti tetapi pendapat yang dibenarkan mestilah tidak bercanggah dengan kehendak-kehendak pentadbiran universiti.
Tanpa disedari sedikit demi sedikit Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) khususnya Persatuan Mahasiswa Universiti (PMU) semakin tidak berperanan. MPP semakin tidak mendapat sokongan. Mahasiswa semakin tidak tahu peranan MPP yang sebenarnya. Pemimpin MPP yang dipilih seharusnya menyedari kehendak mahasiswa dan keadaan semasa. Pemimpin mahasiswa tidak seharusnya bertindak mengikut masa dan "carbon copy" sahaja.
Mereka tidak perlu takut untuk melakukan reformasi dan mencuba beberapa pendekatan baru bagi mengembalikan keunggulan MPP sebagaimana peranannya di zaman silam. Beberapa langkah perlu diambil oleh pemimpin mahasiswa kini khususnya yang terlibat dalam MPP untuk mendekatkan kembali mahasiswa dengan MPP. Buku Gerakan Pelajar Wawasan 2020 (edisi terbaru Buku Gerakan Pelajar : Kepimpinan, Pengurusan dan Cabaran - insyaAllah akan membicarakan perkara ini) memberikan penjelasan lebih lanjut berhubung dengan perkara ini. Kerancakan kembali politik kampus boleh manamatkan zaman "bisu" yang berlaku di kampus-kampus sejak selepas akta
Bersambung...
Wednesday, March 10, 2010
HEP 'berpolitik' dengan pelajar?
Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.25-47
HEP 'berpolitik' dengan pelajar?
Setelah wujudnya Hal Ehwal Pelajar, kebebasan pelajar dianggap sudah tidak wujud lagi. Majlis Perwakilan Pelajar sudah tidak bebas lagi bertindak memperjuangkan kepentingan dan kebebasan mahasiswa dan masyarakat luar. Begitu juga persatuan-persatuan tidak bebas lagi membuat apa-apa keputusan dalam apa-apa jua perkara sebelum merujuk kepada bahagian Hal Ehwal Pelajar.
Memang tidak dapat dinafikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) ini memberikan saham yang besar dalam tragedi ini. Dengan wujudnya HEP selepas pindaan AUKU 1975, peranan mahasiswa dalam mengendalikan kegiatan mereka menjadi semakin kecil malah kadang-kadang HEP berlumba-lumba dengan persatuan mahasiswa unruk mengendalikan sesuatu akhviti.
Segala pergerakan mahasisi mestilah mendapat kelulusan HEP sebelum boleh dilaksanakan di mana kelulusan dan syarat HEP tidak boleh dipertikaikan kerana kuasa terlalu besar diberikan kepada mereka sehingga boleh menentukan perjalanan dan akriviti persatuan.
Peraturan tertentu yang memberikan kuasa kepada Naib Canselor atau Menteri Pendidikan menentukan sesuatu perkara menyebabkan mereka berkuasa untuk 'memalapkan' lagi aktiviti kemahasiswaan sekiranya tidak memenuhi 'cita rasa' Naib Canselor atau Menteri berkenaan. Tetapi hari ini, keadaan seperti ini sudah tidak wujud lagi.
Kebebasan berpesatuan sudah terhad selepas pindaan keramat tersebut. Setiap persatuan yang hendak ditubuhkan mahasiswa mestilah dirujukkan terlebih dahulu kepada bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) bagi mendapat 'green light' sebelum boleh memanjangkan kepada Majlis Universiti untuk mendapat kelulusan. Sebenarnya mahasiswa sudah tidak bebas lagi menubuhkan sebarang persatuan yang mereka kehendaki sekiranya bertentangan denga 'citarasa' HEP. Lain Universiti, lain pula cita rasa pihak berkuasa HEP dalam mentafsir dan melaksanakan akta tersebut.
Sebagai contohnya persatuan-persatuan anak negeri tidak dapat didaftarkan secara rasmi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Tetapi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) persatuan bercorak tersebut dibenarkan dan dapat bergerak aktif. Begitu juga di sesetengah universiti seperti UUM misalnya tidak membenarkan wujudnya persatuan bercorak keagamaan seperti Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) dan sebagainya.
Persatuan-persatuan pelajar juga boleh dipermain-mainkan oleh bahagian Hal Ehwal Pelajar pada bila-bila masa tanpa boleh dipertikaikan dengan menggunakan 'kuasa penuh' yang diperuntukkan kepada mereka. HEP boleh bertindak sewenang-wenangnya kepada pihak-pihak yang enggan 'tunduk' dan menjadi 'yes man' kepada mereka.Di antara cara yang digunakan oleh HEP menyelesaikan perkara adalah mengambil alih pengendalian Program Orientasi atau Haluan Siswa dari pihak Persatuan Mahasiswa Universiti.
Berbagai kerenah birokrasi yang ketat juga sengaja diwujudkan oleh HEP untuk membendung kegiatan berpersatuan. Pihak HEP dengan sewenang-wenangnya boleh membendung kelulusan sesuatu program yang hendak dilaksanakan oleh mahasiswa. Begitu juga masa untuk menunggu kelulusan pendaftaran sesuatu persatuan memakan masa yang lama, kekadangnya memakan masa setahun lebih.
Mahasiswa juga tidak dibenarkan berhubung dengan pertubuhan luar dengan sebebas-bebasnya. Malah untuk menyatakan sokongan moral kepada pertubuhan luar juga tidak dibenarkan walaupun isu tersebut mengenai kebajikan mereka. Contohnya sokongan moral PMUTM pada tahun 1986 kepada Persatuan Ulama Malaysia yang memperjuangkan hak mahasiswa berpurdah yang digantung pengajian mereka telah tidak dibenarkan dengan alasan peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti pindaan 1975 (Akta 30, seksyen 15 ceraian 2,3,4,5) sama ada berbentuk simpati,sokongan,bantahan dan lain-lain yang boleh ditafsirkan demikian.
Begitu juga dengan yang terbaru dalam dekad 1990'an ini, isu "Demonstrasi mahasiswa membantah tindakan kerajaan Terenganu meroboh bangunan Institut Berakan" yang beroperasi di atas tanah kerajaan sejak tahun 1977 lagi telah menyebabkan ramai pemimpin mahasiswa dikenakan tindakan tatatertib. Malah terdapat ramai pemimpin mahasiswa dari UKM, UPM dan UTM yang tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan dalam persatuan mahasiswa serta ada yang dilucutkan jawatan mereka secara paksa.
Pihak HEP hanya bertindak memberikan sedikit kelonggaran ,untuk mengadakan beberapa aktiviti tertentu seperti seminar, kursus, jamuan tahunan, forum dan sebagainya dengan syarat persatuan pelajar janganlah pula mengadakan aktiviti-aktiviti yang boleh ditafsirkan melanggar AUKU (pindaan 1975) sehingga HEP akan mendapat 'kesusahan' dengan pihak atasan.
Selagi projek yang hendak dilaksanakan tidak menyusahkan HEP, persatuan pelajar tidak akan disekat dari meneruskannya. HEP tidak kisah walaupun terdapat 3 atau 4 program dalam satu masa yang dikendalikan oleh persatuan tertentu. Mahasiswa akan berpecah mengikuti salah satu dari program tersebut sekiranya mereka berminat.Dasar pecah dan perintah ini memang baik untuk universiti kerana pelajar tidak dapat bersatu.
Bersambung.....
Tuesday, March 9, 2010
Tragedi Kelesuan Mahasiswa : Kerajaan tidak terlibat ?
Tragedi Kelesuan Politik Kampus
Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.25-47
Dengan wujudnya AUKU juga kekuasaan mahasiswa ke atas kegiatan mereka dan lain-lain kemudahan yang diperuntukkan kepada mereka menjadi terhad. Sebelum akta, pentadbiran alat cetak, perkhidmatan bas, 'loud speaker', sudut pidato, orientasi mahasiswa baru dan sebagainya dikendalikan sendiri oleh Persatuan Mahasiswa Universiti. Tetapi sekarang tugas tersebut diambil alih oleh pihak Pentadbir Universiti dan mahasiswa dikehendaki menjadi 'pelakon tambahan' dengan berbagai syarat setelah memohon untuk melakukannya atau menyertainya.
Mahasiswa tidak lagi mempunyai kuasa terhadap kemudahan yang disediakan kepada mereka setelah HEP diwujudkan dalam pentadbiran universiti untuk menyelaras kegiatan kemahasiswaan. Sedangkan keadaan yang berlaku hari ini adalah sebaliknya di mana HEP bukan lagi bertindak sebagai "koordinator" atau penyelaras, tetap "penguasa penuh" dalam sebarang aktiviti mahasiswa.
Satu lagi kesan yang jelas terasa dalam kegiatan mahasiswa selepas akta adalah kehilangan "Sudut Pidato" yang diharamkan oleh pihal berkuasa. Selama lebih 14 tahun sudut pidato hilang dari aktivili mahasiswa. Tiba-tiba pada 1 Mac, 1989, Sudut Pidato kembali semula buat seketika ke Universiti Malaya dibawah pimpinan Syed Hussein Al-Attas yang baru dilantik sebagai Naib Canselor yang baru. Seramai 23 orang mahasiswa telah berpidato dalam sudut pidato tersebut yang dibenarkan selama sejam.
Walaubagaimanapun sudut pidato kedua yang hendak diadakan selepas itu telah tidak dibenarkan oleh HEP Universiti Malaya setelah Menteri Pendidikan, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan Sudut Pidato yang diadakan semula itu kerana terkeluar dari nilai-nilai 'kesopanan' mahasiswa. Beberapa percubaan untuk mengadakan Sudut Pidato di kampus-kampus lain selepas itu gagal mendapat kelulusan pihak HEP. Itulah Sudut Pidato yang pertama dan terakhir diadakan selepas akta.
Ramai pihak yang mempertikaikan langkah Anwar yang cuba menghalang usaha yang telah cuba dirintis kembali oleh mahasiswa Universiti Malaya itu. Alasan 'kesopanan' yang diberikan oleh beliau tidak munasabah dan telalu lemah untuk dijadikan hujah bagi menyekat program seumpama ini diteruskan kembali. Ramai yang berpendapat Anwar seharusnya insaf bahawa program sebeginilah yang telah melahirkan beliau dan rakan-rakannya sebagai pemimpin yang berkaliber hari ini. Apakah Anwar takut pemimpin-pemimpin mahasiswa selepas AUKU menyaingi kehebatannya?
Inilah tragedi mahasiswa sekarang. Mereka bukan sahaja tidak bernasib baik dan sentiasa menjadi 'cemuhan' masyarakat tetapi kegiatan mereka juga terbantut. Masyarakat sudah tidak menyanjung dan menaruh harapan yang besar kepada rnereka. Di sini dirasakan terdapat banyak masalah yang perlu diselesaikan dan menjadi inti kepada masalah yang sedang dihadapi oleh mahasiswa sekarang. Apakah kerajaan tidak turut terlibat dalam tragedi ini?
Dalam satu pandangan lain, Makmor Tumin dalam tulisannya bertajuk, "Ke arah kecemerlangan mahasiswa: HEP perlu Peka" memberikan tiga faktor utama kenapa berlaku kebekuan dalam perjuangan mahasiswa hari ini, khususnya selepas akta.
Beliau berpendapat; Pertama, mahasiswa sibuk mengejar ijazah kelas pertamanya sahaja lantas tidak mengambil pusing perkara-perkara di sekelilingnya. Pencapaian akademik dianggap sebagai suatu yang fundamental dan menyebabkan mereka hanya mahir menjawab soalan-soalan peperiksaan tetapi bisu bahkan ada yang terpinga-pinga apabila terserempak dengan persoalan-persoalan semasa. Amat kurang mahasiswa yang pergi ke perpustakaan dengan tujuan mengkaji perkara-perkara semasa melainkan dengan tujuan mengkaji perkara-perkara lain ataupun kertas-kertas kerja sahaja.
Kedua, kurang diberikan bimbingan dan tunjukajar di mana di universiti peranan besarnya dimainkan oleh pensyarah sendiri. Pepatah mengatakan, "bagaimana acuan, begitulah kuihnya". Golongan intelektual ini harus dari masa ke semasa memikir, merancang dan seterusnya melaksanakan pelbagai aktiviti untuk memastikan pelbagai aktiviti ini tidak berlaku. Pendedahan kepada dunia luar kampus haruslah diserapkan sejajar dengan kepentingan akademik itu sendiri.
Ketiga, peraturan-peraturan bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang boleh menyekat perkembangan kematangan mahasiswa. Bahagian HEP haruslah mengkaji beberapa tindakann yang sedikit sebanyak membawa kepada kelesuan perjuangan mahasiswa. Majlis Perwakilan Pelajar jangan dijadikan majlis untuk mengiakan sahaja peraturan HEP ini.
BERsambung.....
Sunday, March 7, 2010
Akta Universiti Punca Kelesuan Mahasiswa?
Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.25-47
Akta Universiti Punca Kelesuan Mahasiswa?
Kelahiran Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada tahun 1971 dan diperketatkan lagi dengan pindaan pada tahun 1975 dikatakan berpunca dari kebimbangan pihak berkuasa terhadap kegiatan mahasiswa terkeluar dari garis-garis dan landasan yang dikehendaki oleh pemerintah. Perkembangan-perkembangan yang berlaku sebelum akta tersebut diadakan pada tahun 1971 jelas menunjukkan pemerintah mulai merasa bimbang terhadap tindak tanduk sesetengah pihak yang ingin menjadikan kampus universiti mengikut cita-cita perjuangan politik mereka. Malah setelah akta dilaksanakan pada tahun 1971 pun, kegiatan mahasiswa masih seperti biasa dan kadangkalanya semakin hebat.
Perkara ini diakui oleh Prof. Madya Dr.Sanusi Osman dalam ken kerjanya, "Mengapa Akta Universiti dan Kolej Universiti ditentang". Dalam kertas kerja tersebut, beliau menyatakan "penglibatan dan peranan mahasiswa penting sebagai jurubicara rakyat, imej mereka tinggi dan pengaruh mereka juga meluas dalam masyarakat. Sungguhpun begitu, kelantangan kritikan mereka terhadap dasar-dasar kerajaan, pendedahan di surat-surat khabar mengenai kecurangan dan pernyelewengan kerajaan, pendedahan terhadap pemimpin-pemimpin yang rasuah dan opurtunis yang disertai pula dengan demonstrasi di dalam dan di luar kampus menimbulkan perasaan kurang senang di kalangm elit yang memerintah".
Selama lebih kurang empat tahun ianya diperkenalkan, ternyata ia tidak berjaya menyekat pergerakan pelajar unruk bertindak dan menangani sesuatu isu yang berlaku dalam masyarakat. Ramai pengkaji politik kampus berpendapat, dua peristiwa besar telah menyebabkan akta tersebut diperketatkan lagi pada tahun 1975, iaitu peristiwa demonstrasi Tasik Utara pada bulan September, 1974 dan diikuti pula oleh demonstrasi Baling pada 1 November, 1974. Dua peristiwa menyebabkan AUKU dipinda sekali lagi pada tahun 1975.
Setelah kerajaan membuat pindaan terhadap akta tersebut kebebasan mahasiswa dianggap sudah tidak wujud lagi. Kalau sebelum akta dahulu, mahasiswa dianggap bebas untuk berpersatuan dan boleh menubuhkan apa sahaja persatuan yang dikehendaki demi kepentingan perjuangan dan kebajikan mereka. Berdasarkan kajian akademik dan perbincangan yang dilakukan dalam berbagai seminar, forum dan seumpamanya, dapat disimpulkan bahawa terdapat beberapa peruntukan yang dikatakan amat menyekat kebebasan mahasiswa.
Peruntukan-peruntukan dalam Seksyen 15,16,48,49,51 dan kaedah tatatertib pelajar berserta ceraian-ceraian di bawahnya jelas sekali menunjukkan bahawa ia benar-benar diadakan untuk mengongkong pergerakan mahasiswa. (Penjelasan lanjut terdapat di dalam buku Gerakan Pelajan Kepimpinan, Pengurusan dan Cabaran karya Mohd Shuhaimi Embong).
Dengan peruntukan ini mahasiswa tidak bebas lagi memperjuangkan konsep 'bersama rakyat' sepertimana yang dipelopori oleh rakan-rakan mereka sebelum akta berkuatkuasa. Mahasiswa selepas akta seolah-olah di'penjara' di kampus-kampus dengan kehidupan mereka yang tersendiri. Peruntukan 'ugutan' mental secara halus oleh pihak berkuasa boleh melemahkan pemimpin-pemimpin mahasiswa berbuat sesuatu kerana boleh ditafsirkan melanggar akta dan menjadikan mereka ragu-ragu dan bimbang sama ada apa yang dilakukannya bertentangan dengan akta ataupun tidak. Penderaan mental seperti ini sudah cukup untuk memberi kesan kepada aktiviti kemahasiswaan. Akibatnya kegiatan kemahasiswaan menjadi semakin suram dan tidak bermaya.
Jadi tidak hairanlah kalau kita melihat hari ini mahasiswa tidak selantang mahasiswa sebelum akta dahulu. Mahasiswa kini begitu pasif melihat isu-isu yang berlaku di sekeliling mereka seolah-olah seperti tiada apa-apa yang terjadi. Isu seperti pengharaman Purdah, Pindaan perlembagaan, Akta Mesin Cetak, Peristiwa Tanjung Periuk, Projek Mewah, Tragedi Memali, Isu Tuntutan Bertindih Pulau Baru Putih, Ligitan dan sebagainya, korupsi dan skandal seks di kalangan pemimpin negara, bohsia, bohjan dan lain-lain lagi tidak dipedulikan lagi oleh mahasiswa.
Bersambung...
Tuesday, March 2, 2010
Gerakan Mahasiswa Tergugat?
Tragedi Kelesuan Politik Kampus-Bah. 1
Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.25-47
Gerakan Mahasiswa Tergugat?
Politik perkauman antara mahasiswa boleh membahayakan kedudukan masyarakat dan penentangan oleh mahasiswa-mahasiswa terhadap 'establishment' boleh membahayakan kedudukan kerajaan. Perkembangan yang berlaku sebelum akta tersebut dilaksanakan jelas menunjukkan bahawa pihak pemerintah telah mulai merasa bimbang terhadap tindak tanduk sesetengah pihak yang ingin menjadikan universiti mengikut cita-cita perjuangan politik mereka.
Walaupun setelah dilaksanakan AUKU pada tahun 1971 kegiatan mahasiswa adalah seperti biasa, malah lebih hebat dari sebelumnya. Selepas akta tersebut dilaksanakan, mereka masih cergas mengadakan demonstrasi serta menimbulkan berbagai isu masyarakat dan politik. Di antaranya yang bersejarah adalah "Demonstrasi Tasik Utara dan Baling" pada tahun 1974.
Ramai pemimpin mahasiswa telah ditangkap termasuk Setiausaha Agong PMUM, Hishamuddin Rais ekoran peristiwa demonstrasi Tasik Utara. Penangkapan pemimpin mahasiswa telah mencetuskan kemarahan mahasiswa Universiti Malaya yang menyebabkan berlakunya rampasan kuasa pentadbiran Universiti Malaya oleh Majlis Tertinggi Sementara (MTS) pada 20hb. September, 1974. Manakala Majlis Tertinggi Nasional (MTN) telah bertindak dan berjaya menyerahkan kembali pentadbiran universiti kepada Naib Canselor.
Pertentangan di antara dua puak yang berlainan pendirian ini telah membuka jalan kepada pihak kerajaan untuk campurtangan. Kerajaan telah bertindak tegas dengan menggantung PMUM. Walaubagaimanapun mahasiswa terus bergiat memperjuangkan hak masyarakat. Kemuncak perjuangan mereka adalah Peristiwa Baling pada bulan November 1974 di mana lebih 4,000 mahasiswa dari beberapa universiti telah bersama petani-petani mengadakan demonstrasi membantah kebuluran yang berlaku di Baling.
Manakala ekoran dari demonstrasi ini, lebih 1,000 mahasiswa daripada beberapa buah universiti telah ditahan dan sebahagiannya dihadapkan ke mahkamah. Gerakan mahasiswa menjadi begitu agresif dan optimis dalam tindakan-tindakan mereka serta mengancam kedudukan pemerintah. Kerajaan telah bertindak dengan meminda akta tersebut pada tahun 1975 supaya kegiatan mahasiswa dapat dikawal. Kerajaan juga telah bertindak mengongkong pergerakan mahasiswa dengan cara mewujudkan sebuah institusi baru yang dinamakan bahagian Hal Ehwal Pelajar untuk mengawal aktiviti mahasiswa.
Perjuangan mahasiswa ketika itu sentiasa bersama dengan penderitaan masyarakat bawahan yang miskin. Sebab itulah setiap kali mahasiswa mengadakan demonstrasi terhadap sesuaru isu penderitaan masyarakat sentiasa mendapat sokongan dan dokongan rakyat. Dua peristiwa terbesar dalam sejarah perjuangan mereka adalah Perisriwa Tasik Utara dan Peristiwa Baling yang berlaku pada penghujung tahun 1974 telah mengakibatkan ramai pemimpin mahasiswa ditangkap dan juga kebebasan berpolitik mahasiswa juga dirampas melalui pindaan AUKU, pada tahun 1975.
Kegiatan mahasiswa selepas pindaan AUKU,1975 jauh berbeza , dengan rakan mereka sebelum akta dikuatkuasakan. Malah ramai pula mahasiswa yang ingin menjadi pemerhati atau pengikut sahaja daripada menjadi pendokong kegiatan kemahasiswaan menyebabkan mereka kekurangan pemimpin yang berwibawa. Ini akan merugikan perkembangan negara di masa akan datang kerana ramai tokoh-tokoh ;politik, kerajaan dan swasta sekarang adalah terdiri dan bekas tokoh-tokoh pemimpin mahasiswa di zaman mereka.
Kalau Peristiwa Baling 1974 menjadi kemuncak perjuangan mahasiswa, tetapi dalam peristiwa Tragedi Memali, Baling pada 19 November 1985 sukar untuk kita mencari suara-suara mahasiswa. Inilah "bahana" Akta Universiti yang berjaya menjajah pemikiran mahasiswa. Mahasiswa-mahasiswa dibawa leka dengan hiburan yang dinamakan dengan kebajikan seperti Pestaria Kebajikan, Konsert Kebajikan dan berbagai-bagai nama lagi.
Bersambung.....
Monday, March 1, 2010
Mahasiswa Menggugat
Tragedi Kelesuan Politik Kampus
Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.25-47
Mahasiswa Menggugat
Muhammad Abu Bakar (1973) dalam bukunya "Mahasiswa Menggugat" menyatakan, "kegiatan mahasiswa sebelum akta boleh dibahagikan kepada dua, iaitu aktiviti tahun-tahun permulaan (1959-1965) dan aktiviti-aktiviti zaman peralihan".
Menurut beliau lagi, aktiviti-aktiviti tahun-tahun permulaan tidak begitu rancak. Kegiatan-kegiatan pada ketika itu hanya bertumpu kepada kegiatan sukan dan derma darah. Hanya pada tahun 1962, mereka mula mengorak langkah mendekati masyarakat dengan projek mengutip derma membina masjid dan badan-badan kebajikan.
Kekurangan aktiviti bersama masyarakat telah mendapat perhatian Naib Canselor Universiti Malaya ketika itu, Datuk Sir Alexander Oppenheim. Beliau berkata, "sekalipun usaha-usaha pelajar patut diberi pujian, saya berharap persatuan pelajar patut memikirkan soal melibatkan gerakarmya kepada kebajikan umum yang merangkumi bidang-bidang yang luas".
Gerakan mahasiswa sepatutnya dapat memainkan peranan yang besar dalam masyarakat seperti harapan Naib Canselor Universiti Malaya yang berbangsa Inggeris itu. Tetapi di peringkat awalnya keadaan gerakan mahasiswa tidak membanggakan semua pihak. Tetapi dalam pertengahan tahun 1960'an, suasana kampus menjadi lebih hangat dan tegang di mana kegiatan-kegiatan pelajar pula telah menampakkan perubahan yang besar. Isu-isu yang diperjuangkan oleh mahasiswa universiti makin bertambah dan penyertaan mereka semakh menggalakkan. Keadaan ini berterusan hingga lewat tahun-tahui 1960'an dan awal 1970'an.
Menurut Muhammad Abu Bakar, latar belakang pelajar dari keturunan elit yang menguasai universiti pada awal tahun 1960'an menyebabkan kegiatan bersama rakyat kurang. Di samping itu kesedaran politik di kalangan pelajar adalah kurang berbanding dengan pelajar-pelajar awal tahun 1970'an. Sebahagian besar mahasiswa datang ke universiti hanya untuk belajar semata-mata. Pelajar-pelajar ini tidak mempunyai cita-cita politik yang besar menyebabkan tidak lahirnya "presure group" yang efektif.
Mahasiswa Menggugat ?
Kisah perjuangan mahasiswa telah mendapat tempat dalam akhbar-akhbar luar negara. Kewujudan "Sudut Pidato" atau "Speaker Corner" pada 27hb. Mei, 1966 telah memberikan kesan yang besar dalam gerakan mahasiswa. Perisitiwa ini telah memberi erti yang besar dalam perjuangan mahasiswa Universiti Malaya kerana hampir semua demontrasi yang diadakan selepas tarikh tersebut (khususnya sebelur akta) bermula dengan perbahasan di sudut tersebut. Di "Speaker Corner mahasiswa-mahasiswa mengadakan dailog dan perbahasan mengenai sebarang masalah dengan bebas.
Selepas detik ini kegiatan mahasiswa semakin menonjol. Mereka mula membuat penentangan-penentangan terhadap kegiatan-kegiatan yang tidak diingini yang dilakukan oleh pihak pemerintah atau kuasa-kuasa luar negara. Penentangan ini dilakukan secara terbuka, iaitu dengan mengadakan simposium, debat ataupun berdemonstrasi.
Pada 21 hb. Julai, 1966, mahasiswa mengadakan "Demonstrasi hadapan Kedutaan Amerika Syarikat" di Kuala Lumpur kerana mengutuk pengeboman ke atas Hanoi-Haiphong oleh Amerika Syarikat.Mahasiswa telah membakar patung Presiden Johnsons sebagai menyatakan kemarahan mereka kepada perbuatan Amerika.
Setelah mendapati pihak universiti tidak bersungguh-sungguh melaksanakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama pada waktu itu, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) mengadakan Seminar Bahasa Kebangsaan pada 29 dan 30 hb.Oktober, 1966. Perjuangan mereka tidak berakhir dengan seminar itu, sebaliknya mereka mencabar Tunku Abd.Rahman ke saru rapat umum untuk membuktikan kejujurannya melaksanakan bahasa kebangsaan dalam pentadbiran beliau.
Pada bulan September 1967, PBMUM telah menganjurkan simposium yang bertajuk "Masalah Penduduk Luar Bandar" unruk membincangkan pembelaan keatas rakyat miskin dan terbiar di desa-desa. Dengan cara ini mahasiswa dapat menyampaikan mesej mereka membela penderitaan yang dialami oleh anak-anak petani, persekolahan mereka, masalah pembahagian tanah, masalah kesihatan dan sebagainya.
Keperihatinan mahasiswa membela masyarakat berterusan bilamana berlakunya peristiwa penangkapan dan pemusnahan rumah dan harta benda Hamid Tuah dan pengikutnya di Telok Gong pada bulan Oktober, 1967 oleh Kerajaan Negeri Selangor. Mahasiswa telah mengadakan pameran kehidupan Hamid Tuah, berarak dengan sepanduk dan berpiket di hadapan pejabat SUK Selangor.
Selain peristiwa-perisriwa ini, banyak lagi peristiwa-perisriwa kegiatan mahasiswa. Di antaranya demonstrasi mahasiswa menentang pencerobohan Rusia ke atas Czekoslovakia, penentangan terhadap pemerintah menyediakan sejumlah wang yang banyak membela Rahman Talib yang dituduh melakukan rasuah, demonstrasi mengutuk kerajaan Filipina yang membuat tuntutan ke atas Sabah, penglibatan mahasiswa dalam pilihanraya 1969 dan sebagainya.
Kesedaran mahasiswa ketika itu tentang peranan dan tanggungjawabnya terhadap pembangunan masyarakat dan isu-isu antarabangsa berasaskan kepada kebenaran, keadilan dan kejujuran yang semakin dominan menyebabkan kerapkali mereka dianggap menggugat kedudukan golongan tertentu di kalangan pemerintah.
Kegiatan mahasiswa berterusan dengan berbagai isu sehinggalah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dilaksanakan pada tahun 1971. Kelahiran AUKU adalah berpunca daripada anggapan pemerintah bahawa tanpa apa-apa sekatan ke atas kegiatan politik mahasiswa maka suasana di kampus-kampus universiti akan menjadi kucar kacir. Ini adalah berdasarkan suasana perkauman yang sedia tegang di kampus-kampus ketika itu.
Bersambung....
Subscribe to:
Posts (Atom)