{Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya dan mereka tidak ragu (dalam keimanan itu) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka serta diri mereka pada jalan Allah. Merekalah orang-orang yang benar (dalam menghayati keimanan/aqidah)} (al-Hujurat : 15)

Monday, February 22, 2010

Perkembangan Politik Kampus


Politik Kampus Sepintas Lalu-Bahagian 2



Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.13-24


Perkembangan Politik Kampus

Dalam konteks sosial semasa, pergerakan pelajar dalam usahanya membina semula peradaban manusia tidak terbatas dalam lingkungan masyarakat kampus, malah perlu menyeluruh meliputi seluruh masyarakat. Pergerakan pelajar yang mempelopori 'kebangkitan semula Islam' sejak dekad I970'an berjaya menyedarkan semula umat Islam yang lalai. Zainah Anwar (1986) dalam bukunya "Kebangkitan Islam di kalangan Pelajar" yang membuat kajian terhadap perkembangan ini untuk Ijazah Sarjana mengakui keadaan ini paling meluas dan berkesan di universiti-universiti serta Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia.


Penglibatan pelajar-pelajar di dalam budaya politik dalam kontes kebangkitan Islam tidaklah sekadar kesedaran tanpa diikuti dengan penghayatan yang akan mempengaruhi pola-pola penyebaran penyertaan politik kemudiannya. Oleh itu aktivisme pelajar masakini haruslah dilihat sebagai satu rangkaian yang tidak terpisah dari usaha-usaha memperbaharui peradaban dan budaya Islam, bahkan penglibatan mereka mampu menjadi 'catalyst' ke arah proses tersebut [Muhammad Nur Anuar, 1988].

Zainah Anwar menyebut, "alat yang paling berkesan membangunkan gerakan dakwah ialah melalui usrah. Di setiap kampus terdapat banyak kumpulan usrah, biasanya dianggotai oleh tidak lebih daripada sepuluh orang yang berjumpa untuk berbincang tentang Islam. Bagi pelajar-pelajar baru, usrah memainkan peranan penting meningkatkan pengetahuan serta kefahaman mereka tentang Islam. Bukan semua pengikut dakwah menganggotai kumpulan usrah"

Bermula dengan kumpulan usrah yang hanya bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kefahaman Islam sahaja pada mulanya berkembang menguasai politik kampus bila pengaruh Islam semakin mantap dan diterima umum dalam kehidupan kampus. Sejajar dengan pelbagai kefahaman dan method perjuangan Islam, berbagai-bagai 'kumpulan Islam' wujud di kampus.

Kumpulan ini mengenengahkan identiti dan organisasi masing-masing bagi mempengaruhi masyarakat kampus menyokong perjuangan kumpulan mereka. Perlumbaan yang bermula untuk memperkemaskan gerakan dakwah telah bertukar menjadi percaturan politik kampus yang serius di penghujung dekad 1980'an.

Sebahagia besar individu yang aktif dalam kegiatan-kegiatan politik kampus dikatakan telah menggabungkan diri mereka secara tidak langsung dengan penubuhan yang lebih besar di luar kampus. Bagi kumpulan Islam mereka dikatakan ' berhubungan' dengan salah satu dari badan dakwah dan politik seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Parti Islam SeMalaysia (PAS), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Jemaah Tabligh, Darul Arqam dan sebagainya. Disebabkan terdapatnya halangan dari Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), kehadiran badan-badan ini secara langsung tidak dibenarkan, maka mereka berselindung disebalik nama-nama tertentu supaya kehadiran mereka di kampus tidak ketara [Mohd Shuhaimi Embong, 1989]


Gerakan-gerakan dakwah Islamiyyah yang wujud adalah saling pengaruh mempengaruhi antara satu sama lain. Kesemuanya mempunyai peranan yang tersendiri dalam meningkatkan dakwah Islamiyyah di Malaysia. Masing-masing berjaya dengan kekuatan sendiri dan tidak sedikit juga pergeseran yang berlaku antara gerakan-gerakan ini. Sering terdapat konflik yang mencetuskan pergeseran yang berpanjangan antara gerakan-gerakan ini mengenai sesuatu isu dan juga perasaan "kurang senang" di antara satu sama lain.


Disebabkan politik kampus banyak dipengaruhi oleh pertubuhan induk di luar kampus, perpecahan kumpulan pelajar Islam tidak dapat dielakkan. Sikap politik di luar kampus mempengaruhi keadaan di . kampus. Disebabkan sikap ABIM sekarang yang pro kepada UMNO, "anak didik" mereka di kampus juga mengambil sikap yang sama dengan berkompromi atau menyokong kumpulan pelajar nasionalis Melayu yang ditaja oleh UMNO. Mereka tidak lagi dapat bersama dengan kumpulan pelajar Islam yang pro kepada PAS seperti sebelum ini.

Cuma di sesetengah universiti yang politik kampusnya unik seperti di Universiti Kebangsaan Malaysia, kumpulan ABIM (dikenali sebagai ATMA) masih "segan" untuk bersama secara nyata dengan kumpulan pro UMNO (dikenali sebagai TSB) walaupun tidak sebulu dengan kumpulan pro-PAS (dikenali sebagai IPU). Begitu juga dengan kumpulan "Islamic Representative Council (IRC)" yang sebelum ini menyokong kumpulan pro-PAS juga telah "mufarakah" di akhir dekad 1980'an bila ipimpinan mereka menamatkan era persembunyian dengan menubuhkan Jemaah Islah Malaysia (JIM). Sekarang JIM juga dikatakan umula berbaik-baik dengan UMNO.


Perpecahan dan persaingan kumpulan Islam di kampus, betul-betul membayangkan perjuangan pertubuhan "induk" mereka yang lebih besar dalam sistem politik Malaysia. Persaingan antara ABIM dan PAS paling hebat, kerana keduanya tidak memisahkan agama dengan politik. Ini berbeza dengan Jemaah Tabligh dan Darul Arqam yang tidak berminat berpolitik. Tanpa "penyatuan" kembali ABIM dan PAS di peringkat kebangsaan, persaingan diantara kedua-dua kumpulan ini tidak akan berakhir [Zainah Anwar,I990].

Percaturan bertambah kronik bila di sana telah wujud kumpulan nasionalis-pragmatis yang sentiasa mengikuti perkembangan ini. Kewujudan kumpulan nasionalis ini sebagaimana biasa diasaskan mengikut etnik dan bila perlu atau menguntungkan kumpulannya, mereka bergabung mewujudkan satu 'front'. Keadaan ini yang menghidupkan percaturan politik kampus untuk dikaji dan cuba memahami susur-galur isu-isu yang mendapat perhatian mereka.

Bersambung.....

Mari Mengaji

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails