{Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya dan mereka tidak ragu (dalam keimanan itu) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka serta diri mereka pada jalan Allah. Merekalah orang-orang yang benar (dalam menghayati keimanan/aqidah)} (al-Hujurat : 15)

Wednesday, April 20, 2011

Syeikh Muhammad Abduh

BIODATA





Dalam kegawatan ekonomi ummat Islam sekarang, model atau tokoh yang sering diambil adalah daripada kalangan pihak kuffar dan pihak Barat. Lantaran itu, kita melihat ummat Islam tidak maju ke hadapan secara kamil. Kita seharusnya mengambil orang Islam sebagai role model kita. Syeikh Muhammad Abduh merupakan seorang ulama’ yang disegani dan tokoh yang perlu dicontohi. Beliau telah mengorbankan diri, harta, dan seluruh kehidupannya untuk Islam yang tercinta. Syeikh Muhammad Abduh atau nama sebenarnya ialah MUHAMMAD ABDUH, diambil sempena kasih sayang dan ingatan kepada Rasulullah s.a.w. apabila nama tersebut dilengkapkan dengan nama bapanya. Ini dilakukan bertujuan untuk mendapat keberkatan daripada lafaz yang sering digunakan terhadap baginda Nabi Muhammad s.a.w.

Beliau dilahirkan pada tahun 1265 Hijrah bersamaan 1849 masihi di kampung yang lebih dikenali dengan sebutan ‘Mahalat Nasr’ yang terletak di daerah Yuhareen, Mesir. Bapa Syeikh Abduh bernama Abduh bin Hussain Khuriullah yang ada kaitan dengan orang Turki. Ibunya pula dinyatakan berketurunan Umar al-Khattab, khalifah kedua dalam sisitem khulafa’ ar-Rasyidin. Syeikh Abduh berasal daripada keluarga yang sederhana dan tinggal di bawah satu bumbung dengan bilangan ahli keluarga yang ramai.



PENDIDIKAN

Syeikh Abduh juga seperti kanak-kanak lain yang menerima pendidikan formal daripada bapanya sendiri dan seringkali didatangi oleh guru dari luar daerahnya dengan tujuan memberi didikan agama kepadanya. Oleh kerana kepintarannya semula jadinya yang dimiliki oleh Syeikh Abduh, beliau dapat menguasai sekaligus menghafaz al-Quran dalam usia yang tidak mencecah 12 tahun. Selain daripada pendidikan itu, Syeikh Abduh pernah belajar al-Quran di sebuah masjid yang dikenali sebagai “Masjid Ahmadi” yang terletak tidak jauh daripada kampungnya.

Setelah tamat pengajiannya di sini, Syeikh Abduh melanjutkan pengajiannya di sebuah maktab perguruan agama. Setelah tamat pengajiannya di maktab itu , beliau telah memasuki Universiti Al-Azhar. Oleh kerana beliau merasakan sisitem pendidikan yang ada tidak secocok dengannya, beliau telah kembali ke tempat asal dan menjadi seorang petani. Lapangan yang diceburinya ini tidak mendapat restu daripada bapanya kerana bapa Syeikh Abduh mengharapkan agar puteranya berjaya di dalam ilmu pengetahuan. Kemudian Syeikh Abduh telah kembali belajar semula dan tamat kuliahnya pada tahun 1877. Syeikh Abduh berada di institusi pengajian tinggi ini selama 4 tahun. Kemudian, beliau telah bekerja sebagai pensyarah di Universiti Darul Ulum dan Universiti Al-Azhar atas inisiatif Perdana Menteri ketika itu, Radzha Basha.

IDEA

Syeikh Abduh merupakan seorang pengkritik yang sentiasa menimbulkan kontroversi kepada pemerintah. Semasa beliau berkhidmat di universiti tempatan, beliau pernah menyatakan kepada para pelajar bahawa roh kebangsaan yang ada dalam jiwa mereka telah diresapi oleh fahaman asing. Dengan itu, minda mereka telah menjadi beku dan lemah. Pihak Universiti Al-Azahar tidak berasa senang dengan pengaruh Syeikh Abduh terhadap pelajar-pelajar universiti ini, lalu memecatnya daripada jawatan pensyarah di pusat pengajian itu.

Lanjutan daripada itu, Syeikh Abduh telah dibuang daerah ke Beirut, Lebanon dan Perancis. Semasa berada di tempat itu, beliau tidak menghabiskan masanya begitu sahaja. Ketika di Beirut, beliau mengajar ilmu tafsir, tauhid, mantiq, balaghah, Sirah Islam, Fiqah Mazhab Hanafi dan lain-lain.

Pembuangannya ke Perancis adalah disebabkan beliau dituduh terlibat dalam ketegangan yang berlaku yang dikenali dengan nama ‘Pemberontakan Urubiyyah’. Semasa di Perancis, beliau berkesempatan menemui Syeikh Jamaluddin al-Afghani yang berada di situ. Daripada pertemuan singkat itu, telah membuahkan semangat jihad, yang disampaikan oleh Jamaluddin Al-Afghani dan beliau telah memberi amanat kepada Syeikh Abduh iaitu menyuburkan semangat berbakti kepada masyrakat dengan menyemarakkan lagi semangat jihad ke dalam jiwa mereka bagi membanteras fahaman kolot yang bersarang di dalam jiwa masyarakat dan berfikir untuk maju ke hadapan. Semasa di sinilah, kedua-dua tokoh ini telah bergabung tenaga untuk menerbitkan majalah yang diberi nama ‘al-Uruwatil Wuthqa’.


PULANG KE TANAHAIR

Oleh kerana ilmu yang disampaikan oleh Syeikh Abduh adalah suatu kebenaran, maka pihak pemerintah Mesir telah memanggilnya pulang semula ke Mesir untuk berkhidmat dengan kerajaan. Beliau telah diberi tawaran untuk memegang jawatan kadi iaitu jawatan yang tinggi pada masa itu. Dengan jawatan itu, Syeikh Abduh diharapkan sekadar menjawab jawapan permasalahan yang dihadapi oleh pemerintah semata-mata, tetapi Syeikh Abduh bersikap lebih luas iaitu berkhidmat untuk rakyat jelata. Jawatan ini telah disandang oleh beliau sehingga akhir hayatnya.

Semasa beliau melawat kota London untuk memberi ceramah yang dihadiri oleh masyarakat Inggeris, Syeikh Abduh telah menyatakan bahawa orang Inggeris sepatutnya meninggalkan Mesir kerana masyarakat Mesir amat benci kepada golongan tersebut. Menurut beliau lagi, orang Islam tidak dibenarkan memberi wala’ (taat setia) kepada selain orang Islam sendiri.

Selain daripada keberanian Syeikh Abduh menyampaikan ceramah dengan mengkritik terhadap sebuah masyarakat walaupun mereka ada di hadapannya, beliau juga dikenali sebagai seorang yang sering mengutarakan idea kontroversi bagi membela masyarakat Islam daripada segala penghinaan dan serangan.

SUMBANGAN

Dalam masa hayatnya Syeikh Abduh merupakan seorang mujaddid yang sering memberikan saham yang bernilai kepada masyarakat Islam sama ada semasa berada di tanahair atau sewaktu beliau dibuang ke luar negeri. Semasa berada di Syria umpamanya, beliau berkhidmat sebagai pengajar di Maktab Perguruan Tinggi Sultaniah lebih kurang setahun. Sumbangannya yang lain ialah beliau pernah menerbitkan majalah al-Ahram dan diberi amanah untuk mengendalikan sebuah majalah yang dikenali dengan sebutan ‘al-Waqiq al-Mesri’.

Syeikh Abduh juga dikatakan telah mengarang beberapa buah buku yang terkenal. Bukunya yang bertajuk Risalah at-Tauhid telah dijadikan sebagai buku teks di institusi pengajian tinggi Mesir serta bahan rujukan kepada pertubuhan-pertubuhan Islam yang lain. Buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa asing untuk disebarluaskan ke persada masyarakat antarabangsa.

Kehebatan Syeikh Abduh menghadapi sakit sewaktu perjalanannya ke Sudan, namun beliau merahsiakan daripada pengetahuan sahabatnya. Tetapi penderitaan yang dialami Syeikh Abduh akhirnya diketahui oleh sahabatnya. Doktor mengesahkan bahawa penderitaan yang dialami adalah penyakit barah yang telah menjadi kronik. Dengan itu, Syeikh Abduh bercadang untuk merawat penyakitnya di Eropah . Niat tersebut tidak direstui oleh teman-teman Syeikh Abduh lalu doktor menasihatkannya agar membatalkan niatnya.

Pada 11 Julai 1905 Masehi, Syeikh Abduh telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumah sahabatnya, Muhammad Bek Raban di Ramel Iskandariah, Mesir. Kematian Syeikh Abduh bukan sahaja dirasai oleh masyarakat Mesir tempatan, bahkan dirasai oleh komuniti antarabangsa dengan menerima pelbagai sanjungan daripada penulis-penulis yang terkenal sezaman dengannya.

Syeikh Abduh telah meninggalkan satu amanat yang penting di dalam buku karangannya ‘Risalah at-Tauhid ‘. Amanatnya cukup menarik untuk kita jadikan titik renungan bersama iaitu, “Manusia yang hidup menurut aqidahnya, maka luruslah perjalanan hidupnya”. Lantaran itu, kita perlu mengambil iktibar daripada perjalanan hidup Syeikh Abduh yang telah menghadapi pelbagai mehnah dan tribulasi untuk mengembalikan sinar kegemilangan yang kian sirna. Sifat-sifat yang dimiliki oleh beliau wajar kita asimilasikan dalam hati agar kita dapat terus mempertahankan Islam dalam alaf yang akan datang dan untuk selama-lamanya ........Insya-Allah.

sumber: Dewan Ulamak

Mari Mengaji

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails