{Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya dan mereka tidak ragu (dalam keimanan itu) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka serta diri mereka pada jalan Allah. Merekalah orang-orang yang benar (dalam menghayati keimanan/aqidah)}
(al-Hujurat : 15)
Tuesday, September 28, 2010
TARBIYYAH ISLAMIYYAH HARAKIYYAH
TARBIYYAH ISLAMIYYAH HARAKIYYAH
A. MUQADDIMAH
Di antara sifat-sifat tarbiyyah Islamiyyah itu, ianya mestilah syumul sebagaimana syumulnya Islam. Ia tidak boleh ditumpukan kepada sebahagian daripada aspek fitrah manusia, dan tanggungjawab rnereka di atas muka bumi ini. Ia tidak boleh ditumpukan kepada aspek kerohanian dan akhlaq sahaja, seperti penumpuan yang dinyatakan oleh bidang tasawwuf dan akhlaq tanpa menafikan bahawa ianya juga adalah wajib.
Ia tidak boleh ditumpukan kepada aspek mengemukakan teori-teori 'aqliyyah sahaja seperti dibincangkan oleh ahli-ahli falsafah, dengan menyedari bahawa 'aqal juga mempunyai peranannya, meliputi roh dan jasad, hati dan 'aqal, akhlaq dan sikap, yang menjadi bekalan di masa senang dan susah, gembira dan derita, damai dan perang, yang memungkinkan seseorang itu menghadapi segala cabaran di dalam diri dan masyarakat yang dibawa oleh sifat baik atau jahat, adil atau zalim.
Oleh itu maka tarbiyyah itu mestilah meliputi tarbiyyah rohaniyyah, tarbiyyah ijtima'iyyah, tarbiyyah jihadiyyah dan sebagainya, berdasarkan kesyumulan Islam di dalam aspek 'aqidah dan kaedah, syari'at dan nizam. Walaupun manusia itu mempunyai sifat-sifat semulajadi, tetapi peranan dan kemampuannya adalah terbatas.
Mestilah ditarbiyyahkan ke arah membina kekuatan 'aqidah yang membina sakhsiyyah dengan sifat-sifat Islam, di mana peranannya dalam gerakan Islam amatlah penting, kerana peranannya bukanlah penyebar dakyah yang bergantung semata-mata kepada kata-kata yang indah dan gaya yang menarik, tetapi peranannya adalah penda'wah yang membentuk umat atau pembantu ke arah itu, atau tenaganya yang penting, sehinggalah ke peringkat menegakkan negara Islam yang memungkinkan Islam itu dilaksanakan dengan syumulnya.
Dan bagi menyempurnakan itu semua pastilah tidak dengan percuma atau dengan harga yang terlalu murah, bukan laksana menunggu turunnya hujan dari langit, atau sekadar KUN FAYAKUN, tetapi ia mestilah melalui proses fitrah manusia yang menjadi 'abdi kepada Allah dan bermatlamat kepada-Nya.
Maka segala-segalanya mestilah dibina di atas iman dan 'amal peribadi atau jama'i, yang ditingkatkan melalui proses ilmu, 'amal, fatanah dan maslahah.Bagi menjelaskan perkara ini saya kemukakan beberapa aspek yang wajib diberi perhatian oleh harakah Islamiyyah dan pendukungnya.
B. 'ILMU
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), la menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar'manusia melaluipena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.(Surah al-'Alaq: Ayat 1-5)
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
.....oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam 'ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).
(Surah al-Taubah: Ayat 122)
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
..... sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu .....
(Surah al-Fathir: Ayat 28)
Berkata Sayyyidina 'Umar bin Al-Khattab Radiyallahu 'anhu:
Perdalamkan pengetahuan tentang agama sebelum kamu menjadi pemimpin.
(Hadith riwayat al-Bukhari)
Seseorang yang berjalan itu mestilah mengenali jalan dan tempat yang dituju dan mempunyai kenderaan yang menyampaikannya ke tempat yang dituju. Sesungguhnya perjalanan di dalam berharakah ini adalah menuju sampai ke akhirat, tiada jalan sebenar melainkan Islam, kerana itulah yang dinyatakan oleh Allah Subhanahu waTa'ala:
Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam .....
(Surah Ali-'Imran : Ayat 19)
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.
(Surah Ali-'Imran: Ayat 85)
Oleh itu mestilah mengenali Islam melalui jalan dan caranya dengan tasawwur yang sebenar. Menjadikannya sebagai 'aqidah, dan mengetahui bahawa syari'atnya seperti 'aqidah juga dalam menentukan sifat-sifat iman dan kufur, syirik dan munafiq, berdasarkan kepada fahaman yang sebenar terhadap kesyumulan dan kesempurnaan seperti yang dinyatakan oleh al-Qur'an dan sunnah Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam.
Perlu difahami juga bahawa seseorang Islam itu mestilah memahami perkara-perkara 'aqidah dan tidak harus bertaqlid dalam perkara 'aqidah.Mestilah memahami perkara-perkara yang membetulkan 'ibadahnya, akhlaqnya terhadap Khaliq dan makhluk, sempadan halal dan haram, perintah dan larangan, sehingga dapat menilai dan mengukur dengan cara Islam dalam setiap perkara dan perkembangan yang ada di hadapannya.
Seterusnya mestilah memahami bahawa wujudnya Islam di muka bumi ini mestilah diwujudkan Hakimiyyatullah dengan hukum Allah itu memerintah urusan hambaNya. Bukan sekadar hamba itu beribadat sekadar melakukan syi'arnya sahaja.
Marilah kita mengambil pengajaran dari seorang Badwi yang memahami Islam dengan bahasa 'Arab yang betul apabila ia mendengar Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam mengajak manusia kepada syahadat:
Lalu Badwi itu berkata:
Perkara ini tidak diingini oleh orang yang berkuasa,
Dan seorang Badwi yang lain pula berkata:
Kalau begitu kamu akan diperangi oleh orang 'Arab dan bukan 'Arab.
Oleh itu maka 'ilmu Islam itu hendaklah difahami dengan bahasanya agar terselamat dari kekeliruan bahasa dan istilah yang lain dari
al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam.
Para Sahabat Radiyallahu 'anhu menerima 'ilmu dari Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam walaupun ada di antara mereka dalam usia yang sudah tua. Mereka sentiasa menuntut 'ilmu sama ada di peringkat Makkiyyah dan Madaniyyah di peringkat da'wah sirriyyah dan da'wah jahariyyah, di masa mukim dan musafir, di masa aman dan perang.
Para Assalafussalih mencari 'ilmu tidak mengira penat dan jauh, walaupun kerana menerima riwayat satu hadith yang ringkas dari Rasulullah Saliallahu 'alaihi wasallam dan mereka tidak jemu belajar walaupun sudah 'alim dan mempelajari perkara yang sama walaupun beberapa kali, kerana dengan 'ilmu dari sumbernya yang sebenar melahirkan 'aqidah yang sebenar yang menggerakkan seseorang itu untuk beramal, dan 'ilmu yang tidak melalui cara yang sebenar hanyalah melahirkan 'ulama' ussu' yang merosakkan bukannya membina.
'Ilmu yang tidak mempunyai nur, maka berlakulah apa yang dinyatakan oleh firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami, kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab meng 'amalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nqfsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya; ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir
(Surah al-A'raf: Ayat 175-176)
Sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam:
Bencana kepada agama itu tiga perkara; orang alim yang jahat, pemimpin yang zalim dan mujtahid yang jahil.(Hadith riwayat al-Dailami)
'Ilmu menjadi salah satu ciri terpenting dalam kepimpinan harakah Islamiyyah kerana ia laksana cahaya yang menyuluh 'aqal dan hati bagi ma'rifah Allah dan segala tuntutannya, serta memandu dengan betul dan mengendalikan urusan dengan tepat sama ada terhadap Khaliq atau makhluk, iaitu 'ilmu yang memberi manfa'at, 'ilmu yang berdasarkan kepada Din Allah bagi membentuk peribadi, memimpin umat dan membina negara, 'ilmu yang kerapkali di sebut di dalam al-Qur'an, di antaranya firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
.....mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata: "Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan 'ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan." Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya,
(Surah al-Baqarah: Ayat 247)
'Ilmu dalam kontek 'aqidah seseorang itu mestilah memahami dan berfikir ke arah menyuburkan iman yang membuahkan 'amal, mengaji dan mengkaji al-Qur'an yang menjadi kitab kepada harakah ini, tunggak dan pergantungannya yang kuat, pemandu dan pengawalnya, penyata dan perlembagaan, menjadi tempat rujukan setiap penda'wah untuk berpandukan kepadanya di dalam ber'amal dan harakah serta menjadi bekalan penting kepada perjalanan perjuangan kita.
Hendaklah juga mengaji dan mengkaji Sunnah Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam contoh perlaksanaan secara langsung dari Allah Subhanahu wa Ta'ala. Kesemuanya itu mestilah dengan renungan dan fahaman yang menunjangkan 'aqidah dan melaksanakan tuntutannya, sehinggalah menyedari tanggungjawab sebagai seorang Islam, menyedari kelemahan dan kecuaian dan menyelesaikannya sama ada terhadap Allah atau peranan khalifah di atas muka bumi ini. Menyedari hakikat ini terhadap diri sendiri, memahami masyarakat sekeliling, saudara-saudara seIslam di dunia seluruhnya.
'Ilmu juga meletakkan seseorang Islam itu mengenal musuhnya. Bukan sahaja mengenal Fir'aun dan Abu Jahal yang sudah diperkenalkan oleh al-Qur'an sebagai contoh, tetapi mengenal musuh-musuh bentuk baru yang sedang berleluasa hari ini dengan berbagai-bagai nama seperti Nasionalisme, Sekularisme, dan sebagainya.
Adalah menjadi suatu hikmah yang besar apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala menurunkan ayat yang pertama daripada al-Qur'an itu yang menyatakan perihal 'ilmu, jalan dan dasarnya kepada Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam dan betapa majlis ilmu diberi keutamaan kepada angkatan pertama para Sahabat Radiyallahu 'anhum bukan sekadar maklumat semata-mata tetapi menjadi pelopor harakah Islamiyyah yang dibina di atas iman yang mendalam, yang penuh kematangan dalam semua keadaan dan tempat.
C. 'AMAL DAN TAZKIAH
Menuju ke arah cita-cita Islam dan melaksanakan tugas-tugas Islam, seseorang itu hendaklah melakukan muhasabah ke atas diri sendiri dan menyedari sejauh mana kedudukannya di dalam Islam di mana ia menda'wahkan orang lain kepadanya, mestilah dikira dari segi istiqamahnya dan iltizamnya dengan Islam, dengan menginsafi firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu ber'aqal?
(Surah al-Baqarah: Ayat 44)
Dan janganlah 'amal yang dikerjakan itu menjadi sia-sia seperti firman Allah Subhanahu wa Ta 'ala:
(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia 'amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.
(Surah al-Kahfi: Ayat 104)
Mereka yang sebenarnya rugi ialah apabila kerugian di akhirat walaupun mendapat keuntungan yang banyak di dunia ini. Keuntungan yang sebenarnya ialah menurut pertimbangan di akhirat walaupun mengalami kerugian yang besar di dunia. Keuntungan itu hanyalah kepada orang-orang yang beriman, mengerjakan 'amal yang salih bermula dengan dirinya sendiri.
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya
(Surah al-Saf: Ayat 2-3)
Sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam:Didatangkan seorang lelaki pada hari qiamat, dia dicampakkan ke dalam neraka, tiba-tiba perutnya keluar berjela-jela, maka dia berpusing-pusing di dalamnya seperti keldai yang berpusing-pusing pada penunggalnya, penghuni neraka berkumpul kepadanya lalu bertanya; tidakkah awak dahulu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran? Dia menjawab: "Ya! Sayalah yang menyuruh orang kepada kebaikan tetapi saya tidak mengerjakannya dan saya juga melarang daripada kemungkaran tetapi saya melakukannya. "(Muttafaq 'Alaihi)
Berdasarkan kepada itu, maka setiap orang yang melibatkan diri dengan harakah Islamiyyah hendaklah menyedari jalan yang berdasarkan kepada fikrah sahaja tidak mendatangkan hasil yang baik, bahkan tidak menjadi pegangan yang kukuh dalam masa yang panjang kalau tidak disertakan dengan 'amal yang ikhlas kerana Allah.Iman dan 'amal salih merupakan dua perkara yang berlaziman dan tidak boleh terpisah.
(BUKU - ISLAM : Fikrah Harakah Daulah - Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang)