{Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya dan mereka tidak ragu (dalam keimanan itu) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka serta diri mereka pada jalan Allah. Merekalah orang-orang yang benar (dalam menghayati keimanan/aqidah)} (al-Hujurat : 15)

Saturday, May 7, 2011

SELAMAT HARI IBU- " Wahai Ibu : Tarbiyyahlah Anakmu

Selamat Hari IBU di Ucapkan kepada BONDA kandung Tersayang lagi di kasihi Jamilah Binti Ibrahim, kerana bersusah payah membesarkan diri saya ini dan Tahniah di UCapkan, kerana berjaya mendidik anak-anakmu..dan bagi saya setiap hari adalah hari ibu..bergitu juga dengan BONDA mertua saya Hasmah Binti Yaacob yang bersusah payah membesar dan mendidik Isteri saya serta tidak Lupa isteri saya, Mariam Rufaida Binti Yaakob yang merupakan Ibu kepada Anak-anak saya, adik-adik saya yang telah mendirikan rumah tangga dan juga yang bakal mendirikan rumah tangga, selamat hari IBU. Juga Buat semua Insan yang menjadi IBU dan juga bakal menjadi IBU Selamat hari IBU juga saya ucapkan. Sempena hari Ibu sedikit perkongsian mengenai Tarbiyah. Dan Kepada Insan yang bergelar Ibu : Tarbiyahlah Anak-anak MU.





Kasih ibu terhadap anaknya tidak bermusim , berbeza kasih anak buat ibu hanya pada saat dan tika tertentu .

Mungkin, dunia hari ini perlukan "hari ibu" untuk memaut ingatan dan kasih insan bergelar anak buat ibu mereka .

Dunia seperti insaf dan memainkan peranan penting serta betapa dilihat pada hari ini ibu menjadi bahan antik yang disimpan atau diperosok ke rumah orang - orang tua, kadang-kadang tu di beri ASTRO supaya ibu melayani jiwa sunyinya dengan hiburan dari kaca Televisyen, dan ada sebahagiannya ditinggal sendirian membilang hari mati .

Dari segi analisisnya, sedikit pula jumlahnya buat manusia bertaraf ibu yang mampu mengecap kebahagiaan disamping anak - anak hingga ke akhir hayat mereka .

Hanya anak - anak yang soleh/ah memiliki keupayaan menjaga dan membelai sang ibu biar usia memamah seri wajahnya sehingga sang ibu ini menghembuskan nafas akhirnya dengan tenang di pangkuan anak .

Namun anak yang sanggup bertahan dengan karenah ibu tua bukan mudah dicari . Saya membenarkan kata - kata entah dari siapa yang mengatakan : Ibu seorang boleh membelai dan membesarkan sepuluh orang anaknya namun anak yang sepuluh ini belum tentu dapat membelai dan menjaga ibunya yang seorang .



Perkongsian saya maksudkan kepada Insan yang bergelar IBU. Dan pesanan saya " Ibu ! Tarbiyahlah anak - anakmu agar mereka menjadi insan yang soleh dan seterusnya turun ke medan lantas berjuang untuk menegakkan agama Allah swt . Saya kira , anak seperti inilah akan membuatkan ibu bangga dan bahagia ."

Firman Allah swt :

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah Kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara Yang menyukakan hati melihatnya ( penyejuk mata hati ), dan Jadikanlah Kami Imam ikutan bagi orang-orang Yang bertaqwa.

( Surah al Furqan . Ayat : 74 )


Anak adalah anugerah Ilahi yang menjadi amanah ke atas setiap ibubapa , bukan sahaja untuk mengasihinya bahkan juga memelihara dan mendidik agar ia membesar sebagai insan yang soleh dan bertaqwa kepada Allah swt. Justeru itu , Nabi saw menegaskan :[1]

ما من مَوْلُودٍ إلا يُولَدُ على الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أو ينصرانه أو يُمَجِّسَانِهِ

Tiadalah seorang anak yang dilahirkan melainkan ia dilahirkan di atas fitrah . Maka ibubapanya bertanggungjawab menjadikan anaknya Yahudi , Nasrani atau Majusi .

( Riwayat Imam Bukhari dan Muslim )


Anak adalah merupakan asset atau permata hidup kita. Mereka membantu hayat rumah tangga kita dan juga keceriaannya . Mereka jugalah penyambung warisan keluarga dan ummah , malah Nabi saw. sangat berbangga dengan ramainya jumlah ummat Baginda di akhir zaman . Sabda Rasulullah saw. [2]

تزوجوا الودود الولود فإني مكاثر بكم الأمم

Kahwinilah oleh mu akan isteri yang penyayang dan boleh melahirkan anak , maka sesungguhnya aku sangat berbangga dengan ramainya ummat.

( Riwayat Abi Daud dan an Nasa’I )


Melaksanakan tanggungjawab membesar dan mendidik anak – anak bukan suatu yang mudah , sementelah pula kita hari ini terpaksa membesarkan anak di zaman yang terlalu rosak persekitarannya.[3]

Ibubapa perlu memberikan komitmen yang tinggi terhadap pendidikkan anak yang pastinya tidak terhad kepada memberi pelajaran akademik tetapi juga mendidik jiwa mereka agar sedia untuk melaksanakan suruhan Ilahi .

Melengkapkan asuhan mereka sehingga mampu memiliki keperibadian mulia sebagai benteng kukuh menghalang pencemaran akhlak dewasa kini.

Terlebih penting ialah memiliki Aqidah yang benar dan Spiritual yang yang mantap agar mereka selamat pula dari gejala riddah dan ajaran sesat yang kian luas menular .



Pengajaran dari wasiat Lukmanul Hakim .


13. Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah Engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain), Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman Yang besar".

14. Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya Dengan menanggung kelemahan Demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah Dalam masa dua tahun; (dengan Yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

15. Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya Engkau mempersekutukan denganku sesuatu Yang Engkau - Dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah Engkau taat kepada mereka; dan bergaulah Dengan mereka di dunia Dengan cara Yang baik. dan Turutlah jalan orang-orang Yang rujuk kembali kepadaKu (dengan Tauhid dan amal-amal Yang soleh). kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu Segala Yang kamu telah kerjakan.

16. (Luqman menasihati Anaknya Dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, Sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau Yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di Dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana Sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi amat meliputi akan Segala Yang tersembunyi.

17. "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan Yang mungkar, dan Bersabarlah atas Segala bala bencana Yang menimpamu. Sesungguhnya Yang demikian itu adalah dari perkara-perkara Yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

18. "Dan janganlah Engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah Engkau berjalan di bumi Dengan berlagak sombong; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang Yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

19. "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".

Intisari Tarbiyyah dari Wasiat Luqman :

· Membina Aqidah kukuh agar tidak syirik .
. Asuhan agar mentaati Ibu bapa .
· Meyakini pembalasan Ilahi. ( syurga neraka & dosa pahala )
· Melaksanakan Ibadah asas seperti solat
· Mencegah dari terjerumus ke lembah maksiat .
. Sabar menghadapi apa jua musibah tatkala melayari bahtera kehidupan .
· Jauhi sifat tercela seperti Takabbur dsbnya.
· Hiasi diri dengan sifat mahmudah seperti merendah diri dsbnya.
Inilah silibus utama dalam Pendidikan Anak yang perlu kita laksanakan.

Antara lainnya sabda Rasululullah saw. :[4]

مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عليها وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ في الْمَضَاجِعِ

Perintah anak – anak kamu supaya mendirikan solat sedang usia mereka telah meningkat 7 tahun dan pukullah mereka ( jika mereka enggan ) apabila umur mereka meningkat 10 tahun dan asingkan tempat tidur mereka ( lelaki dan perempuan )

( Hadis Sohih Riwayat Imam Ahmad , Abi Daud , al Hakim dan al Baihaqi )



PETUA ALIM ULAMA’ DALAM MENDIDIK ANAK .[5]

ANAK NAKAL .


1. Baca Surah al Fatihah dan hadiahkan kepada Baginda Rasulullah saw.
2. Selawat al Fatih : 100 kali
اللَّهُمَّ صَلِّ وَ سَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلىَ سَيِّدِناَ مُحَمَّدِنِ الْفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ وَ الْخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ وَ نَاصِرِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ وَ الْهَادِيْ إِلىَ صِرَاطِكَ الْمُسْتَقِيْمَ وَ عَلَى آلِهِ وَ أَصْحَابِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَ مِقْدَارِهِ اْلعَظِيْمِ .
3. Surah Aali Imran . Ayat : 83 [6]
4. Ayat al Kursi . 170 kali
5. Surah at Taubah . Ayat 46 : 100 Kali .


Ayat – ayat tersebut dibaca pada air dan gunakan air tersebut sebagai minuman dan mandian .

ANAK DEGIL .

Baca ayat “ Salam Yassin ” : Ayat ke 58 dari surah Yassin .
Baca atau amalkan ayat ini tatkala matahari hampir terbenam atau di tengah malam jumaat sebanyak 313 kali . Sebelum membacanya , terlebih dahulu baca surah al Fatihah sebanyak 5 kali di hadiahkan kepada Rasulullah saw , Alim Ulama’ , Para Syuhada’ , Ibu bapa dan muslimin muslimat seluruhnya.



MELAHIRKAN ANAK YANG MENJAUHKAN DIRI DARI MAKSIAT.

Kepada pasangan suami isteri yang bakal menimang cahaya mata , hendaklah memperbanyakkan membaca surah at Taubah . Semoga anak yang bakal lahir menjadi manusia yang beriman dan bertaqwa.

Semoga Allah memberkati kita semua .

[1] Sohih Bukhari Jil. 1 / Mukasurat 456 . Hadis No. 1293 ( Terbitan Dar Ibnu Kathir 1987 / cetakan ketiga ) Sohih Muslim . Jil . 4 / Muka surat 2047 . Hadis No. 2658 ( Terbitan Ihya’ Turas al A’rabi )
[2] Sunan Abi Daud . Jil. 2 / Muka surat 220 . Hadis No : 2050 . Terbitan Darul Fikri . Sohih . di keluarkan oleh an Nasa’I dlm Kitabun Nikah Bab Karahiyatun Tazwijul A’qim . Jil .6 Muka surat 373 . Hadis No. 3227
[3] Terdedah kepada gejala social yang merosakkan akhlak dan moral , malah turut mengancam aqidah dengan pelbagai sogokan ideology dan ajaran yang asing dari Manhaj an Nabawiyyah ( antara contoh : Sebagaimana kes murtad yang didedahkan oleh Mastika bln Oktober 2006.)
[4] Sunan Abi Daud . Jil 1 / Muka surat : 133 . Hadis No. 495 Terbitan Darul Fikri . Musnad Imam Ahmad . Jil . 2 / muka surat 180 hadis No. 6689 al Hakim dalam Al Mustadrak . Jil . 1 / muka surat 197 dan Sunan al Baihaqi . Jil 3 / muka surat 84
[5] Rujuk buku : Amalan Pelembut Hati . Susunan al Ustaz Hanif bin Hj. Ghazali . Terbitan Madrasah Zubaidiyyah . Merbok Kedah .
[6] Imam Tabarani meriwayatkan hadis daripada saiyidina Anas bin Malik Bahawa nabi saw. telah bersabda :
من ساء خلقه من الرقيق و الدواب و الصبيان فاقرءوا في أذنه :
sumber :ePerjuangan.com klik

Friday, May 6, 2011

PENGENALAN KEPADA SYARIAH DAN PERUNDANGAN ISLAM

PENGENALAN KEPADA SYARIAH DAN PERUNDANGAN ISLAM




Muqaddimah

Islam diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada nur. Manusia dilantik menjadi khalifah dan tanggungjawab melaksanakan segala perintah Allah adalah merupakan satu perjanjian yang telah dimeterai diantara manusia dan Allah s.w.t. seperti mana dalam firmanNya:

... أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنَا ...

Maksudnya: ... "Bukankah Aku Tuhan kamu?" mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), Kami menjadi saksi"...

[Al-A'raf: 172]


Kesempurnaan iman dan tauhid seseorang itu kepada Allah s.w.t. akan hanya berlaku apabila dia telah meyakini bahawa sesungguhnya Allah itu mencipta, memiliki dan menguasai segala yang ada di alam ini dan Dialah pula yang wajib disembah, ditaati dan diikuti segala arahanNya dalam menjalani urusan hidup samada sebagai individu, ahli masyarakat, institusi ataupun sebuah sistem. Selagi mana penyerahan diri terhadap segala perintah Allah s.w.t. belum berlaku, maka selagi itulah kesempurnaan Iman dan Islam seseorang masih lagi belum sampai ketahap seperti yang diarahkan oleh Syara'.

Dalam menjalani kehidupan di dunia sebagai khalifah, manusia telah diutuskan dengan para Rasul untk memandu perjalanan hidup mereka agar bertepatan dengan peraturan dan arahan yang telah ditetapkan Allah s.w.t. Panduan ini adalah penting untuk menjawab sebarang kekeliruan yang timbul dalam proses perjalanan hidup manusia.

Salah satu kekeliruan yang begitu ketara pada hari ini adalah salah tanggap terhadap sistem syariah dan perundangan Islam yang asalnya menghantui orang-orang bukan Islam tetapi hari ini menjadi wabak pula di kalangan sebahagian umat Islam sendiri. Pelbagai tuduhan dan cercaan telah dilakukan terhadap undang-undang Islam. Ada yang mengatakan bahawa sistem perundangan Islam sudah tidak sesuai lagi dilaksanakan sekarang ini kerana zaman Nabi sudah tidak sama dengan zaman sekarang. Ada yang mengatakan bahawa sistem ini jumud (statik) dan tidak menjawab persoalan semasa umat yang sentiasa berkembang. Ada pula yang menyatakan bahawa sistem ini terlalu zalim kerana hukuman yang dikenakan ke atas pesalah melibatkan anggota, penganiyaan dan sebagainya. Walau apa pun tuduhan dan tohmahan yang diberikan terhadap sisem perundangan Islam, ianya akan tetap kekal sebagai sistem yang terunggul kerana ianya adalah dari Allah s.w.t. yang Maha Sempurna dan tidak mensyariatkan kepada manusia melainkan yang terbaik.

Sistem perundangan Islam merangkumi setiap bidang kehidupan manusia. Ianya adalah gabungan antara undang-undang sebagai alat kawalan sosial dan ikatan iman dan penyerahan diri kepada kuasa mutlak Allah s.w.t.. Konsep ini amat berbeza dengan konsep undang-undang sekular atau undang-undang lain ciptaan manusia yang mewujudkan pemisahan antara unsur-unsur agama dan undang-undang. Agama hanya dilihat sebagai ritual dalam majlis dan tempat tertentu sahaja dan tidak ada kaitan dengan kehidupan.

Antara tujuan utama sistem syariah dan perundangan Islam adalah untuk memelihara lima perkara yang merupakan satu kemestian di dalam kehidupan mereka. Prinsip yang dikenali sebagai al dharuruyaat al khamsa ini adalah untuk:

1.
Memelihara Al Deen (Agama)
2.
Memelihara Al 'Aqal (Akal)
3.
Memelihara Al Nafs (Jiwa / Nafsu)
4.
Memelihara Al 'Ard ( Keturunan dan juga kehormatan )
5.
Memelihara Al Mal (Harta)


Perkembangan sistem Perundangan Islam adalah tidak sama dengan perkembangan sistem perundangan ciptaan manusia. Syariah bukannya merupakan satu himpunan kaedah yang sedikit dan kemudiannya berkembang mengikut peredaran masa. Ianya juga bukan merupakan asas asas yang bertaburan lalu disusun rapi dan bukan juga ianya merupakan teori-teori yang kemudiannya dikelompokkan untuk dijadikan satu formula yang diikuti. Syariah tidak lahir sebagai seorang bayi yang lemah dan serba kekurangan tetapi telah lahir ke bumi sebagai seorang pemuda yang cukup dewasa, matang dan serba lengkap tanpa sebarang kecacatan dan kekurangan.

Berdasarkan kepada kenyataan ini dapatlah difahami bahawa Syariah yang diwayhukan Allah ini adalah sempurna lagi lengkap tanpa perlu dipersoalkan lagi kemampuannya untuk memandu perjalanaan hidup manusia dan alam. Abdul Qadir Audah telah mengulas lagi bahawa asal sistem perundangan hanyalah sekadar mengatur perjalanan hidup manusia bermasyarakat tetapi tidak berperanan untuk memandu masyarakat tersebut ke arah satu matlamat. Inilah sebabnya mengapa undang-undang datang dan terbentuk selepas terbentuk perkembangan masyarakat. Undang-undang adalah hasil ciptaan ramai dan bukan sebaliknya.

Takrif Syariah dan Fiqh

Dua kalimat yang sering digunakan untuk undang-undang Islam adalah kalimat fiqh dan syariah. Perbincangan tentang dua kalimah ini telah berlangsung untuk sekian lama tetapi penulis sendiri merasakan adalah lebih relevan sekarang ini untuk digunakan kalimat fiqh untuk dirujukan kepada undang-undang Islam.

Dalam pengajian Islam syariah biasanya disamaertikan dengan agama atau adDin. Ia mengertikan apa sahaja yang ditetapkan oleh Allah untuk para hambanya baik tentang akidah, ibadat, akhlak , mu'ammalat dan apa saja tata hidup di dunia ini. Dengan perkataan lain, ia adalah keseluruhan wahyu Tuhan sebagaimana yang terdapat dalam Al Quran dan Al Sunnah. Hukum pula lebih merujuk kepada nilai-nilai yang difahami dari Syariah. Sebab itu, dalam pengajian hukum Islam, hukum disebut berasaskan konteks tertentu. Menurut para fuqaha, hukum ialah arahan (khitab) Allah berkenaan dengan tindak -tanduk manusia. Satu istilah lain yang ada kaitan rapat dengan syariah dan hukum ialah fiqh. Dalam penggunaan biasa ia bererti pemahaman tentang apa sahaja, samada secara mendalam atau sebaliknya. Di zaman permulaan Islam fiqh diistilahkan bagi memahami apa saja isi syariah. Tapi selepas berlakunya pertumbuhan ilmu yang sangat pesat dalam masyarakat Islam yang kemudiannya melahirkan bidang-bidang pengkhususan dalam bidang-bidang pengajian iaitu di zaman pemerintahan Abbasiyah, fiqh telah dikhususkan bagi pengertian memahami hukum-hukum amali semata. Maksud hukum amali di sini ialah ketentuan berhubung tindak tanduk manusia.

Fiqh dari seginya bahasanya adalah faham dan dari sudut istilah pula adalah memahami hukum-hukum syariah yang berbentuk amali yang diambil dari dalil-dalil yang tafsili iaitu AlQuran dan Alsunnah dan segala furu' (cabang)nya.

1.
Hukum -hukum Syariah yang berbentuk amali tersebut merangkumi segenap aspek kehidupan manusia. Pembahagian hukum-hukum fiqh adalah seperti berikut.
2.
Hukum hukum yang berkaitan dengan ibadat seperti solah, puasa dan sebagainya yang dikenali sebagai ibadat (Fiqh al Ibadat)
3.
Hukum-hukum yang berkaitan dengan kekeluargaan seperti hukum nikah, talak nafkah dan sebagainya yang dikenali hari ini sebagai ahwal syaksiah.
4.
Hukum-hukum urusan harian manusia yang berkaitan dengan harta, hak dan sebagainya yang dikenali sebagai muammalat.
5.
Hukum-hukum yang berkaitan dengan pemerintahan, hak rakyat kepada negara dan juga sebaliknya yang dikenali sebagai ahkam sultaniyah.
6.
Hukum hukum yang berkaitan dengan jenayah dan balasannya yang dikenali sebagai 'uqubat.
7.
Hukum-hukum yang berkaitan dengan hubungan antarabangsa yang dikenali sebagai huquq al daulah / qanun dauli.
8.
Hukum-hukum yang berkaitan dengan akhlak dan berkelakukan baik yang dikenali sebagai adab.



Pembahagian ini bagaimana pun akan berkembang mengikut perkembangan masa, keadaaan dan tempat. Maka itu kalau diteliti dari penulisan para fuqaha kita akan dapati perbincangan juga merangkumi aspek-aspek undang-undang seperti undang-undang harta intelek, undang-undang alam sekitar dan lain-lain cabang yang cukup luas.

Dari apa yang dilihat di atas dapatlah dirumuskan bahawa sistem perundangan Islam adalah gabungan sistem kerohanian dan sistem kemasyarakatan kerana syariah Islam turun untuk mengatur dunia dan deen. Ianya adalah merupakan sistem yang sempurna lagi lengkap bagi mengatur kehidupan manusia. Syariah adalah merupakan keseluruhan ajaran Islam yang terkandung di didalamnya perintah aqidah, fiqh dan akhlak. Mereka yang beriman dengan Islam telah diperintah Allah swt untuk tidak memisahkan diri mereka dengan satu juzu' pun daripada keseluruhan perintah tersebut Allah swt telah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke Dalam ugama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata.

[Al-Baqarah: 208]


Setelah kita meneliti takrif di atas, adalah jelas bahawa fiqh adalah sebahagian dari syariah dan ianya adalah berkaitan dengan urusan amali dalam kehidupan manusia. Tetapi ini tidaklah bermakna ianya tidak berkait dengan cabang-cabang lain yang terkandung di dalam syariah. Di sana terdapat banyak dalil-dalil Al Quran yang menggabungkan antara fiqh dan keseluruhan sistem syariah seperti firman Allah swt:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ ...

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) Iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, ...

[Al-Maidah: 6]

Ayat ini dengan jelas telah menggabungkan ciri seorang yang beriman itu yang bersih dan suci ketika hendak beribadat kepada Allah SWT dan ini adalah gabungan antara iman dan fiqh (ibadat).

Konsep ini adalah amat jauh berbeza dengan kefahaman terhadap undang-undang di dalam sistem sekular yang memisahkan antara undang-undang dan ketuhanan. Tidak hairanlah jika Hugo Grotius, seorang Belanda yang dianggap sebagai bapa sistem perundangan antarabangsa moden pernah menyebut bahawa 'natural law' pasti akan wujud walaupun sekiranya tuhan itu sendiri tidak wujud. Dia seterusnya berpendapat bahawa sistem 'natural law' adalah merupakan satu kelahiran secara spontan hasil dari kesedaran manusia untuk mengawal sistem sosial mereka.

Penutup

Takrif yang ringkas tentang undang-undang Islam ini adalah bertujuan untuk memberi satu gambaran secara umum tentang kesempurnaan sistem yang datang dari Allah itu. Tugas kita hari ni adalah untuk meletakkan keyakinan sepenuhnya terhadap Syariah yang mampu menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi manusia.



Oleh,

Ustaz Nasharuddin Mat Isa


sumber : Klik

Mari Mengaji

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails