{Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya dan mereka tidak ragu (dalam keimanan itu) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka serta diri mereka pada jalan Allah. Merekalah orang-orang yang benar (dalam menghayati keimanan/aqidah)} (al-Hujurat : 15)

Saturday, June 25, 2011

Ustaz Fadzil Noor (1937-2002) dalam kenangan

Dari Gudang Ilmu Ke Kancah Siasah


Malaysia semenjak zaman disentuh angin sejahtera Islam sejak ratusan tahun dahulu, tidak pernah gagal untuk menampilkan ulama’ dan pemikir Islam sehingga ada yang bermukim di Mekah untuk menyampaikan ilmu di Masjidil Haram. Ulama’ yang dilahirkan di Tanah Melayu ini bukan sahaja mampu mengajar kitab di masjid namun menjulang senjata untuk menentang penjajah kuffar. Antara ulama’ ini ialah Tuan Guru Haji Hassan Bin Munas, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Ustaz Abu Bakar al Bakir dan ratusan ulama’ lain.

Dengan merdekanya Tanah Melayu pada tahun 1957, pentas siasah negara ini menyaksikan pertarungan ideologi yang pelbagai samada kebangsaan Melayu, sosialisme, Islam dan sebagainya. Pelbagai tokoh muncul dalam menyuarakan aspirasi perjuangan yang diperjuangkan, sebahagiannya mampu bertahan di pentas siasah dan ada yang tersungkur ditelan waktu. Salah seorang insan yang telah melakar nama dalam sejarah politik Islam negara ini ialah Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor.

Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor atau dengan gelaran yang sangat melekat dalam jiwa ummat Islam sehingga kini “Ustaz Fadzil’ merupakan seorang pemimpin dan tokoh politik yang dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, ekoran daripada penampilan negarawan yang dimiliki oleh beliau. Dengan sosok yang kurus, berbusana kemas dengan kancingan baju Melayu yang lengkap, dengan sorotan mata yang hening menggambarkan ketajaman berfikir, beliau memang dilahirkan sebagai pemimpin ummah.

Berbekalkan ilmu pengetahuan yang tinggi terutamanya ilmu-ilmu agama yang diperolehi ketika bertamu di bumi Mesir, beliau dipakejkan dengan pelbagai ilmu lain seperti sosial sains, ditambah dengan kuat membaca dan menelaah. Ilmu-ilmu yang dikutip di universiti kehidupan ini meluaskan ufuk ilmu tokoh ulama’ ini. Perwatakan yang sederhana serta sentiasa berdamping dengan masyarakat, beliau adalah sebutir mutiara yang sangat berharga yang pernah dilahirkan oleh PAS dalam sejarahnya di pentas politik dakwah negara ini. Musuh politik PAS sendiri meletakkan almarhum dengan markah yang tinggi bahkan masyarakat bukan Melayu turut mengkagumi sosok tubuh dengan postur yang sederhana ini. Almarhum menyeruak kehidupan masyarakat tanpa mengira penat lelah dan suka ‘mendengar’ masalah rakyat menyebabkan Ustaz Fadzil sentiasa dikenang dalam sisi putih.

Pakej kepimpinan yang ada pada beliau ini ditempa dalam proses pergulatan hidup yang panjang selain daripada anugerah ilahi kepada umat Islam negara ini, almarhum membesar dengan semangat cinta kepada ilmu, seterusnya meminati bidang dakwah dan politik semasa belajar di bangku menengah lagi.


Latar belakang keluarga


Dato’ Haji Fadzil @ Ali bin Mohd Noor atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Fadzil dilahirkan hasil perkongsian hidup antara Mohd Noor Abdul Hamid dan Hindun Haji Abdul Rahman. Beliau dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor Star, Kedah, beliau merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik.

Takdir ilahi telah mencatatkan bahawa insan ini diuji dengan kehilangan ibubapa tercinta, kedua-dua ibu bapa meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi. Latar belakang keluarga sebelah ibu bapanya adalah dari kalangan keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. Moyang beliau iaitu Tuan Guru Haji Idris Al-Jarumi merupakan salah seorang ulama’ yang disegani berasal dari Wilayah Patani, Thailand dan seorang yang terkenal di Kedah. Wilayah yang sarat dengan pemukiman ilmu ini telah memunculkan ratusan pondok yang subur merendang dengan ilmu Islam.

Darah ulama’ pejuang telah mengalir dalam urat sendi darah Ustaz Fadzil, sehingga menjadikan beliau pemimpin yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman musuh dalam menyampaikan agama Allah.


Pendidikan


Memimpin masyarakat bukan sekadar menjadi insan yang mesra rakyat yang sekadar memenuhi jemputan kenduri kahwin tetapi mestilah dipakejkan dengan ilmu formal dan tidak formal. Almarhum merupakan seorang tokoh yang konsisten dalam menuntut ilmu, sentiasa menimba ilmu bagi menjadi pemimpin yang kredibel.

Sejarah awal pendidikan Ustaz Fadzil bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Star sehingga tahun 1949. Kemudian menyambung pelajaran peringkat menengah di sebuah sekolah yang berpengaruh di Kedah yang telah melahirkan ribuan alim ulama’ iaitu Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama sehingga tahun 1962. Anak muda ini berjiwa besar dan sentiasa kehausan ilmu, beliau bercita-cita besar untuk belajar jauh dari tanahair iaitu di Timur Tengah. Pada tahun 1963 beliau menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar di Mesir (sebuah institusi pendidikan yang paling berpotensi dan berprestij dalam dunia Islam) dengan mendapat biasiswa dari kerajaan negeri Kedah. Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut. Beliau bukan sahaja mendapatkan ilmu daripada dewan kuliah di Al-Azhar tetapi juga menggali mutiara ilmu daripada ulama’-ulama’ Mesir untuk memantapkan ilmu beliau sebagai bekalan dakwah untuk pulang menabur bakti di tanahair.


Perkahwinan


Ustaz Fadzil mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Star, Kedah. Setelah berkahwin, isterinya menemani almarhum belajar di Al-Azhar. Perkahwinan mereka yang sangat bahagia dalam kesibukan belajar dan berjuang telah membuahkan kurniaan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna ’Izzah, Muhammad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas. Beliau bukan sahaja berjaya sebagai ahli politik malah merupakan ketua keluarga yang mithali dalam mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab. Sebahagian anak-anaknya juga terlibat dalam perjuangan Islam seperti Muna’izzah dan menantu beliau Sabki Yusuf.


Bakat Kepimpinan

Potret kehidupan yang digores selama kehidupan telah menyaksikan bakat kepimpinan yang tinggi teradun dalam diri almarhum. Bakat kepimpinan beliau mulai terserlah sejak di bangku sekolah terutamanya di Maktab Mahmud, di mana beliau memiliki kebolehan berpidato dan mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas. Keistimewaan yang ada pada beliau boleh berhujah secara spontan dan berkemahiran tinggi dalam ilmu mantiq. Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).


Perkhidmatan


Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Mahmud, ‘alma mater’ beliau sebelum ke Mesir. Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah Bahagian Pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978. Semasa berkhidmat di UTM, beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran tindakan beliau bertanding dalam pilihanraya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan (DUN) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah. Beliau dilihat tokoh yang berpotensi oleh Perhubungan PAS Kedah sebagai pemimpin masa depan.

Sebagai orang yang celik undang-undang, Ustaz Fadzil menfailkan saman ke mahkamah atas tindakan angkuh pihak pentadbiran UTM tanpa mengikut prosedur dan ternyata beliau di pihak yang benar. Pemecatan beliau oleh pihak pentadbiran UTM tidak sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam perjuangan PAS.

PAS di penghujung dekad 70an dilihat tidak bermaya selepas kekalahan dalam pilihanraya tahun 1978. Terlepas negeri yang menjadi pangkalan politiknya semenjak 1959 iaitu Kelantan. Seorang tokoh besar dakwah dari Indonesia, Dr Mohd Natsir pernah menasihatkan tokoh-tokoh dalam belia Islam di Malaysia supaya segera menguatkan PAS, kerana PAS adalah wadah untuk perjuangan Islam di Malaysia.


Aktiviti Kemasyarakatan


Selain aktif dalam politik Islam dan kerja dakwah, beliau juga pemimpin masyarakat yang bergiat cergas dalam kerja-kerja sosial. Beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Negeri Kedah. Beliau juga pernah menganggotai Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM), sebuah wadah belia dan pemuda Islam di negara ini yang ditubuhkan pada tahun 1971. ABIM telah mengisi ruang kepada tuntutan Islam yang tegas akibat daripada penyertaan PAS ke dalam kerajaan campuran akibat tragedi 13 Mei 1969. ABIM seumpama simbiosis kepada Dewan Pemuda PAS dimana 8000 ahli PAS ialah ahli ABIM dalam dekad 70an, gerakan belia Islam ini sangat diminati kerana berusaha memurnikan perjuangan Islam terutama pendekatan yang dibawa oleh Ikhwanul Muslimin. Penerbitan ABIM juga aktif menyebarkan pemikiran tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin dan Jamiat Islami.

Fadzil Nor telah memegang jawatan setiausaha penerangan pertubuhan itu dari tahun 1973 hingga 1974. Beliau pernah memangku jawatan Presiden ABIM apabila Presidennya ketika itu, Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA (Anwar ditahan di bawah ISA akibat demonstrasi Baling yang menjadi mercu tanda kepada kebangkitan pelajar di negara ini. Beliau telah dibebaskan pada tahun 1976). ABIM yang ditubuhkan pada tahun 1971 telah mengisi kelompangan dunia ‘anti establishment’ akibat PAS yang menyertai kerajaan campuran. Almarhum ialah orang penting ABIM selain daripada Ustaz Wahab Zakaria, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, beliau disifatkan oleh Anwar Ibrahim sebagai orang rujukan dalam menggerakkan ABIM sebagai gerakan sosio dakwah yang penting dalam dekad 70an. Jaringan kader ABIM di seluruh negara ini juga akhirnya telah ramai menyertai PAS pada awal tahun 80an terutama selepas Anwar menyertai UMNO.

Sepanjang penglibatan dalam ABIM sebagai sosok utama perjuangan, beliau turut terlibat dalam demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974. Beliau juga terkenal sebagai penggiat tarbiah dalaman ABIM. Beliau banyak bergerak mengisi program usrah, tamrin dan seminar perkaderan di pelbagai tempat. Gerakan belia Islam ini juga banyak menerbitkan buku-buku fikrah dan harakah yang dituang oleh tokoh-tokoh seperti Hasan Al Banna, Sayyid Qutb, Maududi, apatah lagi ABIM menjadi gerakan fenomenal di kampus pada dekad 70an. Ustaz Fadzil juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) tahun 1974, sebuah NGO yang penting di negara ini yang telah mewadahkan ulama’-ulama’ untuk mengerakkan kesedaran Islam kepada masyarakat dan kerap kali juga dilihat bertelagah dengan kerajaan BN dalam banyak isu yang bersangkutan dengan syariat dan akidah. Beberapa tokoh PUM juga kini menjadi tonggak penting kepada PAS seperti Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin.

Beliau sangat rapat hubungannya dengan masyarakat dengan menghadiri majlis-majlis keraian, kenduri kendara, menziarahi orang sakit dan kematian. Jika tidak hadir beliau akan memaklumkan atau hadir ke majlis lebih awal daripada masa yang dijadualkan, pendek kata almarhum tidak akan mengecewakan undangan yang diterima. Beliau bergegas pulang dari sidang Parlimen semata-mata untuk meraikan sesuatu majlis yang diadakan oleh penduduk, sikap cakna dan mengambil berat kepada undangan masyarakat menyebabkan beliau sangat disayangi masyarakat.


Penglibatan dalam Politik


Beliau melibatkan diri dalam politik khususnya dengan perjuangan PAS sejak tahun 1959 sewaktu menuntut di Maktab Mahmud. Kecenderungan politik beliau telah dikesan oleh guru-guru dan juga ahli keluarganya. Kedah ialah pangkalan politik Ustaz Fadzil walaupun pernah ditawarkan untuk bertanding di negeri lain yang lebih selamat seperti di negeri Kelantan (Kelantan semenjak pilihanraya 1959 sentiasa membuka pintu untuk calon PAS dari luar Kelantan). Jelapang padi ini kaya dengan sekolah-sekolah agama dan penyokongnya yang setia sehingga telah mencetuskan beberapa insiden berdarah seperti peristiwa Memali dan peristiwa Lubuk Merbau (1985).

Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan PAS Negeri Kedah. Kemudian beliau menganggotai jawatankuasa PAS Kedah. Penonjolan daya kepimpinannya semakin cemerlang telah menyakinkan anggota parti untuk melantik beliau sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat sepenuh masa tahun 1981 hingga 1983. PAS telah menghadapi transformasi kepimpinan pada tahun 1982 apabila Dewan Pemuda Pusat mengusulkan kepimpinan ulama’. Ustaz Fadzil adalah barisan ulama’ muda yang diberikan ruang untuk memimpin pergerakan Islam kontemporari paling tua di Malaysia.

Bintang beliau seumpama kejora di dada langit malam, pada tahun 1983 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Yang Dipertua PAS pada tahun 1989. Pembabitan awal Ustaz Fadzil di dalam kancah politik pilihan raya bermula tahun 1978, di mana PAS telah memberi mandat kepada beliau untuk bertanding di negeri Kedah dalam pilihan raya umum iaitu di kawasan Parlimen Kuala Kedah dan DUN Alor Merah. Bakat dan potensi beliau sejak awal telah dihidu oleh pimpinan PAS Kedah seperti Dato’ Abu Bakar Umar yang mempelawa Ustaz Fadzil untuk membantu PAS di Kedah. Beliau dilihat anak muda yang akan mengisi barisan hadapan parti itu di Kedah apatah lagi dengan pengalamannya yang memimpin ABIM dan organisasi mahasiswa semasa menuntut di Mesir. Dalam pilihanraya tahun 1978 beliau kalah kepada Senu Abdul Rahman, namun pilihanraya itu telah memperkenalkan almarhum kepada pengundi kawasan itu.

Pada tahun 1980, beliau sekali lagi bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan DUN Bukit Raya berikutan kematian ahli DUN tersebut. Tahun 1982 beliau sekali lagi bertanding di kawasan DUN Bukit Raya dan seterusnya berjaya mempertahankan kerusi di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sehingga Pilihan Raya Umum 1995.

Pada 1982 beliau menang dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Haji Safirol Haji Hasim dan calon bebas Mohd Mokhtar Abdullah dengan Majoriti 346 undi, 1986 menang dengan majoriti 2,215 undi mengalahkan calon BN Ahmad Zakuan Haji Ahmad, 1990 mengalahkan calon BN Dato’ Syed Mansor Barakbah dengan majoriti 1,829 dan pada Pilihan Raya Umum 1995 mengalahkan calon BN juga iaitu Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,414. Pada Pada Pilihan Raya Umum 1999, Ustaz Fadzil mencatat dua kejayaan. Dalam Pilihan Raya Parlimen, beliau menewaskan bekas Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Othman Abdul (calon BN) di Pendang. Allahyarham mendapat 22,413 undi berbanding 19,474 undi oleh Othman. Kejayaan ini sangat manis kepada PAS kerana inilah sejarah PAS menang paling besar dalam merebut kerusi parlimen (menang 27 kerusi parlimen).

Di DUN Anak Bukit, Allahyarham mendapat 8,480 undi menewaskan calon BN, Dato’ Abdullah Hasnan Kamaruddin yang mendapat 6,640 undi. Kemenangan ini cukup manis kerana DUN ini adalah berada di pinggir bandar yang menandakan golongan kelas menengah menyokong perjuangan Islam termasuk orang bukan Islam. DUN anak Bukit adalah DUN baru yang dipecahkan melalui persempadanan semula kawasan pilihanraya dan tuah telah menyebelahi Ustaz Fadzil manakala Mohamad Sabu telah memenangi Parlimen Kuala Kedah. (Perlu diingat bahawa Mohd Sabu hanya menang kurang daripada seribu undi) maknanya Ustaz Fadzil telah mendapat banyak undi peribadi daripada luar kelompok PAS. Allahyarham juga berusaha keras agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim dimansuhkan , akta tanpa bicara itu telah memberangus lebih 4000 orang mangsa sejak diperkenalkan pada tahun 1960, al marhum cukup dekat dengan kesengsaraan mangsa-mangsa tahanan ISA tanpa mengira latarbelakang mereka, samada daripada kalangan ahli PAS atau pun tidak. Beliau sangat konsisten dalam menentang akta ini kerana akta ini telah menjaring ramai ahli-ahli PAS dan juga aktivis ABIM sebelumnya.

Pada kira-kira jam 10.30 pagi 23 Jun 2002, Ustaz Fadzil menghembuskan nafas terakhir untuk menghadap Maha Pencipta, Allah SWT. Berbondong-bondong manusia menyerbu Hospital HUKM Kuala Lumpur, menyolati jenazahnya di Madrasah Mustaqimah bandar Tun Razak malah ratusan ribu yang lain telah berhimpun di Kedah untuk menghantar mujahid ulung ini, pemimpin yang akan terus tersemat ingatan tentangnya dihati setiap manusia yang berada dipelantar zamannya. Beliau mewasiatkan untuk disemadikan di tanah Muasassah Darul Ulum yang telah dibangunkan oleh al marhum untuk merealisasikan kompleks pendidikan PAS Kedah. Manusia telah bertali arus mendatangi Muasasah Darul Ulum untuk menziarahi makam beliau yang sangat sederhana, tanpa binaan megah melainkan sentiasa didatangi pengunjung untuk menitip doa kepada mujahid yang telah mewakafkan kehidupannya untuk perjuangan Islam. Semasa saat-saat akhir untuk urusan pengebumian, langit tenang seolah turut berduka, ribuan mata merah berair kesedihan dengan tazkirah ringkas daripada Tuan Guru Mursyidul Am yang sarat dengan makna mendalam seumpama tazkirah Saidina Abu Bakar di hari kewafatan Rasulullah. Kematian adalah kepastian kepada sebuah perjalanan hidup, tinggal lagi bagaimana kita akan memberi makna kepada kehidupan itu.

Oleh: Riduan Mohamad Nor
(Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat)

Mari Mengaji

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
There was an error in this gadget

Melangkah Ke Tahun Baru 2012