{Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya dan mereka tidak ragu (dalam keimanan itu) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka serta diri mereka pada jalan Allah. Merekalah orang-orang yang benar (dalam menghayati keimanan/aqidah)} (al-Hujurat : 15)

Tuesday, February 2, 2010

Malaysiaku di awal 2010



Malaysia di awal 2010

Rakyat Marhaen

2010 bermula dengan hambar bagi Malaysia apabila rumah-rumah ibadat “diganasi” oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Selain daripada gereja, kuil Sikh, surau dan masjid turut menjadi mangsa.

Terbaru, kepala “babi hutan” yang dibungkus dalam beg plastik bersama dengan wang kertas dijumpai di Masjid Jumhuriah dan turut dijumpai di Masjid Imam At-Tirmizi di Taman Seri Sentosa, yang terletak kira-kira empat kilometer dari masjid itu. Kedua-dua insiden itu dikatakan berlaku sebelum bermulanya solat Subuh.

Semoga perlakunya akan tertangkap dan di hukum dengan hukuman yang setimpal dengan percubaan untuk menghuru-harakan keharmonian rakyat Malaysia yang selama ini hidup dalam keadaan aman dan damai.

Nasib baiklah rakyat Malaysia kini semakin bijak dan matang. Internet sedikit sebanyak telah membantu untuk mendemokrasikan maklumat dan rakyat kini telah mempunyai bahan-bahan alternatif selain daripada media arus perdana.

Jika situasi seperti ini berlaku pada tahun-tahun sebelum rakyat mempunyai akses kepada internet seperti tahun 1960an, 1970an dan 1980 an, sudah tentu negara akan berada dalam keadaan huru-hara.

Puji-pujian harus diberikan kepada majoriti rakyat Malaysia tidak kira agama, bangsa dan fahaman politik kerana berjaya mengekalkan keamanan dan keharmonian negara.

Maki-makian kepada segelintir pihak yang masih belum berputus asa untuk menanamkan sifat kebencian sesama rakyat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa. Semoga kerja-kerja jahat dan tidak bertamadun ini tidak akan berterusan.

Imej Malaysia sebagai sebuah negara yang harmoni tercalar berikutan dengan tindakan yang tidak bertanggungjawab ini.

Mahasiswa bangun melawan

Pilihanraya kampus
pada tahun ini telah menggemparkan negara. Sebelum bermulanya pilihanraya kampus tersebut, mahasiswa-mahasiswa dari IPTA yang bergabung dalam persatuan mahasiswa seperti Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (Bantah), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan Pro Mahasiswa (Pro-M) telah menganjurkan demonstrasi untuk membantah penggunaan E-Voting dalam pilihanraya kampus.

Demonstrasi-demonstrasi yang dianjurkan di hadapan Kementerian Pendidikan dan Kompleks Sogo telah berakhir dengan tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis.

Penangkapan yang dilakukan oleh pihak polis tidak melemahkan anak-anak mahasiswa ini daripada terus berjuang untuk membantah perlaksanaan E-Voting.

Selepas keputusan pilihanraya kampus diumumkan, mahasiswa sekali lagi bangkit melawan. Kumpulan Pro-M dari Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berdemonstrasi bagi membantah keputusan pilihanraya kampus yang dianggap tidak adil kepada mereka.

Kumpulan Pro-M dari UKM berdemonstrasi oleh kerana mereka mendakwa bahawa keputusan bagi Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Alam Bina adalah tidak tepat.

Demonstrasi tersebut telah menyebabkan dua mahasiswa ditahan. Akan tetapi mereka dibebaskan kemudian dan diminta untuk memberi keterangan di pejabat polis berdekatan.

Kumpulan Pro-M di UM mengecap kejayaan dalam demonstrasi mereka apabila keputusan pilihanraya kampus digantung serta merta. Naib Cancelor universiti berkenaan, Ghauth Jasmon bersetuju untuk menggantung keputusan tersebut selepas mengadakan perundingan dengan wakil daripada kumpulan Pro-M.

Selain daripada itu, Naib Cancelor UM juga membenarkan kumpulan Pro-M untuk melantik perunding bagi menguji sistem e-undi yang didakwa mereka dimanipulasikan. Syabas diucapkan kepada mahasiswa-mahasiswa yang berani untuk mempertahankan hak mereka.

Nampaknya Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) tidak lagi menjadi “momok” untuk menakut-nakutkan mahasiswa untuk aktif dalam dunia aktivisme. Saya percaya, tidak lama lagi, gerakan untuk memansuhkan Auku akan menjadi lebih kuat dan tidak mustahil untuk mencapai kemenangan oleh kerana semakin ramai mahasiswa telah sedar bahawa Auku tidak relevan untuk mereka dan undang-undang tersebut bermaksud untuk menjadikan mereka seperti “robot” yang boleh dikawal.

Perbicaraan Anwar Ibrahim

Perbicaraan kes tuduhan liwat Saiful Bukhari terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bermula pada 2 Febuari. Perbicaraan ini sudah pastinya akan menjadi tumpuan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa.

Perbicaraan ini akan menentukan sama ada Anwar Ibrahim akan terus menjadi Ketua Pembangkang Malaysia ataupun merengkok selama 20 tahun dalam penjara jika disabitkan kesalahan.

Lebih sedekad lalu, Anwar Ibrahim menghadapi perbicaraan diatas tuduhan yang sama selepas dipecat oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Arwah Hakim Augustine Paul yang meninggal dunia baru-baru ini menjadi terkenal pada waktu itu dengan ungkapan “not relevant” setiap kali peguambela Anwar Ibrahim memberikan hujah. Perbicaraan yang dianggap sebagai “sham trial” itu telah dikutuk oleh ramai pihak dari dalam dan luar negara.

Pemecatan dan perbicaraan kes tersebut pada ketika itu telah melahirkan gerakan Reformasi. Kuala Lumpur tidak sunyi daripada demonstrasi demi demonstrasi pada ketika itu.

Peristiwa tersebut juga telah menyebabkan kerjasama diantara parti-parti pembangkang di Malaysia yang akhirnya melahirkan Pakatan Rakyat (PR).

Untuk perbicaraan kali ini, masyarakat antarabangsa turut memberikan perhatian yang serius.

Pergerakan hak asasi manusia antarabangsa, Amnesty International yang berpengkalan di United Kingdom dan mempunyai cawangan serata dunia meminta kerajaan Malaysia untuk menggugurkan dakwaan terhadap Anwar Ibrahim yang dianggap sebagai bermotifkan politik.

“Kerajaan Malaysia masih lagi menggunakan taktik kotor yang sama dalam percubaan untuk mengenepikan Ketua Pembangkang (Anwar Ibrahim) daripada politik,” kata Sam Zarifi, pengarah Asia Pasifik bagi Amnesty International. Beliau turut mendesak agar kes ini digugurkan. (Kenyataan penuh beliau boleh dibaca di amnesty.org)

Jika perbicaraan lebih sedekad lalu melahirkan gerakan Reformasi dan menyatupadukan parti pembangkang di Malaysia, apakah pula yang bakal dilahirkan dalam perbicaraan kali ini?



Tindakan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri yang memberikan lampu hijau kepada golongan yang menentang penggunaan kalimah Allah berdemonstrasi bagi membantah keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada kerajaan telah memberikan petunjuk kepada rakyat Malaysia bahawa tidak salah untuk mempertikaikan keputusan mahkamah.
Maka, jika perbicaraan tuduhan liwat terhadap Ketua Pembangkang Malaysia dianggap tidak berjalan dengan adil oleh penyokong-penyokongnya, tidak salahlah juga untuk membantah keputusan tersebut.
sumber: http://www.harakahdaily.net

Mari Mengaji

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails