{Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya dan mereka tidak ragu (dalam keimanan itu) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka serta diri mereka pada jalan Allah. Merekalah orang-orang yang benar (dalam menghayati keimanan/aqidah)} (al-Hujurat : 15)

Thursday, April 29, 2010

Barisan Neraka


Suatu ketika, Muaz bin Jabal r.a. menghadap Rasulullah S.A.W. dan bertanya kepada baginda:

“Wahai Rasulullah S.A.W., tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah S.W.T” Erti firmanNya;

“Pada sangkakala ditiup, maka kamu sekalian datang berbaris-baris” (Surah al-Naba’) Mendengar pertanyaan ini, baginda menangis dan basah pakaian dengan air mata. Lalu menjawab;

“Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepadaku perkara yanag amat besar bahawa umatku masing-masing dengan pembawaan diri mereka sendiri.” Maka Rasulullah menyatakan setiap barisan yang sebanyak 12 barisan.

BARISAN PERTAMA


Diiringi dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih;

“Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya menyakiti hati jirannya. Maka demikian balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KEDUA


Diiringi dari kubur dalam berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih;

“Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya meringan-ringankan solat. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KETIGA

Mereka berbentuk keldai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking.

“Mereka itu adalah orang yang enggan membayar zakat. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KEEMPAT

Diiringi dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut mereka.

“Mereka adalah orang yag berdusta di dalam jual beli. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka

BARISAN KELIMA


Diiringi dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai. Ketika itu,Allah S.W.T. menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar.

“Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka kerana takut diketahui manusia,tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah S.W.T. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KEENAM

Diiringi dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan.

“Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KETUJUH


Diiringi dari kubur tanpa mempunyai lidah dari mulut mereka mengalir nanah dan darah.

“Mereka itu adalah orang yang enggan member kesaksian di atas kebenaran. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KELAPAN

Diiringi dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas.

“Mereka adalah orang yang berbuat zina. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KESEMBILAN

Diiringi dari kubur dengan wajah hitam gelap dan bermata biru sementara di dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh.

"Mereka adalah orang yang memakan harta anak yatim dengan cara yang tidak sepatutnya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka."

BARISAN KESEPULUH

Diiringi dari kubur dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan sopak dan kusta.

"Mereka adalah orang yang derhaka kepada ibu bapa. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka."

BARISAN KESEBELAS

Diiringi dari kubur dalam keadaan buta mata kepala,gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terlanjur memanjang sampai ke perut mereka dan keluar beraneka kotoran.

"Mereka adalah orang yang meminum arak. Maka inilah balsannya dan tempat kembali mereka adalah neraka."

BARISAN KEDUA BELAS

Mereka diiringi dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka datang suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan;

"Mereka adalah orang yang banyak berbuat baik. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, memelihara solat, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Pengasih

Wednesday, April 28, 2010

Kebangkitan Imej 'Pondok' di Kampus?


suka saya untuk menceritakan kembali kepada sahabat-sahabat yang berada di kampus, daripada buku hasil tulisan suhaimi munir, agar sameasama dapat memahami perkara yang telah berlaku dan mungkin akan berlaku sekali lagi di kampus kita..

Kebangkitan Imej 'Pondok' di Kampus?



Ke arah manakah kampus-kampus universiti tempatan hendak dibawa? Persoalan ini masih gawat diperkatakan di kalangan tokoh-tokoh pendidik, politik, masyarakat, aktivis Islam dan sebagainya sejak sekian lama. Hingga sekarang persoalan ini masih belum beres sepenuhnya. Setiap kali berubah teraju kepimpinan utama kampus (Naib Canselor dan sebagainya) ataupun Menteri Pendidikan bertukar persoalan ini menjadi hangat semula buat beberapa ketika.


Ketika bekas pemimpin belia Islam ABIM, Datuk Seri Anwar Ibrahim menguasai pendidikan negara ini sejak pertengahan dekad 80'an, harapan yang begitu besar diletakkan ke atas beliau untuk melaksanakan reformasi pendidikan secara menyeluruh di negara ini. Pemimpin-pemimpin belia Islam lain pun semakin lantang menyuarakan pengislaman ilmu secara bersepadu. Pendidikan rabbani berorientasikan Islam yang diperjuangkan sejak dekad 1970'an yang dulu dikatakan akan menjadi kenyataan oleh beberapa pihak.


Kemunculan Anwar Ibrahim di Kementerian Pendidikan ketika momentum kegiatan Islam semakin mendatar di kampus dikatakan dapat memberikan nafas baru kepada gerakan belia dan pelajar Islam khususnya di kampus. Sesetengah pentadbir kampus juga memberikan reaksi yang positif ke arah itu seperti yang berlaku di Institut Teknologi MARA (ITM) di bawah Dr.Mansor Salleh, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bawah Dr.Ridzuan Mohd Salleh. Lebih-lebih lagi di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di mana Anwar sendiri turut menjadi Presidennya. Tetapi kehadiran Anwar Ibrahim di Kementerian Pendidikan selama setengah dekad tidak berupaya menjadikan kampus berorientasikan Islam apatah lagi melaksanakan pendidikan rabbani.


Kehadiran Anwar di Kementerian Pendidikan adalah sama seperti kehadiran lain-lain Menteri Pendidikan sebelum ini. Tidak ada apa yang harus dibanggakan kepada bekas aktivis belia Islam itu melainkan beliau hanya mempertahankan status 'quo' yang sedia ada dengan sedikit pindaan-pindaan kecil. Harapan gerakan mahasiswa untuk melihat beliau membuat sesuatu kepada Akta Universiti tinggal harapan sahaja.


Anwar yang menjadi Menteri Pendidikan bukan lagi Anwar yang dikenali sebagai Presiden ABIM yang pernah menjadi kebanggaan pemimpin-pemimpin mahasiswa suatu ketika dulu.
Dalam usaha mewujudkan suasana Islam di kampus melalui program-program yang dijalankan, kepimpinan mahasiswa perlu bersungguh-sungguh mengumpulkan tenaga, memerah otak berfikir, mengkaji dan menganalisa strategi bagi menjamin kerja mereka tidak sia-sia. Firman Allah S.W.T; "Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri".


Tetapi dalam masa mengisi kebangkitan Islam, masih ada lagi di kalangan kita yang bersuara sumbang dan mempertahankan apa yang diperjuangkan meskipun terang-terang ianya melewati batas-batas ketentuan yang dibenarkan dalam Islam. Masih ada lagi di antara kita yang sudi menjadi penggerak kepada keruntuhan moral dan akhlak siswa Melayu.


Terdapat pihak yang cuba menjadikan kampus-kampus tempat berpesta dan bersukaria. Berbagai konsert-konsert hiburan diadakan dan kadang-kadangnya mencetuskan kontroversi. Begitu juga denga pergaulan bebas di luar batas-batas agama dan kesusilaan timur hinggakan pernah mencemar nama baik universiti sebagai gedung ilmu.


Jika terdapat gerakan mahasiswa Islam yang cuba membendung budaya ini dari terus menjadi barah masyarakat, pihak-pihak tertentu dengan mudah mengatakan terdapat golongan cuba menghidup imej institusi pondok di kampus-kampus. Mereka mendakwa imej 'pondok' ini menonjol di kampus-kampus yang majoriti mahasiswanya Melayu seperti di UKM, ITM dan UTM. Berbagai hujah-hujah dangkal yang sengaja direka-reka untuk memperkuatkan tuduhan tidak berasas mereka, malah UKM dikatakan 'Universiti Kampung', UTM dikatakan sebagai 'Universiti Tabligh' dan sebagainya.


Gamal Nasir Mohd Ali menulis dalam sebuah akhbar harian, berbahasa Melayu bertajuk, "Imej Pondok di Institusi Pengajian Tinggi" secara melulu menuduh generasi mahasiswa Islam gagal menyesuaikan diri dalam pembaharuan-pembaharuan yang berlaku di depan mata mereka dan menjadi defensif serta bersikap menentang rasional dan modenisasi kerana berfikiran sempit dan ke belakang. Mereka ini didakwa mengekalkan imej pondok bagi menentang arus urbanisasi -industrilisasi serta berpaut teguh kepada ciri-ciri konservatif supaya tidak hanyut dalam perkembangan progresif dan dinamik dengan membawa sikap kolot ke Institusi Pengajian Tinggi.


Bagi mengelakkan tuduhan seperti ini berterusan, kesedaran Islam di kalangan mahasiswa hendaklah ditanggapi dengan penuh tanggungjawab. Sikap mahasiswa Islam yang 'lesu' atau pasif perlu dikikis bagi melahirkan masyarakat kampus yang sensitif dan aggresif. Golongan intelek Islam sewajarnya berfikiran dinamik dan bersikap kritis terhadap aktiviti kemasyarakat, politik, ekonomi, pendidikan dan kepimpinan ummah.


Prof. Madya Annuar Maarof pernah berkata dalam Nada Kampus (akhbar PMUTM), "untuk mengharapkan universiti dapat mengubah setiap individu kampus kearah pembentukan generasi bertaqwa, adalah perkara yang terlalu sukar. Masa yang amat terbatas di kampus selama 3 hingga 5 tahun tidak dapat menyediakan ruang yang cukup untuk 'membasuh' generasi yang telah terdidik selama 13 tahun di dalam satu pendidikan 'non Islamic'. Sesungguhnya 60 peratus daripada satu kelompok masyarakat akan mengikuti sistem pendidikan yang diterimanya di waktu kecil. Hanya 20 peratus yang cuba untuk mengubah. Jadi apalah yang boleh diharapkan sangat" [Annuar Maarof, 1985].


Manakala Prof Diraja Ungku Aziz pemah berkata, "sekularisasi dan sebagainya sudah timbul sejak dulu lagi. Trend dakwah, trend pakai jeans atau trend 'flower people' orang muda ini adalah biasa. Universiti yang baik adalah universiti yang menggambarkan dan mencerminkan masyarakat luar. Dari segi moral, kini bertambah baik. Sekarang ramai wanita muslim yang memakai tudung labuh. Mungkin orang-orang yang 'achievers' mempunyai motivasi yang kuat".


Kenapa kita masih tidak yakin kepada sistem hidup Islam sedangkan Islam menjanjikan suatu suasana yang harmoni dan aman damai sesuai dengan fitrah semulajadi makhluk yang dinamakan manusia. Ideologi-ideologi lain tidak mampu, malah terbukti gagal menangani setiap permasalahan umat manusia. Hanya Islam yang menawarkan penyelesaian yang seadil-adilnya tanpa membezakan warna kulit, kedudukan, ugama dan keturunan. Islam sebagai 'a way of life' sudah menyediakan peraturan yang lengkap sebagaimana firman Allah S.W.T bermaksud; " Dan pada hari ini telah aku sempurnakan bagi kamu ugama kamu dan Aku cukupkan nikmatKu atasmu dan Aku redhai Islam itu sebagai agama kamu."


Mahasiswa mestilah terus berdakwah dengan menanamkan aqidah dan bukannya sibuk mencari teori-teori baru, slogan-slogan baru atau seumpamanya. Mahasiswa jangan angkuh dengan kedudukan rnereka dan mesti mendekati serta membela rakyat dengan ikhlas serta bersama menghidupkan kembali alam kemahasiswaan dengan mengembalikan kerancakan dan kesegaran dunia kampus yang penuh kecemerlangan dan cabaran.

Sunday, April 25, 2010

UKhuwah FILLAH


Setelah lebih kurang lima bulan Nabi dan para Muhajirin berhijrah ke Madinah,, maka untuk mengekalkan persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar atau dengan yang nyata sesama muslimin, Rasulullah mengumpulkan mereka di rumah Anas bin Malik dan sesudah mereka berkumpul, Rasulullah bersabda;

“Hendaklah kamu sekalian bersaudara dengan agama Allah dua orang dua orang. Hamzah bin Abdul Mutalib singa Allah dan singa Pesuruh-Nya bersaudara dengan Zaid bin Haritsah budah Rasulullah”.
Dan demikianlah Nabi menyebut nama-nama sahabatnya dari golongan Muhajirin dan Ansar supaya setiap dua orang bersaudara, seorang daripada Muhajirin dan seorang daripada Ansar. Pada masa itu, diperintahkan bersaudara seramai 100 orang, 50 orang daripada kalangan Muhajirin dan 50 orang daripada kalangan Ansar. Di antara 100 orang itu antaranya;



1.Muhajir Jaafar bin Abi Talib dengan Ansar Muaz bin Jabal,
2.Abu Bakar As-Siddiq dengan Kharijah bin Zuhair,
3.Umar bin Al-Khattab dengan Itban bin Malik,
4. Amir bin Abdillah dengan Saad bin Muaz,
5. Abdurrahman bin Auf dengan Saad bin Rabi’,
6. Zubair bin Awwam dngan Salamah bin Salamah,
7. Uthman bin Affan dengan Aus bin Tsabit,
8. Thalhah bin Ubaidillah dengan Kaab bin Malik,
9. Saad bin Zaid dengan Ubay bin Kaab,
10. Mushab bin Umair dengan Khalid bin Zaid,
11. Abu Hudzaifah bin Utnah dengan Ubbad bin Bisyr,
12. Ammar bin Yasir dengan Hudzaifah al-Yamani,
13. Abu Zar al-Ghifari dengan Munzir bin Amr,
14. Bilal bin Rabah dengan Abu Ruwaihah,
14. Salman al-Farisi dengan Abud Darda’.

Tujuan Rasulullah SAW membina ikatan persaudaraan Islam ini antara lain untuk melenyapkan rasa asing di kalangan sahabat-sahabat Muhajirin di kota Madinah, untuk membangunkan rasa persaudaraan antara satu sama lain di dalam agama Allah, iaitu bahawa “semua orang Islam itu bersaudara”. Seperti mana yang dinyatakan oleh Muhammad Al-Ghazali ialah untuk mencairkan asabiyah jahiliah hingga yang tinggal hanya ruh Islam sahaja dan supaya timbunan perbezaan keturunan, warna kulit dan kedaerahan semua dihancurkan dan yang tinggal hanya Islam, tiada satu pun yang boleh membanggakan seseorang atau merendahkannya kecuali dengan ketakwaan sahaja.


Persaudaraan ini juga untuk saling menolong antara satu sama lain, yang kuat menolong yang lemah, yang mampu menolong yang kurang mampu dan sehingga mewarisi harta pusaka selepas mati yang bukan dari golongan Zawi al-Haram iaitu yang tiada hubungan kekeluargaan. Amalan ini berlaku sehinggalah berlaku perang Badar Kubra dan turun ayat 75 surah Al-Anfal yang berbunyi, “ Orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu adalah lebih berhak terhadap sesamanya”.


Rasulullah SAW menjadikan persaudaraan itu sebagai suatu permeteraian yang berfungsi, bukan hanya sekadar lafaz yang kosong tidak membawa erti, ia adalah amalan yang berkait tuntutan darah dan harta, bukan sekadar ucapan di atas lisan yang tak bertulang tanpa sebarang kesan. Perasaan mengutamakan saudara, sifat tolong menolong dan sikap berdampingan diceritakan dalam ajuran ukhuwwah ini, bagi membekalkan ummat dengan seribu satu contoh unggul lagi unik.

Imam Bukhari r.a. telah meriwayatkan: Setelah mereka tiba di Madinah, Rasulullah terus mempersaudarakan antara Abdurrahman bin Auf dengan Saad bin Rabi’, sehingga beliau berkata kepada Abdurrahman: Sebenarnya aku ini orang Ansar yang terbanyak hartanya, di sini aku hendak bagi dua, isteriku pun dua, kau pilihlah mana seorang daripada mereka yang berkenan di hati kau, dan aku hendak ceraikan, selepas habis iddahnya kau kahwinlah dengannya. Kata Abdurrahman: “Semoga Allah memberkati kau pada keluarga dan harta kau, cuma aku hendak tahu di mana pasar kamu di sini?” Dengan itu Saad menunjukkan pasar Banu Qainuqa’, selepas majlis itu beliau pun terus ke sana membawa barang-barang keperluannya yang lebih untuk dijual di pasar seperti minyak sapi dan mentega. Pada suatu hari, beliau datang menemui Rasulullah dengan wajah yang ceria dan Rasulullah pun bersuara: Ehem! Terus Abdurrahman menjawab: “Sebenarnya daku sudah pun berkahwin”. Tanya Rasulullah: “Berapa maharnya?” Jawab Abdurrahman: “Sebungkal emas”.

Riwayat dari Abu Hurairah menyebut: Maka berkata kaum Ansar kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah bahagikan ladang-ladang tamar kami itu sesama saudara kami al-Muhajirin”. Kata Rasulullah: “Tidak” Kata mereka: “Kami boleh membantu memelihara tamar, kemudian kita berkongsi pada buahnya”. Jawab al-Muhajirin “Kami mendengar dan kami patuhi”.

Ini jelas menggambarkan kemuncak kemurahan kaum Ansar terhadap saudara mereka, kaum Muhajirin. Ia adalah sebahagian daripada pengorbanan, sifat mengutamakan orang lain, kemesraan dan ketelusan hati. Sebaliknya pula kaum Muhajirin tidak pula mengambil kesempatan, yang mereka terima ala kadar setakat yang mereka perlukan sahaja.

Dasar persaudaraan yang dilaksanakan oleh Rasulullah saw adalah kepada landasan akidah Islamiyah yang bersumber daripada Allah SWT yang menghimpun hati para sahabatnya dan menempatkan semua manusia dalam suatu barisan ubudiah hanya kepada-Nya tanpa sebarang perbezaan kecuali ketakwaan dan amal soleh. Ini kerana, tidak mungkin persaudaraan, saling menolong dan saling mengutamakan, dapat berkembang di antara orang-orang yang dipecah belah oleh akidah dan pemikiran yang beraneka ragam, yang masing-masing sentiasa menurut egoisme dan hawa nafsunya sendiri.

Berhubung dengan hikmah dihapuskan hak waris berdasarkan ukhuwwah ini, ternyata sistem pembahagian warisan yang pada akhirnya ditetapkan pun tidak jauh berbeza. Ini kerana, sistem pembahagian warisan yang nyata ditetapkan juga berdasarkan kepada hukum ukhuwwah Islamiyah, yakni orang yang berlainan agama tidak boleh saling mewarisi.

Selama masa pertama hijrah, kaum Muhajirin dan Ansar harus menghadapi tanggungjawab khusus berupa saling membantu dan saling memberi perlindungan disebabkan perpindahan kaum Muhajirin ke Madinah meninggalkan keluarga, rumah, dan harta kekayaan mereka di Mekah. Untuk menjamin terlaksananya tanggungjawab inilah maka Rasulullah SAW mempersaudarakan kaum Muhajirin dan kaum Ansar dengan kesinambungan atau tuntutan tanggungjawabnya adalah bahawa ukhuwwah tersebut harus lebih kuat pengaruhnya daripada jalinan kerabat.

Setelah kaum Muhajirin menetap di Madinah dan semangat Islam menjadi detak jantung dan denyut nadi kehidupan masyarakat baru, maka tibalah saatnya untuk mencabut sistem hubungan kaum Muhajirin dan Ansar yang selama ini dilaksanakan. Ini kerana, di bawah naungan ukhuwwah Islamiyah dengan pelbagai tanggungjawab yang telah mereka hayati, sirnalah segala kekhuatiran akan timbulnya perpecahan di kalangan mereka. Tidak perlu dikhuatirkan lagi jika hubungan kerabat sesama kaum Muhajirin kembali diakui pengaruhnya disamping ikatan Islam dan ukhuwwah Islamiyah.

Disamping itu, sesungguhnya sebelum mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar ini, Rasulullah SAW telah mempersaudarakan antara sesama kaum Muhajirin di Mekah. Ibnu Abdil Barr berkata, “Persaudaraan ini diadakan dua kali: pertama antara sesama kaum Muhajirin secara khusus di Mekah, kedua antara kaum Muhajirin dan kaum Ansar di Madinah.

Hal ini menegaskan kepada kita bahawa asas ukuwwah ialah ikatan Islam. Hanya setelah hijrah perlu diperbaharui dan ditegaskan kembali kerana tuntutan situasi dan pertemuan kaum Muhajirin dan Ansar di sebuah negara iaitu Madinah. Persaudaraan ini tidak berbeza daripada ukhuwwah yang didasarkan kepada ikatan Islam dan kesatuan akidah. Bahkan merupakan penegasan secara aplikasi terhadapnya.


Rujukan : PAKSI.net

Friday, April 23, 2010

TARBIAH dari ALLAH s.w.t


Cukup halus tatkala menghayati seni tarbiyah Allah swt yang sebenar. Dan sebaik-baik tarbiyah Allah adalah dengan Ujian dan musibah. Kaifiyat tarbiyah Allah bilamana diteliti kehalusannya akan menimbulkan keinsafan dalam diri. Maka lahirlah pula pelbagai sifat-sifat mahmudah. Inilah Tarbiyah Allah s.w.t. TarbiyahNYA menyemarakkan iman seseorang. Hatinya yang lalai menjadi lebih dekat dan rindu pada Allah swt. Apabila akal menjadi ukuran penilaian kaifiyat tarbiyah Allah, sudah pastilah seseorang itu merasa dirinya tidak berguna, kecewa dan tidak redha dengan ujian yang menimpa. Maka lahirlah sifat-sifat mazmumah dalam hati lantaran buruk sangkanya pada tarbiyah Allah swt.

Berbeza pula apabila iman menjadi kayu ukur bagi kaifiyat tarbiyah ini. Dalam buku “al-Hikam” karangan ibn Ata’illah as-sakandari, beliau mengibaratkan ujian itu suatu nikmat yang tersembunyi atau ditangguhkan. Hanya dapat diperolehi dengan bersangka baik pada Allah swt. Dan orang yang paling bersangka baik pada Allah adalah Rasulullah saw, qudwatun hasanah sepanjang zaman. MasyaAllah..!!

Tarbiyah Allah swt memerlukan penghayatan yang tinggi. Penghayatan iman yang mantap mampu mendorong seseorang itu lebih akrab dengan tuhannya. Mengimbas sejarah islam bagaimana Rasulullah saw di uji menjadi anak yatim piatu di waktu kecil usianya. Baginda tidak pernah merasa kasih sayang seorang ayah. Banyak lagi ujian-ujian yang baginda terpaksa lalui khususnya dalam penyebaran dakwah baginda. Bermula dakwah secara rahsia sehinggalah dakwah baginda secara terbuka. Namun ujian itulah yang mentarbiyahkan Rasulullah saw menjadi seorang yang cekal, sabar dan tabah sebagai seorang hamba Allah yang unggul peribadinya.

Setiap kehidupan itu pastinya akan berteman dengan ujian. Samada ujian kebaikan atau sebaliknya. Sekalipun kita melihat orang kaya yang banyak hartanya, bahagia hidupnya, tetapi dalam bahagia itu dirinya menjadi perhatian Allah dan manusia. Allah mengujinya samada bersyukur atau kufur pada RahmatNYA. Hakikatnya manusia kala ini terlalu ramai yang tewas dengan nafsunya. Nafsu yang terlalu dimanja-manja dengan wang ringgit dan segala macam kemewahan, pangkat, darjat dan kecantikan selalunya menjadikan si pemiliknya lupa diri, bongkak, ujub dan segala macam lagi sifat-sifat mazmumah yang bersarang dihati.

Akan tetapi, nafsu menjadi lemah tikamana kesusahan itu yang menjadi santapannya. Ramai manusia apabila ditimpa dengan musibah dan ujian, hatinya lebih lembut untuk menerima hidayah Allah. Sirah perjuangan nabi Muhammad di Mekah menjadi buktinya. Ramai di kalangan masyarakat arab ketika itu yang menerima islam di awal penyebarannya terdiri di kalangan orang yang faqir miskin, hamba abdi dan kaum perempuan yang dianiaya. Di sinilah letaknya hikmatnya Allah menguji hambaNya dengan kesusahan dan kepayahan hidup.. Fitrah manusia, ketika bergembira amat jarang hatinya mengingati Allah swt. Hati yang banyak bergembira cenderung hatinya kepada hubbud dunya (cintakan dunia). Dan amatlah rugi orang yg hatinya cinta kepada dunia dan seisinya sdg dunia itu bersifat FANA.

Tikamana diri kita diuji oleh Allah dengan kebaikan dunia, maka bersyukurlah pada nikmat kurniaNYA. Itu tandanya diri kita dalam pemerhatianNYA. Siapkan diri dengan iman dan taqwa, kerana itulah yang akan menjadi benteng kita daripada godaan syaitan dan nafsu kita yang tidak ada istilah waktu untuknya melalaikan kita. Sungguh nafsu itulah yang paling hampir dengan diri kita. Maka, kalahkanlah ia dengan banyak memberi kerana Allah swt. Jikalau ujian Allah berupa kekayaan, banyakkanlah menghulur pada yang memerlukan. Sungguh kekayaan itu hanyalah pinjaman semata. Pemiliknya adalah yang kekal Abadi. Kita hanyalah insan yang hanya menumpang Kesempurnaan sifat-sifatNYA. Jadikanlah barang pinjaman itu sebagai wasilah untuk kita mendekatkan diri kita pada ALLAH swt. Sesiapa yang memberi pinjaman pada Allah (sedang Allah tidak memerlukan pinjaman) maka Allah akan memberikan pulangan yang berlipat ganda hasil daripada apa yang dilakukannya.. Sekiranya ujian nikmat itu berupa darjat dan pangkat, maka ingatlah kekuasaanNYA dan AgungNYA Allah swt.. Sekiranya ujian itu berupa kecantikan, ingatlah akan diri kita, kecantikan itu hanyalah sementara dan kecantikan itu hanyalah nilaian zahir bagi manusia. Jadikanlah dirimu begitu berharga dan bernilai di hadapan Allah swt. Baginda bersabda : “ Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa paras dan kekayaan kamu, tetapi melihat pada amal dan hati-hati kamu”.

Andai diri kita di uji dengan kesusahan hidup, tetapkan lah hati kita dan bersangka baiklah pada ALLAH s.w.t. Itu tandanya Allah rindu untuk mendengar luahan bicara kita. Allah amat suka mendengar bisikan-bisikan hati yang rindu kasih sayangNYA. Sedang diri kita di uji, Allah sebenarnya ingin memelihara kita dari sejuta keburukan… Setiap kesusahan itu akan diakhiri dengan kebaikan dan kemuliaan. Maka hendaklah kita lapangkan dada kita dan bersyukur penuh redha agar kebaikan dunia akhirat itu menjadi penghuni hati kita. Moga kedukaan itu berganti dengan ketenangan, redha dan ikhlas dalam setiap apa yang berlaku lantaran bersangka baiknya kita pada ALLAH sw.t. Mulakanlah hari kita dengan senyuman dengan lidah kita sentiasa bertahmid memuji Allah swt, dan hati kita sentiasa mengingati Allah swt dan merasa bahagia sepanjang masa..

Cukup halus tatkala menghayati seni tarbiyah Allah swt yang sebenar. Dan sebaik-baik tarbiyah Allah adalah dengan Ujian dan musibah. Kaifiyat tarbiyah Allah bilamana diteliti kehalusannya akan menimbulkan keinsafan dalam diri. Maka lahirlah pula pelbagai sifat-sifat mahmudah. Inilah Tarbiyah Allah s.w.t. TarbiyahNYA menyemarakkan iman seseorang. Hati yang lalai menjadi lebih dekat dan rindu pada Allah swt. Apabila akal menjadi ukuran penilaian kaifiyat tarbiyah Allah, sudah pastilah seseorang itu merasa dirinya tidak berguna, kecewa dan tidak redha dengan ujian yang menimpa. Maka lahirlah sifat-sifat mazmumah dalam hati lantaran buruk sangkanya pada tarbiyah Allah swt.

Jadilah orang yang bersyukur sewaktu menerima ujianNYA lebih-lebih lagi tika musibah menimpa. Itu tanda kasih sayang Allah swt pada kita agar hati kita sentiasa bertaut rindu dengan namaNYA. Usah mengeluh pada RahmatNYA, sekalipun ujian musibah menjadi tamu hidup kita.. Insafilah dan hayatilah simbolik kesusahan hidup yang menimpa kita. Allah lebih Maha Mengetahui sedang kita sedikitpun tidak mengetahui. Serahkanlah kehidupan kita sepenuhnya pada Allah swt setelah kita iringi dengan usaha. Pasti suatu hari nanti, diri kita akan tersenyum syukur dan bahagia atas ketentuanNYA.. dan barulah kita mengetahui itulah yang terbaik untuk diri kita. .. SubhanALLAH walHamdulillah..

Friday, April 9, 2010

Benarkah kampus diancam 3D?


Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.25-47


Benarkah kampus diancam 3D?



Ketika semua 'pengurus pendidikan tinggi' sedang giat mencari punca dan strategi menghadapi fenomena yang menggugat kewibawaan kampus-kampus sebagai tempat yang dihormati setelah masyarakat memandang rendah kepada siswazah-siswazah kelahiran mereka kerana dikatakan gagal berkomunikasi, tidak tahu berbahasa orang putih dan sebagainya.


Datuk Ani Arope
seorang tokoh korporat terkemuka ketika menjadi Pengerusi Majlis Institut Teknologi MARA (sekarang Pengerusi Majlis Universiti Sains Malaysia) telah mendedahkan masalah 'baru', yang mengancam mahasiswa khususnya pelajar ITM di konvensyen ITM ke 34.

Menurutnya mahasiswa sekarang diancam oleh "masalah 3D", iaitu dadah, dakwah songsang dan disko. Masalah ini sedang melanda kampus khususnya ITM yang dijaga oleh beliau sendiri. Persoalan yang timbul, apakah masalah ini baru berlaku atau telah lama berlaku dan sekarang pihak berkuasa baru membuka mata setelah keadaan menjadi semakin parah? Atau masalah ini hanya melanda ITM sahaja dan kampus lain tidak diserang wabak ini? Kampus lain bebas dari serang 3D yang disebut oleh Datuk Ani Arope. Malah ada pihak mengatakan perlu ditambah satu lagi perbuatan 'dedah' menjadikan 4D.


Osman Abdullah dalam tulisannya, "Jawapan kepada ancaman 3D-Dr. Ani Arope : Disko dan Dadah hasil sistem kapitalis" menyebut, sebenarnya dadah dan disko merupakan pelalian rakyat oleh tindak. tanduk pemerintah atas norma rakyat yang sengaja dilupakan. Hal begini sebenamya adalah pendekatan yang dinasihatkan oleh Niccolo Machiavelli kepada pemerintah yang ingin tahu bagaimana cara menguasai sentimen rakyat biasa untuk terus menyokong kerajaan.


Beliau juga berpendapat kedua-dua masalah tersebut adalah satu budaya baru masyarakat industri baik Anglo-Saxon ataupun Orient (Timorai) Jepun. Jika orang kampung dalam masyarakat desa di waktu petang berjamaah di surau atau masjid, masyarakat industri menghilangkan gangguan kehidupan dengan mengunjungi disko, tenggelam dalam budaya hiburan muzik dan pergaulan bebas. Jadi benih yang ditanam oleh sistem politik dan ekonominya pastilah membuah hasil sebagaimana yang difahami.


Berbalik kepada perkara pokok 3D ini, benarkah berlaku dakwah songsang di kampus? Siapakah pendokong dakwah songsang ini tidak pula disebut secara jelas. Mungkinkah dakwah songsang ini ditujukan kepada golongan Arqam yang diharamkan oleh pihak kerajaan baru- baru ini. Banyak perkara yang tidak disenangi terhadap Arqam ini yang terpaksa dipendam sebelum ini seperti siswi-siswi yang terlibat denganArqam meninggalkan pengajian sebelum tamat, berpurdah di kampus dan banyak lagi. Kesempatan mengecam Arqam tiba bila kerajaan mengharamkan kegiatan kumpulan tersebut. Tapi kalau bukan Arqam kumpulan dakwah mana lagi?


Bukan sahaja dakwah songsang yang diperangi. Malah kumpulan mahasiswa lain berdakwah di kampus pun tidak disenangi oleh pihak tertentu dengan berbagai tuduhan. Sebagai contohnya Nakhaei Hj. Ahmad menggunakan istilah 'dakwah sempit' kononnya memundurkan siswa (Panca Utusan,l November, 1991). Faisal Othman menggunakan istilah 'golongan yang hendak mewujudkan sistem pondok' di kampus. Berbagai lagi istilah yang digunakan terhadap kumpulan yang kembali kepada Islam. Tiada penjelasan yang jitu bagaimana dakwah sempit dan bagaimana sistem pondok diwujudkan oleh kumpulan mahasiswa Islam ini.


Apa yang jelas kepada masyarakat, mereka ini menentang berhabisan kumpulan Islam ini adalah kerana mereka gagal hendak menjadikan kampus ini tempat berpesta dan bersukaria kerana banyak percubaan membawa konsert-konsert rock dan seumpamanya dihalang oleh majoriti mahasiswa Islam. Tidak cukup dengan disko-disko dan pusat-pusat hiburan di luar, mereka mahu kampus juga dibanjiri oleh kegiatan-kegiatan seumpama ini.


Sementara seorang penulis lain menyebut, pimpinan kampus sekarang ini sedang menggalakkan budaya jamuan tahunan dan seumpamanya di hotel-hotel mewah serta kekadangnya diadakan majlis tari menari. Setidak-tidaknya mereka membawa masuk ke kampus konsert-konsert tertentu bagi menyerikan jamuan mereka. Di samping terdapat usaha untuk mempopularkan budaya 'senamrobik' di kampus-kampus. Fenomena ini memberikan saham yang besar kepada ancama disko di kalangan mahasiswa.


Begitu juga berhubung dengan masalah dadah di kalangan mahasiswa didapati berlaku kerana mereka menepikan Islam sebagai pegangan hidup mereka. Kumpulan mahasiswa Islam yang dituduh kolot dan sebagainya didapati tidak terlibat dalam kegiatan dadah. Dengan wujudnya dakwah Islamiah di kalangan mahasiswa, sebilangan besar mahasiswa bebas dari dadah. Yang terlibat dengan dadah ini adalah dari kumpulan yang kecewa dan mahu 'happy go lucky" sahaja. Jika Datuk Dr. Ani Arope dan ITM (sekarang beliau di USM) benar-benar mahu membenteras wabak ini, tidak mustahil ITM akan menjadi kampus kedua menjadi sasaran pihak-pihak berideologi sekular selepas UKM. Kita bimbang kalau-kalau ada akhbar harian akan menuduh Datuk Ani Arope pula ingin mewujudkan institusi pondok di ITM.


Sementara itu Osman Abdullah berpendapat golongan ini sedang menghadapi 3C iaitu Capitalis Minds (Minda Kapitalis), Corporationist Minds (Minda Korporatis) dan Corruption of environmetalism, iaitu susun lapis terkini dalam jendela kuasa 'metropolitan societis' yang selalu digambarkan oleh pemikiran-pemikiran sebelum ini sebagai simbol keagungan 'globalisation Megatrends 2000'.

Monday, April 5, 2010

Program Orientasi gagal ?


Petikan buku Politik Kampus Di Sebalik Tabir, karangan Mohd. Shuhaimi Al Maniri,hlm.25-47


Program Orientasi gagal ?



Salah satu program untuk memperkenalkan mahasiswa baru untuk mengenali "alam kampus" dipanggil dengan berbagai nama sama ada 'Program Haluan Siswa', 'Program Orientasi Mahasiswa Baru', 'Program Silaturahim', 'Program Taaruf' dan sebagainya. Program tradisi ini dikendalikan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) sejak beberapa tahun lalu setelah 'merampas'nya secara terhormat pengendaliannya dari Persatuan Mahasiswa Universiti (PMU) pada pertengahan dekad 80'an. Pegawai-pegawai HEP akan memilih sebilangan mahasiswa yang bersedia menjadi 'pak turut' sebagai pembantu mereka mengendali program ini.


Berbagai aturcara disediakan untuk menyambut 'orang baru' Dalam masa seminggu atau sepuluh hari sebelum memulakan pengajian, pelbagai aktivih dilaksanakan dalam program orientasi ini. Di samping itu terdapat juga program yang berlaku secara 'kebetulan' seperti adik angkat, kakak angkat dan sebagainya. Disebalik 'blue print' program orientasi ini, seringkali juga berlaku penyelewengan di mana berlaku kes-kes 'ragging' yang tidak bermoral yang dilakukan oleh mahasiswa-mahasiswa lama termasuk juga oleh AJKO sendiri. Berbagai tindakan dilakukan oleh kumpulan ini ke atas mahasiswa baru seperti ditampar, menari bogel dan berbagai lagi kegiatan yang tidak bermoral.


Terdapat beberapa kes tidak bermoral yang memaksa pihak universiti bertindak tegas memecat mahasiswa yang terbabit dari meneruskan pengajian mereka. Di akhir dekad 1980an pernah kes seumpama ini menjadi kes politik bila Presiden MIC mempertikaikkan keputusan Lembaga Disiplin Universiti bertindak membuang mahasiswa India tajaan mereka yang terlibat dalam kes tidak bermoral seperti itu.


Selepas seminggu program orientasi yang dijalankan oleh HEP berbagai-bagai kegiatan orientasi dan majlis-silaturahim yang dipanggil dengan berbagai nama diadakan oleh berbagai persatuan mahasiswa. Nama sahaja yang lain, 'body" atau kandungan programnya hampir sama sahaja. Ada yang panggil 'Minggu Muhibbah', 'Minggu Suaimesra', 'Minggu Silaturrahim' atau seumpamanya.


Ramai yang bersungut kerana program yang dilaksanakan dalam kegiatan Minggu Orientasi atau Haluan Siswa banyak menimbulkan masalah sosial. Mahasiswa baru banyak disogokkan dengan program hiburan, sukan dan bersuka ria yang melampau-lampau. Kekadang program seperti kuliah subuh dan ceramah-ceramah agama dikurang kan atau disingkatkan masanya. Ceramah-ceramah bercorak materialistik, individualistik dan sebagainya cuba diterapkan ke dalam pemikiran mahasiswa baru. Mereka yang tadinya datang dengan semangat berkobar-kobar membawa panji-panji harapan keluarga, masyarakat dan negara negara mula mendapati hidup di menara gading ini indah khabar dari rupa.


Program-program ini merupakan rintangan-rintangan yang disediakan oleh pihak-pihak tertentu dari membawa mahasiswa kembali ke zaman kegemilangan mereka sebagai pejuang keadilan yang kritis dan dinamis serta tahan diuji daya juang mereka. Banyak pihak berpendapat bukan masanya program Haluan Siswa dijadikan medan bersukaria dan berseronok-seronok dengan mengadakan 'Malam Kebudayaan', 'Malam Bakat Kampus' dan sebagainya yang boleh melalaikan mahasiswa baru.

Menyedari keadaan seperti ini bertentangan dengan Islam dan tidak menepati tujuan asal Haluan Siswa, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) pernah membantah acara seperti ini berterusan pada tahun 1986 dan dengan tegas mendesak HEP Universiti Malaya bertanggung jawab mempastikan tiga perkara, iaitu;


Pertama: mengkhususkan satu malam untuk diadakan ceramah berkaitan dengan aspek pengenalan Islam yang dianggap sebagai satu cara hidup (way of life). Kedua: memansuhkan program-program yang boleh dianggap melanggar dan bertentangan dengan akhlak Islam seperti 'Malam Bakat Kampus' yang pada pandangan PMIUM ianya tidak sedikit pun dapat menyumbang kearah pembinaan pemikiran intelektual dikalangan mahasiswa. Ketiga: memastikan nilai-nilai Islam dihormati dan dipatuhi oleh semua mahasiswa/i dan Ahli Jawatan-kuasa Orientasi (JKO).


Sejak pertengahan dekad 1980an, yakni sejak kampus-kampus dipenuhi dengan berbagai kegiatan dakwah dan kumpulan-kumpulan Islam pula menguasai kepimpinan induk mahasiswa, program yang sepatutnya dikendalikan oleh Persatuan Mahasiswa Universiti (PMU) ini telah diambil alih pengendaliannya dari tangan mereka. Terdapat di sesetengah universiti exco Persatuan Mahasiswa Universiti (PMU) dan Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) dinafikan hak mereka untuk menjadi ahli Jawatankuasa Orientasi (JKO).


Pemimpin-pemimpin mahasiswa tidak dapat berbuat apa-apa kerana ini hak mutlak HEP. Kesemua program ini dirancang dan dikendalikan oleh HEP. Kehadiran mahasiswa sebagai JKO adalah sekadar pembantu 'yes man' sahaja. Mungkin ini salah satu strategi TNC (HEP) universiti-universiti tempatan untuk membendung kumpulan-kimpulan Islam yang menguasai kepimpinan mahasiswa.

Di Universiti Kebangsaan Malaysia umpamanya, PMUKM yang diterajui oleh ATMA ketika itu (sekitar tahun 1984/85) telah memberikan tentangan hebat diatas tindakan HEP mengambilalih pengendalian Minggu Orientasi dari pada tangan mereka. Mereka mendakwa HEP sengaja bertindak sedemikian untuk membantu kumpulan TSB dalam pilihanraya kampus kerana pemilihan JKO di mana hampir keseluruhannya terdiri di aktivis kumpulan TSB yang sealiran dengan pegawai HEP.


Peranan dan sikap HEP ini secara tidak langsung berjaya mengurangkan komitmen dan pengaruh kumpulan Islam di kampus kerana sebahagian besar mahasiswa-mahasiswi baru tidak mengikut corak politik kampus tentunya akan terpengaruh dengan cara yang dilakukan oleh HEP ini. Pada mereka tindakan ini ternyata berjaya bila mana, HEP mengambilalih program ini pada sesi 1985/86, kumpui TSB dokongan mereka terus berjaya menguasai PMUKM sesi tersebut.

Bersambung...

Mari Mengaji

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails