IBADAT UNTUK TINGKAT KETAQWAAN
Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Syeikh Sya’rawi berkata, Allah s.w.t memulakan ayat ini dengan melembutkan hukum yang keluar dengan taklif yang datang iaitu puasa seolah-olah berfirman, Hai yang beriman dengan-Ku dan kasih kepada-Ku sesungguhnya Aku fardukan keatas kamu puasa, justeru ketika datangnya hukum bagi siapa beriman dengan-Nya dan sikah sudah tentu taklif yang datang memberi faedah.
Firman Allah,
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu supaya kamu bertakwa.
(Iaitu berpuasa) pada sebilangan hari yang tertentu. Jika di antara kamu ada yang sakit atau di dalam persafiran (lalu ia berbuka) maka wajiblah ia berpuasa (qada sebanyak hari yang dibuka) pada hari-hari yang lain dan wajib di atas orang-orang yang terdaya berpuasa (tetapi meninggalkan puasa kerana keberatan) membayar fidyah, iaitu memberi makan kepada orang-orang miskin dan barang siapa dengan sukarela memberi makan (melebihi kadar yang ditentukan), maka itulah yang lebih baik baginya. (Namun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (dari membayar fidyah) jika kamu mengetahui. (Al-Baqarah: 183-184)
Firman Allah: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kamu supaya kamu bertakwa. Sayid Qutub berkata: Allah mengetahui bahawa pelaksanaan taklif itu merupakan suatu perkara yang mana jiwa manusia memerlukan kepada pertolongan, dorongan dan rangsangan biar bagaimana besar sekalipun hikmat dan faedah yang terkandung di dalam taklif itu hingga jiwa manusia yakin dan merelakannya.
Oleh sebab itulah al-Quran memulakan taklif itu dengan seruan yang mesra kepada para mukminin, iaitu seruan yang mengingatkan kepada hakikat mereka yang semulajadi, dan selepas seruan itu barulah ia menjelaskan bahawa ibadat puasa itu merupakan satu fardu yang tua yang diwajibkan ke atas para mukminin dalam semua agama.
Matlamat utama ibadat itu ialah menyediakan hati mereka untuk diisikan dengan takwa, perasaan yang jernih hening, kesedaran yang peka dan rasa takut kepada Allah.
Demikianlah ayat ini menonjolkan matlamat agung dari ibadat puasa itu iaitu untuk mencapai takwa. Takwa itulah yang bersemarak di dalam hati ketika ia mengerjakan fardu puasa kerana menjunjung perintah Allah dan mengutamakan keredaan-Nya. Takwa itulah yang mengawal hati daripada merosakkan ibadat puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik di dalam hati.
Takwa itulah matlamat yang ditujukan oleh jiwa mereka, dan ibadat puasa hanya merupakan salah satu alat untuk mencapai takwa dan salah satu jalan yang menyampaikan kepada takwa. Oleh sebab itulah ayat ini mengangkat takwa di hadapan mata mereka selaku matlamat yang gemilang yang dituju oleh mereka menerusi ibadat puasa.
Adapun hikmah puasa seperti dinukilkan daripada Fiqh al-Manhaji antaranya, puasa yang sempurna akan menyedarkan hati orang yang beriman bahawa dirinya di bawah perhatian Allah.
Ini kerana orang yang berpuasa akan berasa lapar dan dahaga pada waktu siangnya. Nafsunya ingin makan dan minum namun perasaan yang menyedari dirinya berpuasa menghalang keinginan tersebut kerana melaksanakan perintah Allah.
Dalam menghadapi pertentangan ini, hatinya sedar akan pemerhatian Allah terhadapnya, lalu mengingati ketuhanan Allah dan keagungan kekuasaan-Nya di samping sentiasa menyedari bahawa dirinya hamba yang tunduk patuh kepada hukum Allah dan menurut segala kehendak-Nya.
Bulan Ramadan adalah bulan paling suci. Allah menghendaki semua hambanya memenuhi bulan tersebut dengan amal ketaatan dan yang menghampirkan diri kepada-Nya, di samping menyatakan erti kehambaan mereka setinggi-tinggi kepada yang maha suci dan maha tinggi.
Namun mereka jauh daripada dapat menyatakan demikian di hadapan hidangan makanan, dalam majlis-majlis minuman, selepas kekenyangan dan isi perutnya meruap ke kepala. Pensyariatan puasa Ramadan adalah cara termudah untuk menunaikan hak Allah dan tanggungjawab kehambaan kepada-Nya.
Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat-sifat keras hati dan keterlaluan. Kedua-dua nya bertentangan dengan sifat orang Islam.
Antara asas penting yang membangunkan masyarakat Islam ialah sifat kasih sayang. Namun orang kaya jauh daripada menghayati kasih sayang yang sebenar terhadap orang miskin tanpa merasai sendiri keperitan dan kesempitan hidup mereka.
Oleh itu, bulan puasa adalah waktu terbaik bagi golongan kaya menyelami perasaan orang miskin dan hidup bersama-sama keperitan dan kesulitan mereka.
Mengikut sebuah hadis bahawa syaitan berjalan dalam tubuh anak adam mengikut perjalanan darah. Justeru hendaklah kamu sempitkan perjalanannya dengan cara lapar. Dalam erti kata lain berpuasa boleh melawan kehendak syaitan seterusnya mengikut kehendak Allah.
Allah menyebut kefarduan puasa dan diakhiri dengan perkataan mudah-mudahan kamu bertakwa. Dengan ini jelas kepada kita objektif puasa boleh menatijahkan seseorang bertakwa yang sudah tentu mendapat banyak ganjaran daripada Allah baik di dunia atau akhirat.
Rasulullah s.a.w bersabda: Berpuasalah kamu nescaya kamu sihat. Ini kerana dalam Islam kesihatan terbahagi kepada dua sama ada rohani atau jasmani. Di mana uniknya puasa dapat menyembuhkan dua penyakit rohani dan jasmani dan menggantikan kesihatan untuk kedua-duanya. Ini terbukti dengan pengesahan pakar perubatan moden bahawa amalan berpuasa boleh menaik tarafkan kesihatan seseorang. Adapun sihat rohani sudah dinyatakan oleh Allah berkenaan dengan natijah puasa iaitu takwa.
Adapun hikmah puasa sunat disyariatkan pula adalah untuk meningkatkan pengabdian dan pendampingan diri kepada Allah. Apa-apa pun ibadat yang dilakukan oleh seseorang tetap akan menyebabkan dirinya lebih hampir lagi kepada Allah. Hal ini berdasarkan hadis yang bermaksud: Hamba-Ku sentiasa mendampingi diri-Ku dengan melakukan ibadat-ibadat sunat sehingga aku menjadi kasih kepadanya.
Firman Allah: (Iaitu berpuasa) pada sebilangan hari yang tertentu. Jika di antara kamu ada yang sakit atau di dalam persafiran (lalu ia berbuka) maka wajiblah ia berpuasa (qada sebanyak hari yang dibuka) pada hari-hari yang lain dan wajib di atas orang-orang yang terdaya berpuasa (tetapi meninggalkan puasa kerana keberatan) membayar fidyah, iaitu memberi makan kepada orang-orang miskin dan barang siapa dengan sukarela memberi makan (melebihi kadar yang ditentukan), maka itulah yang lebih baik baginya. (Namun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (dari membayar fidyah) jika kamu mengetahui.
Al-Sonhadji berkata, para ulama berselisih pendapat dalam mentakwilkannya.
Kebanyakan mereka berpendapat ayat ini telah dimansuhkan, kerana kewajipan berpuasa dalam permulaan Islam merupakan kewajipan yang baru yang belum biasa mereka lakukan. Mereka diberi peluang memilih antara dua perkara-puasa atau berbuka dengan membayar fidyah, dan permansuhan (pembatalan) ayat ini diganti dengan ayat yang lain, pada ayat 185 yang bermaksud: Barang siapa di antara kamu yang berada pada bulan Ramadan, maka hendaklah ia berpuasa.
Yakni tidak dibenarkan memilih. Sekumpulan ulama yang lain pula berpendapat, bahawasanya ayat ini tetap teguh tidak dimansuhkan. Mengikut pendapat mereka ayat yang bermaksud: Bagi mereka yang berkuasa (berdaya) berpuasa pada masa mudanya tetapi tidak berdaya pada masa tuanya, bolehlah mereka membayar fidyah sebagai ganti dari puasa.
Kata Ibn Abbas; ayat ini tidak dimansuhkan, tetapi dimaksudkan kepada orang yang sudah tua lelaki atau perempuan yang tidak lagi berdaya untuk berpuasa. Maka bolehlah ia menggantikan puasanya itu dengan fidyah tetapi - tiap sehari memberi makan kepada orang miskin dengan kadar yang mencukupi untuk makan malam dan makan sahur.
Maksudnya: Jika orang itu suka membayar fidyah dengan memberi makan kepada dua orang miskin bagi sehari adalah lebih baik lagi. Maksudnya: Jika kamu berpuasa, tahulah kamu betapa besarnya pengaruh puasa itu kerana dapat mendidik jiwa menjadi baik dan takut kepada Allah.
Ketahuilah bahawasanya tidak ada kebenaran membuka puasa Ramadan bagi orang Islam yang mukalaf dengan tiada keuzuran.
Adapun keuzuran yang membolehkan berbuka puasa ada tiga macam:
Berlayar, sakit, datang haid dan nifas. Mereka itu apabila berbuka wajib mengqada puasanya dengan tidak dikenakan fidyah.
Perempuan yang mengandung dan perempuan yang menyusui, jika khuatir dengan sebab ia puasa akan membahayakan kandungannya atau yang disusukannya, dibolehkan berbuka, kemudian wajib mengqadanya dengan disertai membayar fidyah.
Orang yang sudah tua dan orang yang sakit yang tiada harapan sembuh, boleh berbuka (tidak perlu qada puasa ) dan hanya membayar fidyah sahaja.
Iktibar dan pengajaran ayat:
*Natijah puasa ialah takwa.
*Puasa merupakan syariat umat terdahulu.
*Puasa mempunyai hukum-hukum, adab dan segala syaratnya.
{Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya dan mereka tidak ragu (dalam keimanan itu) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka serta diri mereka pada jalan Allah. Merekalah orang-orang yang benar (dalam menghayati keimanan/aqidah)}
(al-Hujurat : 15)