{Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya dan mereka tidak ragu (dalam keimanan itu) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka serta diri mereka pada jalan Allah. Merekalah orang-orang yang benar (dalam menghayati keimanan/aqidah)} (al-Hujurat : 15)

Tuesday, November 22, 2011

Kimia Kebahagiaan- BAB Mengenal Allah s.w.t

    Maaf sekali lagi, agak lambat untuk updated siri kuliah Kimia Kebahagian, Karangan IMAM AL Ghazali Bab Mengenal ALLAH s.w.t kerana masa yang agak terbatas dan masa di dunia ini, bergitu pantas dan singkat serta memberi mesange kepada kita bahawa hidup ini, sementara dan sekejap sahaja..

    Dalam satu Hadith Nabi S.A.W bermaksud: " Siapa yang mengenal dirinya, dia akan mengenal Allah s.w.t". Ini bererti dengan mematuhi dan memikirkan tentang dirinya dan sifat-sifatnya, manusia itu boleh sampai kepada mengenal Allah. Tetapi  banyak juga orang yang memikirkan tentang dirinya tetapi tidak dapat mengenal  Allah, maka sudah tentulah ada cara-caranya yang khusus dalam mengenal ini.

     Sebenarnya ada dua cara untuk mencapai pengetahuan atau pengenalan ini. Satu daripada cara itu sangat sulit dan sukar difaham oleh untuk orang-orang biasa, maka cara yang ini tidak usahlah kita terangkan di sini. Cara yang pertama ini jalan Terekah Ahli Sufi yang perlu mujahadah berzikir, bersuluk dan berkhalwat. Yang satu cara lagi adalah seperti berikut: apabila seseorang memikirkan dirinya, dia tahu bahawa ada satu ketika apabila ia tidak ada wujud, seperti tersebut dalam Al-Quran: "Tidakkah terjadi kepada manusia itu iaitu ada satu ketika apabila ia tidak ada apa-apa?" 

   Selanjutnya ia juga tahu bahawa ia dijadikan diri setitik air yang tidak ada akal, pendengar, penglihatan, kepala, tangan, kaki dan sebagainya dari sini, teranglah bahawa walaubagaimanapun seseorang itu mencapai taraf kesempurnaan, tidaklah dapat ia membuat dirinya sendiri atau pun membuat sehelai rambut. Tambahan pula jika ia setitik air, alangkah lemahnya ia?

    Demikianlah seperti yang kita lihat di bab pertama dulu, didapatinya dalam dirinya kekuasaan, kebijaksanaan dan cinta Allah terbayang dalam bentuk yang kecil. Jika semua pendita dalam dunia ini berkumpul dan mereka tidak mati, nescaya mereka tidak dapat mengubah dan membaiki bentuk pembinaan walau satu bahagian pun dari badannya itu. Misalnya, dalam penggunaan gigi hadapan dan gigi sisi untuk menghancurkan makanan, pembinaan lidah, gelunjur air liur, tengkuk, kerongkong, kita dapatinya penciptaan itu tidak dapat diperbaiki lagi.

   Begitu juga, fikirkan pula tangan dan jari kita. Jari ada lima dan tidak pula sama panjang, empat daripada jari itu mempunyai tiga persendian, dan ibu jari hanya ada dua persendian, dan lihat pula bagaimana ianya boleh digunakan untuk memegang, mencincang, memukul dan sebagainya. Jelas sekali manusia tidak akan dapat berbuat demikian, betapa pula hendak menambah atau mengurangkan bilangan jari itu dan susunannya mengikut cara dan bentuk yang lain. Lihat pula makanan, tempat tinggal kita dan sebagainya.

    Semuanya cukup dikurniakan oleh Allah Yang Maha Kaya. Tahulah kita bahawa Rahmat atau Kasih Sayang (Ar-Rahman dan Ar-Rahim) Allah itu sama dengan Kekuasaan dan KebijaksanaaNya, seperti firman Allah Subhanahuwa Taala. "RahmatKu itu lebih besar dari kemurkaanKu" Dan sabda Nabi SAW., "Allah itu sayang kepada hamba-hambanya lebih dari sayang ibu kepada anaknya" Demikianlah, dari makhluk yang dijadikanNya, manusia dapat tahu tentang wujudnya Allah; dari keajaiban badannya, ia dapat tahu tentang Kekuasaan dan Kebijaksanaanya Allah; dan dari Pengurniaan rezeki Tuhan yang tidak terbatas itu, nampaklah Cinta Allah kepada hambaNya.

      Dengan cara ini, mengenal diri sendiri itu menjadi "anak kunci" kepada pintu untuk mengenal Allah s.w.t Sifat-sifat manusia itu adalah bayangan Sifat-sifat Allah. Begitu juga cara wujudnya ruh manusia itu memberi kita sedikit pandangan tentang cara wujudnya Allah, iaitu Allah dan ruh itu tidak kelihatan, tidak boleh dibagi-bagi atau dipecah-pecahkan, tidak tertakluk kepada ruang dan waktu, diluar sempadan kuantiti (bilangan) dan kualiti (kaifiat), dan tidak boleh digambarkan dengan bentuk, warna atau saiz.

    Ada orang merasa payah hendak membentuk satu konsep berkenaan hakikat-hakikat ini kerana ianya tidak termasuk dalam bidang kualiti dan kuantiti, dan sebagainya, tetapi cuba perhatikan betapa susah dan payahnya memberi konsep tentang perasaan kita sehari-hari seperti marah, suka, cinta dan sebagainya.


    Semua itu adalah konsep fikiran atau tanggapan khayalan, dan tidak dapat dikenali oleh deria. Kualiti, kuantiti dan sebagainya dan itu adalah konsep Deria(tanggapan pancaindera). Sebagaimana telinga kita tidak dapat mengenal warna, dan mata kita tidak dapat mengenal bunyi, maka begitu jugalah mengenal Ruh dan Allah itu bukanlah dengan derianya.

    Allah itu adalah Pemerintah alam semesta raya ini. Dia tidak tertakluk kepada ruang dan waktu, kuantiti dan kualiti, dan menguasai segala makhluknya. Begitu juga ruh itu memerintah badan dan anggotanya. Ia tidak boleh dilihat, tidak boleh dibagi-bagi atau dipecah-pecahkan dan tidak tertakluk kepada tempat tertentu. Kerana bagaimana pula sesuatu yang tidak boleh dibagi-bagikan itu diletak ke dalam sesuatu yang boleh dibagi-bagikan atau dipecah-pecahkan? Dari penerangan yang kita baca di atas itu, dapatlah kita lihat bagaimana benarnya sabda Nabi SAW.: "Allah jadikan manusia menurut rupanya".

     Setelah kita mengenal Zat dan Sifat Allah hasil dari pemerhatian dan tafakur kita tentang zat dan sifat Ruh, maka sampai pulalah pengenalan kita kepada cara-cara kerja dan pemerintahan Allah Taala dan bagaimana ia mewakilkan Kuasa-Kuasanya kepada malaikat-malaikat, dan lain-lain, dengan cara memerhati dan bertafakur tentang bagaimana diri kita memerintah alam kecil kita sendiri. Kita ambil satu misalan: Katakanlah seorang manusia hendak menulis nama Allah. Mula-mulanya kehendak atau keinginan itu terkandung dalam hatinya. Kemudian dibawa ke otak oleh tenaga keruhanian.

    Maka bentuk perkataan "Allah" itu terdiri dalam bahagian khayalan atau fikiran otak itu. Selepas itu ia mengembara melalui saluran urat saraf, lalu menggerakkan jari dan jari itu mengerakkan pena. Maka tertulislah nama "Allah" atas kertas, serupa seperti yang ada di dalam otak penulis itu. Begitu juga apabila Allah S.W.T hendak menjadikan sesuatu perkara, Ia mula-mulanya terzahir dalam peringkat keruhanian yang disebut di dalam Quran sebagai "Al-Arash". Dari situ ia turun dengan urusan Keruhanian ke peringkat yang di bawahnya yang digelar "Al-Kursi". Kemudian bentuknya terzahir dalam "Al-Luh Al-Mahfuz". Dari situ dengan perantaraan tenaga-tenaga yang digelar"Malaikat" terzahirlah perkara itu dan kelihatanlah di atas bumi ini dalam bentuk tumbuh-tumbuhan, pokok-pokok dan binatang; yang mewakilkan atau menggambarkan Iradat dan Ilmu Allah. Sebagaimana juga huruf-huruf yang tertulis, yang menggambarkan keinginan dan kemahuan yang terbit dan terkandung dalam hati; dan bentuk itu dalam dalam otak penulis tadi.


     Tidak ada orang yang tahu Hal Raja melainkan Raja itu sendiri. Allah telah jadikan kita Raja dalam bentuk yang kecil yang memerintah kerajaan yang kecil. Dan ini adalah satu salinan kecil Diri(Zat)Nya dan KerajaanNya. Dalam kerajaan kecil pada manusia itu, Arash itu ialah Ruhnya; ketua segala Malaikat itu ialah hatinya; Kursi itu otaknya; Luh Mahfuz itu ruang khazanah khayalan atau fikirannya. Ruh itu tidak bertempat dan tidak boleh dibahagikan dan ia memerintah badannya; sebagaimana Allah memerintah Alam Semester Raya ini.

     Pendeknya, tiap-tiap orang manusia itu diamanahkan dengan satu kerajaan kecil dan diperintahkan supaya jangan cuai dan lalai mentadbir kerajaan itu. Berkenaan dengan mengenal ciptaan Allah s.w.t, ada banyak darjah pengetahuan. Ahli Ilmu Alam yang biasa adalah ibarat semut yang merangkak atas sekeping kertas dan memerhatikan huruf-huruf hitam terbentang di atas kertas itu dan merujukkan sebab kepada pena atau qalam itu sahaja. Ahli Ilmu Falak adalah ibarat semut yang luas sedikit pandangannya dan nampak jari-jari tangan yang menggerakkan pena itu, iaitu ia tahu bahawa unsur-unsur itu adalah kuasa bintang-bintang, tetapi dia tidak tahu bahawa bintang itu adalah di bawah kuasa Malaikat.

    Oleh kerana berbeza-bezanya darjah pandangan manusia itu, maka tentulah timbul pertelingkahan dalam mengesan natijah atau kesan (akibat) kepada sebab. Mereka yang tidak memandang lebih jauh dari sempadan alam nyata ini adalah ibarat orang yang mengganggap hamba abdi yang paling rendah itu sebagai raja. Undang-undang alam nyata itu (Fenomena) itu mestilah tetap. Jika tidak, tidak adalah sains. Walaubagaimanapun, adalah salah besar menganggap hamba itu tuannya.

    Selagi ada perbezaan ini, selagi itulah pertelingkahan akan berterusan. Ini adalah ibarat orang buta yang hendak mengenal gajah. Seseorang memegang kaki gajah itu lalu dikatakannya gajah itu seperti tiang. Seorang lain memegang gadingnya lalu katanya gajah itu seperti kayu bulat yang keras. Seorang lagi memegang telinganya lalu katanya gajah itu macam kipas.


     Tiap-tiap seorang mengganggap bahagian-bahagian itu sebagai kaseluruhan. Dengan itu, ahli ilmu alam dan ahli ilmu Falak menyanggah hukum-hukum yang mereka dapat dari ahli-ahli hukum. Kesilapan dan sangkaan seperti itu terjadi juga kepada Nabi Ibrahim seperti yang tersebut dalam Al-Quran, Nabi Ibrahim menghadap kepada bintang, bulan dan matahari untuk disembah. Lama kelamaan beliau sedar siapa yang menjadikan semua benda-benda itu, lalu boleh berkata, "Saya tidak suka kepada yang tenggelam." Kita selalu mendengar orang merujuk kepada sebab yang kedua bukan kepada sebab yang pertama dalam hal apa yang digelar sakit. Misalnya; jika seseorang itu tidak lagi cenderung kepada hal-ehwal keduniaan, segala keseronokkan biasa tidak lagi dipedulikannya, dan tidak peduli apa pun, maka doktor mengatakan, "Ini adalah kes penyakit gundah gulana, dan ia perlu sekian-kian ubat atau priskripsi." Ahli fizik akan berkata "Ini adalah kekeringan otak yang disebabkan oleh cuaca panas dan tidak dapat dilegakan kecuali udara menjadi lembab." Ahli nujum akan mengatakan bahawa itu adalah pengaruh bintang-bintang. "Setakat itulah kebijaksanaanya mereka". 

      Kata Al-Quran, tidaklah mereka tahu bahawa sebenarnya apa yang terjadi ialah: Allah S.w.t mengambil berat tentang kebajikan orang yang sakit itu dan dengan itu memerintahkan hamba-hambanya seperti bintang-bintang atau unsur-unsur, mengeluarkan keadaan seperti itu kepada orang itu agar ianya berpaling dari dunia ini mengadap kepada Tuhan yang menjadikannya. Pengetahuan tentang hakikat ini adalah sebuah mutiara yang amat bernilai dari lautan ilmu yang berupa Ilham; dan ilmu-ilmu yang lain itu jika dibandingkan dengan Ilmu Ilham ini adalah ibarat pulau-pulau dalam lautan Ilmu Ilham itu. Doktor, Ahli Fizik dan Ahli Nujum itu memang betul dalam bidang ilmu mereka masing-masing.

      Tetapi mereka tidak nampak bahawa penyakit itu bolehlah dikatakan sebagai "Tali Cinta" yang dengan tali itu Allah menarik AuliaNya kepadaNya. Berkenaan ini Allah ada berfirman yang bermaksud; "Aku sakit tetapi engkau tidak melawat Aku".

    Sakit itu sendiri adalah satu bentuk pengalaman yang dengannya manusia itu boleh mencapai pengetahuan tentang Allah; sebagaimana firman Allah melalui mulut Rasul-rasulNya; "Sakit itu sendiri adalah hambaKu dan dikepilkan(disertakan) kepada orang-orang pilihanKu".

     Dengan ulasan-ulasan yang terdahulu, dapatlah kita meninjau lebih mendalam lagi maksud kata-kata yang selalu diucapkan oleh orang-orang yang beriman iaitu; "Maha Suci Allah" (SubhanaLlah) "Puji-pujian Bagi Allah (Alhamdulillah) "Tiada Tuhan Melainkan Allah (La ilaha iLlaLlah) "Allah Maha Besar" (Allahu Akhbar). Berkenaan dengan "Allahu Akbar" itu bukanlah bermaksud Allah itu lebih besar dari makhluk, kerana makhluk itu adalah penzahiranNya sebagaimana cahaya memperlihatkan matahari.

     
      Tidaklah boleh dikatakan matahari itu lebih besar daripada cahayanya. Ianya bermaksud iaitu Kebesaran Allah itu tidak dapat disukat dan diukur dan melampaui jangkauan kesedaran; dan kita hanya boleh membentuk idea yang tidak sempurna dan tidak nyata berkenaanNya.

     Jika seorang kanak-kanak bertanya kepada kita untuk menerangkan keseronokkan mendapat pangkat yang tinggi, kita hanya dapat mengatakan seperti perasaan kanak-kanak itu tatkala seronok bermain bola, meskipun pada hakikat kedua-dua itu tidak ada persamaan langsung, kecuali hanya kedua-dua perkara itu termasuk dalam jenis keseronokkan.

     Seruan "Allahu Akhbar" itu bererti Kebesaran itu melampaui semua kuasa pengenalan dan pengetahuan kita. Tidak sempurna pengenalan kita berkenaan Allah itu bukanlah sangka-sangka sahaja tetapi adalah disertai oleh ibadat dan pengabadian kita. Apabila seorang itu mati, maka ia bersangkut-paut dengan Allah sahaja. Jika kita terpaksa hidup dengan orang lain, kebahagiaan kita bergantung kepada darjah kemesraan kita terhadap orang itu.

     Cinta itu adalah benih kebahagiaan, dan Cinta kepada Allah itu dimaju dan dibangun melalui ibadat. Ibadat dan sentiasa mengenang Allah itu memerlukan kita supaya bersikap sederhana dan mengekang kehendak-kehendak badan. Ini bukanlah bererti semua kehendak badan itu dihapuskan; kerana itu akan menyebabkan hapusnya bangsa manusia.

        Apa yang diperlukan ialah membatas atau mengehad kehendak-kehendak badan itu. Oleh itu seseorang itu bukanlah Hakim yang paling bijak untuk mengadili dirinya sendiri tentang Had itu. Maka ia lebih baik merundingi pemimpin-pemimpin keruhanian dalam perkara ini, dan hukum-hukum yang mereka bawa melalui Wahyu Ilahi menentukan batas dan Had yang mesti diperhatikan dalam hal ini.

     Siapa yang melanggar batas atau had ini "Menzalimi dirinya sendiri"(Al-Baqarah; 231). Walaupun Al-Qur'an telah memberi keterangan yang nyata, masih ada juga orang yang melanggar batas kerana kejahilan mereka tentang Allah dan kejahilan ini adalah kerana beberapa sebab;

       Pertama; ada golongan manusia yang kekal mencari Allah melalui pemerhatian, lalu mereka membuat kesimpulan dengan mengatakan tidak ada Tuhan dan alam ini terjadi dengan sendirinya atau wujudnya tanpa permulaan. Mereka ini seperti orang yang melihat surat yang tertulis dengan indahnya, dan mereka mengatakan surat itu sedia tertulis tanpa penulis atau telah sedia ada. Orang yang seperti ini telah jauh tersesat dan tidak berguna berhujah dan bertengkar dengan mereka. Setengah daripada orang-orang seperti ini adalah Ahli Fizik dan Ahli Kaji Bintang yang telah kita sebutkan di atas tadi.  

      Kedua; Ada pula setengah orang kerana kejahilan tentang keadaan sebenarnya Ruh itu. Mereka menyangkal adanya hidup di Akhirat dan menyangkal manusia itu diadil di sana. Mereka anggap diri mereka itu satu taraf dengan binatang dan tumbuh-tumbuhan dan akan hancur begitu sahaja.

     Ketiga; Ada juga orang yang percaya dengan Allah dan Hari Akhirat, tetapi kepercayaan atau Iman mereka itu sangat lemah. Mereka berkata kepada diri mereka sendiri; "Allah itu Maha Agung dan tidak ada sangkut-paut dengan kita, walaupun kita sembah Dia atau tidak; tidak menjadi apa-apa kepadaNya". Fikiran mereka ini seperti orang sakit yang disuruh makan ubat, tetapi ia berkata; "Apa untung atau ruginya doktor itu jika aku makan ubat atau tidak makan ubat?".

       Memang tidak terjadi apa-apa kepada doktor itu tetapi pesakit itulah yang akan bertambah teruk kerana degilnya. Badan yang sakit berakhir dengan mati. Maka Ruh atau Jiwa yang sakit berakhir dengan kesusahan dan kesiksaan di akhirat nanti, seperti firman Allah Taala dalam Al-Qur'an yang bermaksud; "Hanya mereka yang kembali kepada Allah dengan hati yang Salim itulah yang akan terselamat". 

     Keempat; Jenis orang yang tidak beriman ialah mereka yang berkata; "Hukum Syariat menyuruh kita jangan marah, jangan menurut nafsu, jangan bersikap munafik. Ini tidak mungkin kerana sifat-sifat ini telah memang ada semula jadi pada kita. Lebih baik tuan suruh saya membuat yang hitam itu jadi putih". Mereka ini sebenarnya bodoh. Mereka jahil dengan hukum Syariat. Hukum Syariat tidak menyuruh manusia membuang sama sekali perasaan itu, tetapi hendaklah ianya dikawal (control) supaya tidak melanggar batas yang dibenarkan. Supaya dengan mengelakkan diri dari dosa besar, kita boleh memohon keampunan terhadap dosa-dosa kita yang kecil. Sedangkan Rasulullah ada bersabda; "Saya ini manusia juga seperti kamu, dan marah juga seperti orang lain". Firman Allah dalam Al-Qur'an; "Allah kasih kepada mereka yang menahan kemarahan mereka".(Al-Imran:146) Ini bererti bukan mereka yang tidak ada langsung perasaan marah.

      Kelima; Mereka yang menekankan Kemurahan Tuhan sahaja tetapi mengenepikan KeadilanNya, lalu mereka berkata kepada diri mereka sendiri; "Kami buat apa sahaja kerana Allah itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang".

      Mereka tidak ingat meskipun Allah itu Pengasih dan Penyayang, namun beribu-ribu manusia mati kebuluran dan kerana penyakit. Mereka tahu, barangsiapa hendak hidup atau hendak kaya, atau hendak belajar, mestilah jangan hanya berkata; "Allah itu Maha Kasih Sayang". Tetapi perlulah ia berusaha sungguh-sungguh. Meskipun ada firman Allah dalam Al-Qur'an; "Tiap-tiap makhluk yang hidup itu Allah beri ia rezeki"(Surah Hud:06) Tetapi hendaklah juga ingat Allah juga berfirman; "Manusia tidak akan mendapat apa-apa kecuali dengan berusaha". Sebenarnya mereka yang berpendapat di atas itu adalah dipengaruhi oleh Syaitan dan mereka bercakap di mulut sahaja, bukan di hati.  

    Keenam: Golongan keenam pula menganggap mereka telah sampai ke taraf kesucian dan tidak berdosa lagi. Tetapi kalau anda layan mereka dengan kasar dan tidak hormat, anda akan dengar mereka merungut bertahun-tahun mengata anda; dan jika anda ambil makanan sesuap pun yang sepatutnya mereka perolehi dari mereka, seluruh alam ini kelihatan gelap dan sempit pada perasaan mereka.

    Jikalau pun mereka itu sebenarnya telah dapat menakluki hawa nafsu mereka, mereka tidak berhak menganggap dan mengatakan diri mereka itu tidak berdosa lagi, kerana Nabi Muhammad SAW sendiri, manusia yang paling tinggi darjatnya, sentiasa mengaku salah dan memohon ampun kepada Allah. Setengah daripada Rasul-rasul itu sangat takut berbuat dosa sehingga daripada perkara-perkara yang halal pun mereka menghindarkan diri mereka. Adalah diriwayatkan, suatu hari Nabi Muhammad SAW telah diberi sebiji tamar. Beliau enggan memakannya kerana beliau tidak pasti sama ada buah tamar itu didapati secara halal atau tidak.

      Tetapi mereka menelan arak bergelen-gelen banyaknya dan berkata mereka lebih mulia daripada Nabi. Walhal sebutir tamar pun tidak disentuh oleh Nabi jika belum pasti sama ada halal atau tidak. Sesungguhnya mereka telah diheret dan disesatkan oleh Iblis. Aulia (wali) Allah yang sebenarnya mengetahui bahawa orang yang tidak menakluki hawa nafsunya tidak patut dipanggil "orang" dan orang Islam yang sebenarnya ialah mereka yang dengan rela hati tidak mahu melanggar Syariat sewenang-wenangnya.

    Mereka yang melanggar Syariat adalah sebenarnya dipengaruhi oleh Syaitan dan mereka ini sepatutnya bukan dinasihati dengan pena, tetapi adalah sewajarnya dengan pedang. Sufi-sufi yang palsu ini kadang-kadang berpura-pura tenggelam dalam lautan kehairanan atau tidak sedar, tetapi jika ditanya mereka apakah yang mereka hairankan itu, mereka tidak tahu. Sepatutnya mereka disuruh memenungkan kehairanan sebanyak-banyak yang mereka suka, tetapi di samping itu hendaklah ingat bahawa Allah s.w.t.  itu adalah Pencipta mereka dan mereka itu adalah hamba Allah sahaja.


bersambung..........

Wallahu a’lam
Kuliah Maghrib
Tajuk: Kimia Kebahagiaan
Penyampai (Pendakwah) /Penceramah : Ahmad Yatimi Mohamad
Tempat : Islamic Centre , UniKL-Malaysian Institute of Chemical and Bioengineering Technology
Tarikh: 11, 18,25 October 2011 & 1,8 November 2011

Tuesday, October 11, 2011

Kimia Kebahagiaan -Alam Ghaib

     Menyambung Kuliah KIMIA kebahagian pada minggu lepas dan sambungannya mengenai Alam Ghaib.. Tok Kenali juga ada membicakan secara detail mengenai Bab Mengenal Diri. Akan tetapi di dalam kuliah dan bab ini hanya memfokus dengan apa yang di tulis oleh IMAM Al Ghazali.
     Pembukaan pintu hati terhadap ke Alam Ghaib ini berlaku juga dalam keadaan-keadaan yang hampir dengan Wahyu Kenabian, di mana Intuisi atau Wahyu atau Ilham terbit dalam fikiran tanpa dibawa melalui saluran-saluran deria (pancaindera) sebagaimana seseorang itu menyucikan dirinya dari pengaruh nafsu kebendaan dan menumpukan (konsentrasi) fikirannya kepada Allah. Maka semakin bertambah teranglah kesedarannya terhadap Intuisi atau Ilham sedemikian itu. Mereka yang tidak sedar tentang perkara ini tidak berhak menafikan hakikat tersebut.
      Intuisi(Ilham) ini bukanlah terhad bagi mereka Kenabian sahaja. Ibarat besi, jika selalu digosok dan digilap akan menjadi berkilat seperti cermin. Begitu juga jiwa dan fikiran yang diasuh dengan disiplin sedemikian rupa akan dapat menerima khabaran dari Alam Ghaib itu.

     Sebab itulah Nabi Muhammad SAW. ada bersabda; "Tiap-tiap kanak-kanak itu dilahirkan dalam keadaan Islam(fitrah), maka kemudian ibu-bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi" Tiap-tiap manusia dalam kesedaran batinnya yang dalam itu pernah mendengar soalan; Bukankah aku ini Tuhanmu?" dan mereka menjawab; "Ya",sebenarnya" tetapi sesetengah hati adalah ibarat cermin yang penuh berhabuk dan berkarat sehingga tidak memberi bayangan apa-apa di dalamnya.

   Tetapi hati Ambiya dan Aulia meskipun mereka itu manusia biasa yang mempunyai perasaan seperti kita, mereka sangat senang dan cepat menerima semua gambaran atau Ilham Ketuhanan Yang Maha Tinggi itu. Bukanlah kerana Ilmu yang didapati dari Ilham atau Wahyu atau Intuisi itu sahaja yang menyebabkan Ruh manusia itu boleh menduduki martabat pertama atau paling tinggi di kalangan makhluk, tetapi juga oleh kerana kekuasaannya (Ruh).

   Sebagaimana Malaikat-malaikat menguasai atau memerintah unsur-unsur, maka begitu jugalah Ruh itu. Ia memerintah anggota-anggota badan. Ruh-ruh yang mencapai peringkat kekuasaan yang khusus bukan sahaja memerintah badan mereka sendiri tetapi juga badan-badan yang lain. Jika mereka hendakkan orang sakit supaya sembuh, maka sembuhlah ia, atau orang yang sihat boleh disakitinya; atau jika mereka inginkan seseorang supaya datang kepada mereka, maka datanglah orang itu.

 
    Oleh kerana kerja-kerja Ruh yang kuat ada dua macam; iaitu baik dan jahat, maka perbuatan mereka itu pun dibahagikan dua macam juga iaitu Mukjizat dan yang lagi satu Sihir. Ruh-ruh yang kuat ini berbeza dari Ruh-ruh orang biasa dalam tiga perkara:

1. Apa yang orang lain dapat lihat secara mimpi dalam tidur, mereka lihat dalam jaga. 

2. Orang lain hanya dapat menguasai badan mereka sendiri sahaja. Mereka ini dapat menguasai badan-badan yang lain dari diri mereka juga.

3. Ilmu orang lain dapat secara belajar dan mengkaji bersungguh-sungguh. Mereka ini dapat Ilmu itu secara Ilham atau Wahyu.

   Bukanlah ini sahaja tanda yang membezakan mereka dari orang biasa. Ada lagi yang lain. Tetapi itulah sahaja yang kita ketahui. Sebagaimana juga kita ketahui iaitu Allah itu sahaja yang mengenal DiriNya Yang Sebenar-benarNya, begitu jugalah hanya Nabi-nabi itu juga yang mengenal Hakikat Kenabian itu sebenarnya. Ini tidaklah menghairankan.

    Sedangkan dalam kehidupan sehari-harian ini pun kita ada mengalami kesulitan untuk menerangkan keindahan sesuatu Syair atau Puisi kepada orang yang tidak tahu dan tidak faham tentang Syair dan Puisi; atau keindahan warna pada orang buta. Di samping ketidakupayaan biasa itu, ada lain-lain lagi yang menghalang seseorang itu mencapai Hakikat Keruhanian. Satu daripadanya ialah Ilmu yang diperolehi dari luar. Sebagai ibarat, hati itu adalah sebuah telaga, dan lima deria ialah lima batang tali air yang sentiasa mengalirkan air ke telaga itu.


     Untuk mengetahui isi telaga itu sebenarnya, tali air itu hendaklah dihentikan mengalir ke dalam telaga itu untuk sementara waktu, dan sampah sarap yang dibawa oleh tali air itu hendaklah dibuang dari telaga itu. Demikianlah ibaratnya. Sekiranya kita hendak mencapai Hakikat Keruhanian yang suci itu, maka kita hendaklah sementara waktu mengenepikan Ilmu yang diperolehi dari proses luar (iaitu yang datang dari luar seperti belajar, membaca dan sebagainya) yang mana selalunya telah menjadi beku dan keras dan bersifat Prasangka Yang Dokmatik(Doqmatic Prejudice).

      Di samping itu ada pula satu kesilapan yang dilakukan oleh orang-orang yang singkat IlmuNya, iaitu setelah mereka mendengar percakapan orang-orang Sufi, mereka pun merendah-rendahkan taraf ilmu. Ini adalah ibarat seorang yang bukan ahli dalam bidang Ilmu Kimia mengatakan, "Kimia itu lebih baik dari emas!", dan ia enggan menerima apabila emas diberikan kepadanya. Kimia lebih baik dari emas, tetapi ahli-ahli Kimia yang sebenar-benar pakar sangat sedikit bilangannya. Begitu jugalah ahli-ahli Sufi yang pakar sebenarnya amat sedikit bilangannya.

     Orang yang hanya tahu sedikit sahaja berkenaan Kesufian adalah tidak lebih tinggi martabatnya dari orang-orang yang berpengetahuan. Begitu juga orang yang baru mencuba beberapa percubaan dalam bidang Kimia, janganlah hendak merendah-rendahkan orang yang kaya. Orang-orang yang melihat berkenaan hal ini tentu akan melihat betapa kebahagiaan itu adalah sebenarnya berkaitan dengan Mengenal Allah s.w.t.

     Tiap-tiap anggota kita ini suka dan seronok dengan untuk apa yang sebenarnya ia dijadikan. Misalnya hawa nafsu suka dengan apa yang dikehendakinya; marah suka hendak membalas dendam; mata suka dengan benda yang indah; telinga suka mendengar muzik yang merdu dan sebagainya.

      Fungsi (tugas) Ruh manusia yang paling tinggi ialah Menyaksi atau Melihat Hakikat, dan di sanalah ia mendapat keseronokan dan kesukaannya. Seorang itu amat gembira diberi jawatan Perdana Menteri, tetapi kegembiraan itu akan bertambah jika Raja berkawan baik dengannya dan menceritakan kepadanya rahsia-rahsia negeri.
Ahli Ilmu Falak(Astronomer) dengan ilmunya dapat membuat peta-peta bintang dan perjalanan falaknya, akan merasai lebih seronok dari ilmunya itu daripada pemain catur dengan ilmunya. Tidak ada yang lebih tinggi dari Allah S.W.T..

     Alangkah besarnya keseronokan dan kebahagiaan yang didapati oleh seseorang itu hasil dari Makrifat Allah. Barangsiapa yang sudah hilang kemahuan untuk mencapai Ilmu yang sedemikian tinggi itu, maka orang itu adalah ibarat orang yang telah seleranya untuk memakan makanan yang baik-baik; atau pun seperti orang yang lebih suka memakan tanah daripada memakan roti.

      Semua selera badan kasar ini hilang sirnanya apabila mati (bercerai nyawa dengan badan). Selera itu mati bersama badan kasar itu. Tetapi Ruh tidak mati dan ia tetap membawa apa juga Ilmu tentang Ketuhanan yang ada padanya, bahkan menambahkan Ilmu itu lagi. Sebahagian penting berkenaan Ilmu kita tentang Allah adalah timbul dari kajian dan pemikiran kita tentang badan kita sendiri, yang membukakan kepada kita kekuasaan, kebijaksanaan dan Cinta Tuhan Yang Menjadikan segalanya. KekuasaanNya menunjukkan betapa setitik air dijadikan kita seorang manusia yang cukup lengkap.

      KebijaksanaanNya ditunjukkan dengan betapa rumit dan sulitnya anggota-anggota kita dan saling persesuaian antara bahagian-bahagian anggota itu antara satu dengan yang lain. CintaNya ditunjukkan dengan KurniaNya kepada kita bukan sahaja anggota-anggota yang paling penting untuk hidup seperti jantung, hati, otak, tetapi juga anggota-anggota yang lain juga perlu seperti tangan, kaki, lidah dan mata. Kemudian ditambah pula dengan perhiasan seperti hitam rambut, merahnya bibir, bulu mata yang melentik dan sebagainya.

     Maka sewajarnyalah manusia itu diibaratkan sebagai "ALAM KECIL" dalam dirinya sendiri. Bentuk dan susunan badan itu hendak dikaji bukan sahaja oleh mereka yang hendak jadi doktor tetapi juga hendaklah dikaji oleh mereka yang ingin mencapai MakrifatuLlah (mengenal Allah) sebagaimana juga mengkaji dengan mendalam tentang susunan keindahan bahasa dalam Puisi yang agung membukakan kepada kita makin lama makin banyak kebijaksanaan pengarangnya.

     Bahawa Ilmu atau Mengenal Ruh itu memainkan peranan yang lebih penting untuk membawa kepada MakrifatuLlah; lebih penting dari mengenal badan dan tugas-tugasnya. Badan ini ibarat kuda tunggangan dan Ruh itu ibarat Penunggangnya. Badan itu dijadikan untuk Ruh, dan Ruh itu untuk badan. Jika seseorang itu tidak tahu dirinya yang mana adalah yang paling hampir dengan Dia, maka apakah gunanya ia mengenal yang lain? Ibarat pengemis; yang dirinya sendiri pun payah hendak makan berkata pula ia boleh memberi makan kepada penduduk sebuah pekan.



       Dalam bab ini kita akan cuba sedikit-sebanyak membicarakan keagungan Ruh manusia. Orang yang tidak peduli kepada jiwa atau RuhNya dan membiarkan Ruh atau jiwa itu berkarat dan bergelap, maka rugilah ia di dunia dan di akhirat. Keagungan seseorang manusia itu sebenarnya terletak pada keupayaan untuk Maju yang kekal abadi. Jika tidak, dalam dunia fana ini, manusia itulah yang paling lemah dari segala makhluk kerana tertakluk kepada kepada lapar, dahaga, panas, sejuk dan dukacita. Perkara yang paling ia suka selalunya paling bahaya kepadanya, dan perkara yang memberi faedah kepadanya itu tidak dapat diperolehi tanpa usaha dan susah payah.

     Berkenaan dengan Aqalnya pula, kesilapan yang sedikit saja pada otak boleh menyebabkan ia gila dan rosak. Berkenaan kekuasaan pula, gigitan nyamuk sahaja telah cukup menyebabkan ia resah gelisah dan tidak dapat tidur. Berkenaan dengan perasaan pula, dia rasa dukacita hanya dengan kehilangan beberapa sen wang. Berkenaan dengan kecantikan pula, dia tidak lebih dari perkara yang kotor dibalut dengan kulit yang licin lunak. Tanpa dibasuh selalu, ia menjadi Ain dan tidak menarik lagi. Pada hakikatnya, manusia itu dalam dunia ini adalah sangat lemah dan hina. Hanya di akhirat kelak manusia itu akan bernilai dan berharga. Jika dengan cara "Kimia Kebahagiaan" dia meningkat naik dari peringkat binatang kepada peringkat Malaikat.

      Kalau tidak, peringkat lebih hina dan rendah dari binatang yang akan hancur dan akan jadi tanah. Maka perlulah bagi manusia di samping sedar tentang ketinggian martabatnya dari semua makhluk, sedarlah hendaknya tentang lemah hinanya, kerana itu pun adalah satu daripada "anak kunci" membuka pintu Mengenal Allah (MakrifatuLlah).


bersambung....

Wallahu a’lam

Kuliah Maghrib
Tajuk: Kimia Kebahagiaan
Penyampai/Penceramah : Ahmad Yatimi Mohamad
Tempat : Islamic Centre , UniKL-Malaysian Institute of Chemical and Bioengineering Technology
Tarikh: 27 September 2011 & 4 October 2011

Thursday, September 22, 2011

KIMIA KEBAHAGIAAN -Mengenal Diri

KIMIA KEBAHAGIAAN-Mengenal DIRI 
 
     Sedikit kupasan dari Kuliah semalam, Kimia Kebahagian...
 

         Manusia ini bukanlah dijadikan untuk gurau-senda atau "saja-saja" semata-mata. Tetapi adalah dijadikan dengan 'Ajaib sekali dan untuk tujuan yang besar dan mulia. Meskipun manusia itu bukan Qadim (kekal dari azali lagi), namun ia hidup selama-lamanya. Meskipun badannya kecil dan berasal dari bumi, namun Ruh atau Nyawa adalah tinggi dan berasal dari sesuatu yang bersifat Ketuhanan.

     Apabila hawa nafsunya dibersihkan sebersih-bersihnya, maka ia akan mencapai taraf yang paling tinggi. Ia tidak lagi menjadi hamba kepada hawa nafsu yang rendah. Ia akan mempunyai sifat-sifat seperti Malaikat. Dalam peringkat yang tinggi itu, didapatinya SyurgaNya adalah dalam bertafakur mengenang Allah Yang Maha Indah dan Kekal Abadi.

     Tidaklah lagi ia tertakluk kepada kehendak-kehendak kebendaan dan kenafsuan semata-mata. Semalam kita telah berbincang dan masing-masing memberi hujah dan pandangan apa yang di maksudkan dengan kimia.. Kimia juga merupakan prosess daripada logam menjadi emas, atau daripada reaction kepada product atau daripada A menjadi B atau process tindak balas atau juga dari satu process kepada satu process.. dan pelbagai contoh telah di berikan..
  
     bergitu juga, dari pada jahat kepada baik, daripada baik kepada lebih baik, daripada lebih baik kepada soleh.. dan pelbagai lagi.. semua process yang berlaku atau perhijrahan /penukaran di sebut Kimia..

      Al-Kimiya' Keruhanian yang membuat pertukaran ini. Seorang manusia itu adalah ibarat bahan "Kimia" yang menukarkan logam biasa( Base Metal) menjadi emas.Kimia ini bukan senang hendak dicari. Ia bukan ada dalam sebarang rumah orang..

        Kimia ini ialah ringkasya berpaling dari dunia dan menghadap kepada Allah Subhanahuwa Taala. Bahan-bahan Kimia ini adalah;  

1. Mengenal Diri 

2. Mengenal Allah 

3. Mengenal Dunia ini Sebenarnya (Hakikat Dunia)

4. Mengenal Akhirat sebenarnya (Hakikat Akhirat)
 

      Di dalam Kitab Kimiya Saa'dah (Kimia Kebahagiaan) karangan Imam Al-Ghazali ini telah menjelaskan apa itu kimia yang dimaksudkan dan bagaimana mereka beroperasi...

   Di dalam kitab ini, kita akan membincangkan mengenai juga :

1- Mengenal Diri

2- Mengenal Allah s.w.t 

3-Mengenal Dunia 

4-Mengenal Akhirat

5-Tentang Musik dan Tarian sebagai Pembantu kehidupan ke agamaan

6-Pemeriksaan Dzikir kepada Allah

7-Perkahwinan sebagai pendorong atau penghalang Dalam kehidupan keagamaan

8-Cinta kepada Allah s.w.t

      Semalam kita telah membincangkan Tajuk Kimia kebahagiaan bab Mengenal Diri..

    Mengenal diri itu adalah "Anak Kunci" untuk Mengenal Allah. Hadis ada mengatakan; 'Siapa yang kenal dirinya, maka dia Mengenal Allah". Firman Allah Taala; "Kami akan tunjukkan kepada mereka tanda-tanda Kami dalam dunia ini dan dalam diri mereka sendiri, supaya Hakikat itu boleh terzahir kepada mereka" (Al-Fusilat:53)

        Tidak ada perkara yang lebih hampir dari diri sendiri. Jika kita tidak kenal diri sendiri, bagaimana kita hendak tahu perkara-perkara yang lain? Yang dimaksudkan dengan Mengenal Diri itu bukanlah mengenal bentuk lahir kita, badan, muka, kaki, tangan dan lain-lain anggota kita itu. Kerana mengenal semua perkara itu tidak akan membawa kita mengenal Allah. Dan bukan pula mengenal setakat perkara dalam diri kita iaitu bila kita lapar kita makan, bila dahaga kita minum, bila marah kita memukul dan sebagainya.

     Jika kita bermaksud demikian, maka binatang itu sama juga dengan kita. Yang dimaksudkan sebenar mengenal diri itu ialah; · Apakah ada dalam diri aku itu? · Dari mana aku datang? · Ke mana aku akan pergi? · Apakah tujuan aku berada dalam dunia fana ini? · Apakah sebenarnya bahagia dan apakah sebenarnya derita? Sebahagian daripada sifat-sifat kita adalah bercorak kebinatangan.Sebahagian pula bersifat Iblis dan sebahagian pula bersifat Malaikat.

     Kita hendaklah sedari sifat yang mana perlu ada; dan yang tidak perlu. Jika kita tidak tahu, maka tidaklah kita tahu di mana letaknya kebahagiaan kita itu. Kerja binatang ialah makan minum, bekerja, tidur,bersyahwat dan berkelahi. Jika kita hendak jadi binatang, buatlah itu sahaja. Iblis dan syaitan itu sibuk hendak menyesatkan manusia, pandai menipu dan berpura-pura. Kalau kita hendak menurut mereka itu, buatlah sebagaimana kerja-kerja mereka itu.

     Malaikat sibuk dengan memikir dan memandang Keindahan Ilahi. Mereka bebas dari sifat-sifat kebinatangan. Jika kita ingin bersifat dengan sifat KeMalaikatan, maka berusahalah menuju asal kita itu agar dapat kita mengenali dan memikirkan Allah Yang Maha Tinggi dan bebas dari belenggu hawa nafsu. Kita hendaklah tahu kenapa kita dilengkapi dengan sifat-sifat kebinatangan itu. Adakah sifat-sifat kebinatangan itu akan menaklukkan anda atau adakah anda menakluki mereka?.

     Dan dalam perjalanan kita ke atas martabat yang tinggi itu, kita akan gunakan mereka sebagai tunggangan dan sebagai senjata. Langkah pertama untuk mengenal diri ialah mengenal dalam diri itu terdiri dari bentuk yang zahir, iaitu badan; dan perkara yang batin iaitu hati atau Ruh.

     Yang dimaksudkan dengan "HATI" itu bukanlah seketul daging yang terletak dalam sebelah kiri badan. Yang dimaksudkan dengan "HATI" itu ialah satu perkara yang menggunakan semua keupayaan; yang lain itu hanyalah sebagai alat dan kakitangannya. Pada hakikat hati itu bukan termasuk dalam bidang Alam Nyata(Alam Ijsam) tetapi adalah termasuk dalam Alam Ghaib. Ia datang ke Alam Nyata ini ibarat pengembara yang melawat negeri asing untuk tujuan berniaga dan akhirnya kembali akan kembali juga ke negeri asalnya.

     Mengenal perkara seperti inilah dan sifat-sifat itulah yang menjadi "Anak Kunci" untuk mengenal Allah. Sedikit idea tentang hakikat Hati atau Ruh ini bolehlah didapati dengan memejamkan mata dan melupakan segala perkara yang lain kecuali diri sendiri. Dengan cara ini, dia akan dapat melihat tabiat atau keadaan "diri yang tidak terbatas itu". Meninjau lebih dalam tentang Ruh itu adalah dilarang oleh hukum. Dalam Al-Quran ada diterang; Mereka bertanya kepadamu tentang Ruh. Katakanlah Ruh itu adalah dari Amar(perintah atau urusan) TuhanKu". (Bani Israil:85) Demikianlah sepanjang yang diketahui tentang Ruh itu dan ia adalah jauhar yang tidak boleh dibahagi-bahagi atau dipecah-pecahkan dan ia termasuk dalam "Alam Amar".

     Ianya bukanlah tidak ada permulaan. Ia ada permulaan dan diciptakan oleh Allah. Pengetahuan falsafah yang tepat berkenaan dengan Ruh ini bukanlah permulaan yang mesti ada dalam perjalanan Agama, tetapi adalah hasil dari disiplin diri dan berpegang teguh dalam jalan itu; seperti tersebut di dalam Al-Quran; "Siapa yang bersungguh-sungguh dalam jalan Kami, nescaya Kami akan pimpin mereka ke jalan yang benar itu". (Al-Ankabut:69)

    Untuk menjalankan perjuangan Keruhanian ini, bagi mencapai pengenalan kepada diri dan Tuhan, maka · badan itu bolehlah diibaratkan sebagai sebuah Kerajaan, · Ruh itu ibarat Raja. ·

  Pelbagai deria(senses) dan keupayaan(fakulti) itu ibarat satu ketumbukan tentera, ·
 
      Aqal itu bolehlah diibaratkan sebagai Perdana Menteri. ·
 
    Perasaan itu ibarat Pemungut Hasil. · 

Marah itu ibarat Pegawai Polis.

   Dengan pakaian Pemungut Hasil, perasaan itu berterusan ingin hendak merampas, merabuk dan marah sentiasa cenderung kepada kekasaran.

  Kedua-dua mereka ini perlu ditundukkan ke bawah perintah Raja. Bukan dibunuh atau dimusnahkan kerana mereka ada tugas yang perlu mereka jalankan, tetapi jika perasaan dan marah menguasai Aqal, maka tentulah Ruh akan hancur.

  Ruh yang membiarkan keupayaan-keupayaan yang bawahnya menguasai keupayaan-keupayaan yang atas adalah ibarat orang orang yang menyerahkan malaikat kepada kekuasaan Anjing atau menyerahkan seorang Muslim ke tangan orang Kafir yang zalim. Orang yang menumbuh dan memelihara sifat-sifat iblis atau binatang atau Malaikat akan menghasilkan ciri-ciri atau watak yang sepadan dan dengannya iaitu iblis atau binatang atau Malaikat itu.

   Dan semua sifat-sifat atau ciri-ciri ini akan dizahirkan dengan bentuk-bentuk yang kelihatan di Hari Pengadilan. · Orang yang menurut hawa nafsu terzahir seperti babi, · orang yang garang dan ganas seperti anjing dan serigala, · dan orang yang suci seperti Malaikat. Tujuan disiplin akhlak (moral) ialah untuk membersihkan Hati dari karat-karat hawa nafsu dan marah, sehingga ia jadi seperti cermin yang bersih yang akan membalikkan Cahaya Allah Subhanahuwa Taala.

    Mungkin ada orang bertanya; "Jika seorang itu telah dijadikan dengan mempunyai sifat-sifat kebinatangan, Iblis dan juga Malaikat, bagaimanakah kita hendak tahu yang sifat-sifat Malaikat itu adalah jauharnya yang hakiki dan yang lain-lain itu hanya sementara dan bukan sengaja?" Jawabannya ialah jauhar atau zat sesuatu makhluk itu ialah dalam sifat-sifat yang paling tinggi yang ada padanya dan khusus baginya. Misalnya keldai dan kuda adalah dua jenis binatang pembawa barang-barang, tetapi kuda itu dianggap lebih tinggi darjatnya dari keldai kerana kuda itu digunakan untuk peperangan.

     Jika ia tidak boleh digunakan dalam peperangan, maka turunlah ke bawah darjatnya kepada darjat binatang pembawa barang-barang sahaja. Begitu juga dengan manusia; keupayaan yang paling tinggi padanya ialah ia boleh berfikir iaitu ia ada Aqal. Dengan fikiran itu dia boleh memikirkan perkara-perkara Ketuhanan. Jika keupayaan berfikir ini yang meliputi dirinya, maka bila ia mati (bercerai nyawa dari badan), ia akan meninggalkan di belakang semua kecenderungan pada hawa nafsu dan marah, dan layak duduk bersama dengan Malaikat.

    Jika berkenaan dengan sifat-sifat Kebinatangan, maka manusia itu lebih rendah tarafnya dari binatang, tetapi Aqal menjadikan manusia itu lebih tinggi tarafnya, kerana Al-Quran ada menerangkan bahawa; "Kami telah tundukkan segala makhluk di bumi ini kepada manusia" (Luqman:20) Jika sifat-sifat yang rendah itu menguasai manusia, maka setelah mati, ia akan memandang terhadap keduniaan dan rindukan kepada keseronokan di dunia sahaja. · 

    Ruh manusia yang berakal itu penuh dengan kekuasaan dan pengetahuan yang sangat menakjubkan. · Dengan Ruh Yang Berakal itu manusia dapat menguasai segala cabang ilmu dan Sains; ·
   Dapat mengembara dari bumi ke langit dan balik semula ke bumi dalam sekelip mata, · Dapat memeta langit dan mengukur jarak antara bintang-bintang. · Dengan Ruh itu juga manusia dapat menangkap ikan-ikan dari laut dan burung-burung dari udara, dan · Menundukkan binatang-binatang untuk berkhidmat kepadanya seperti gajah, unta dan kuda.
  
     Lima deria (pancaindera) manusia itu adalah ibarat lima buah pintu terbuka menghadap ke Alam Nyata (Alam Syahadah) ini. Lebih ajaib dari itu lagi ialah ia ada Hati. Hatinya itu ada sebuah pintu yang terbuka menghadap ke Alam Arwah (Ruh-ruh) yang ghaib.

    Dalam keadaan tidur, apabila pintu-pintu deria tertutup, pintu Hati ini terbuka dan manusia menerima khabaran atau kesan-kesan dari Alam Ghaib dan kadang-kadang membayangkan perkara-perkara yang akan datang. Maka hatinya adalah ibarat cermin yang membalikkan (bayangan) apa yang tergambar di Luh Mahfuz.

    Tetapi meskipun dalam tidur, fikiran tentang perkara keduniaan akan menggelapkan cermin ini. Dan dengan itu gambaran yang diterimanya tidaklah terang. Selepas bercerai nyawa dengan badan (mati), fikiran-fikiran tersebut hilang sirna dan segala sesuatu terlihatlah dalam keadaan yang sebenar.

    Benarlah firman Allah dalam Al-Quran; "Kami telah buangkan hijab dari kamu dan pandangan kamu hari ini sangatlah terang dan nyata". (Surah Qaf:22).

 bersambung.....

Wallahu a’lam

Kuliah Maghrib

Tajuk: Kimia Kebahagiaan

Penyampai (Pendakwah) /Penceramah : Ahmad Yatimi Mohamad

Tempat : Islamic Centre , UniKL-Malaysian Institute of Chemical and Bioengineering Technology

Tarikh: 20/9/2011

Monday, August 1, 2011

Mesti Tahu : Peristiwa Besar Yang Berlaku Pada Bulan Ramadhan



Bulan Ramadhan bukan hanya terkenal sebagai pusat latihan ibadah kepada umat Islam, malah ia juga terkenal dengan peristiwa besar dalam sejarah Islam antaranya:


BULAN DITURUNKAN AL KITAB


Beberapa hari yang ditentukan itu ialah bulan Ramadhan. Bulan yang diturunkan di dalamnya (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk untuk manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pemisah antara yang benar dan salah.


Para pakar tafsir dan hadis merekodkan, Allah juga menurunkan kitab-kitab dan suhuf iaitu kitab-kitab kecil selain Zabur, Taurat, Injil dan Al Quran kepada para rasul terdahulu pada bulan Ramadhan.


PERISTIWA BADAR




Pada hari Jumaat 2 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah berlakunya perang pertama dalam Islam yang dikenali Perang Badar. Badar adalah nama tempat di sebuah lembah yang terletak di antara Madinah dan Mekah. Tentera Islam mengawal lokasi strategik dengan menguasai sumber air yang terdapat di situ.


Perang ini melibatkan tentera Islam seramai 313 anggota berhadapan dengan 1,000 anggota tentera musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata. Dalam peperangan ini, tentera Islam memenangi pertempuran dengan 70 tentera musyrikin terbunuh, 70 lagi ditawan manakala bakinya melarikan diri.


Peperangan ini adalah suatu yang luar biasa apabila tentera Islam yang kurang jumlah, lemah daripada sudut kelengkapandan berpuasa dalam bulan Ramadhan memenangi pertempuran Perang Badar. Ini membuktikan puasa bukan penyebab umat Islam bersikap lemah dan malas sebaliknya berusaha demi mencapai keredhaan Allah. Orang yang berjuang demi mencapai kerdhaan Allah pasti mencapai kemenangan yang dijanjikan. Allah menegaskan dalam Surah Aali ‘Imran ayat 123 hingga 125.


Sesungguhnya Allah menolong kamu dalam Perang badar, sedangkan pada masa itu kamu orang yang lemah. Sebab itu bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mensyukurinya.


ISLAM MEMBUKA KOTA MEKAH



Peristiwa ini berlaku pada 10 Ramadhan tahun ke-6 Hijrah. Peristiwa kemuncak ini berlaku apabila musyrikin Mekah melanggar perjanjian Hudaibiah yang termeterai dengan orang islam. Antara kandungan perjanjian ini menyebut, setiap suku Arab boleh memilih sama ada menjadi sekutu Muhammad ataupun sekutu Quraisy. Kedua-dua pihak tidak boleh berperang dalam tempoh 10 tahun dan tidak boleh membantu pihak lain berperang.


Malangnya, dalam suku-suku Arab yang bersekutu itu, ada golongan yang bertelagah iaitu Bani bakar dan Khuza’ah. bani Bakar bersekutu dengan Quraisy Mekah manakala Khuza’ah memilih bersekutu dengan Nabi Muhammad.


Pada satu malam, Bani Bakar dengan pertolongan Quraisy Mekah menyerang perkampungan suku Khuza’ah di lembah Watir. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad, beliau mengerahkan ratusan ribu umat Islam marake Mekah tanpa pengetahuan penduduk musyrikin Mekah. Beliau menolak sebarang rundingan dengan pihak Quraisy sehingga kemaraan umat Islam hanya diketahui apapbila hampir memasuki Kota Mekah. Penduduk musyrikin menjadi jumlah yang kecil tanpa sebarang persiapan hanya bersembunyi di bukit, rumah ibadat dan rumah Abu Sufian.

Akhirnya umat Islam memasuki kota Mekah tanpa sebarang pertumpahan darah. Peristiwa ini menggambarkan pertolongan Allah kepada hamba-hamba yang ikhlas kepadaNya. Allah menyebut dalam Al Quran Surah Al Fath ayat 1:

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata.

Sebahagian pakar tafsir Al Quran memberi maksud ‘kemenangan’ dengan kemenangan bermaksud membuka Mekah.


PERISTIWA PERJALANAN NABI MUHAMMAD SAW KE TABUK



Apabila pengaruh Nabi Muhammad SAW tersebar ke pelosok Semenanjung Tanah Arab, ia memberikan tamparan hebat kepada Rom yang menjadi kuasa besar pada masa itu. Lantas Herkules, Maharaja Rom Timur (Bizantin) memutuskan bagi menyekat pengaruh umat Islam dengan utara Tanah Arab.


Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad SAW, beliau mengarahkan umat Islam berkumpul bagi menghadapi Rom dan mengutip zakat. Pada masa itu tanah Arab dilanda panas dan kesusahan. Iman umat islam ketika itu benar-benar teruji. namun, mereka tetap taat kepada perintah Nabi Muhammad. Beliau sendiri memimpin tentera seramai 30,000 anggota ke utara Madinah.


Apabila tentera Islam tiba di Tabuk, tentera Rom tidak berada di situ. Sebaliknya Rom menarik diri apabila mengetahui kemaraan tentera Nabi Muhammad SAW yang ramai. Tentera Islam terus mengasak Rom sehingga termeterai perjanjian antara Islam dan Rom. Sebagai persetujuan, Rom tunduk dan bernaung di bawah pemerintahan Nabi Muhammad SAW dan dikenakan cukai sebanyak 3,000 dinar setiap tahun.


ISLAM SAMPAI KE YAMAN


Yaman terletak di selatan Semenanjung Tanah Arab. Nabi Muhammad mengutuskan Ali bin Abu Talib dengan membawa surat beliau untuk penduduk Yaman khususnya suku Hamdan. Dalam tempoh satu hari, kesemua mereka memeluk agama Islam secara aman. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke-10 Hijrah.


KHALID BIN AL WALID MERUNTUHKAN BERHALA AL ‘UZZA


Selepas umat Islam membebaskan kota Mekah, Nabi Muhammad SAW menyucikannya dengan memusnahkan 360 patung di sekeliling Kaabah. Lima hari sebelum berakhirnya Ramadhan tahun ke-9 hijrah, beliau menghantar Khalid al Walid bagi memusnahkan patung al ‘Uzza di Nakhla.

Menurut kepercayaan Arab jahiliyyah, al ‘Uzza adalah patung dewi terbesar di situ. Ia sering disebut oleh masyarakat Arab apabila melafazkan sumpah. Khalid al Walid melaksanakan tugas itu dengan bergerak menuju ke Nakhla lalu menghancurkan patung al ‘Uzza. Selepas itu, penyembahan patung pun berakhir.


PENYERAHAN BANDAR TAIF



Bandar Taif pernah mencatatkan sejarah apabila penduduknya menghalau Nabi Muhammad SAW semasa berdakwah di sana. Selepas beliau dan umat Islam berjaya membebaskan Mekah, golongan Bani Thaqif berkeras tidak mahu tunduk kepada Nabi Muhammad SAW. Nabi Muhammad SAW dan tentera Islam mara ke Taif lalu mengepungnya dalam tempoh yang lama. Akhirnya rombongan mereka datang ke Mekah pada bulan Ramadhan tahun ke-9 Hijrah dengan menyerahkan bandar Taif sebagai tanda menyerah kalah. Patung al Laata yang dipuja sebelum ini dimusnahkan.


PEMBUKAAN ANDALUS (SEPANYOL)


Andalus adalah nama Arab yang diberikan kepada wilayah-wilayah bahagian Semenanjung Iberia yang diperintah oleh orang Islam selama beberapa waktu bermula tahun 711 hingga 1492 Masihi. Pada 28 Ramadhan tahun ke-92 Hijrah, panglima Islam bernama Tariq bin Ziyad dihantar pemerintahan Bani Umaiyah bagi menawan Andalus.


Tariq memimpin armada Islam menyeberangi laut yang memisahkan Afrika dan Eropah. Selepas pasukan tentera Islam mendarat, Tariq membakar kapal-kapal tentera Islam supaya mereka tidak berfikir untuk berundur. Akhirnya Andalus ditawan dan menyelamatkan rakyatnya yang dizalimi. Islam bertapak di Andalus selama lapan abad dan meninggalkan kesan tamadun yang tinggi nilainya kepada dunia barat.


PEPERANGAN ZALLAQAH; PORTUGAL


Peristiwa ini berlaku selepas subuh hari Jumaat, bulan Ramadhan tahun 459 Hijrah. Ketika itu, berlaku kebangkitan Dinasti Murabit di Afrika Utara. Gabenor Cordova, al Muktamin meminta bantuan Sultan Dinasti Murabit, Yusuf bin Tasyifin bagi memerangi al Fonso VI. Tentera Kristian yang diketuai oleh al Fonso VI yang berjumlah 80,000 tentera berjaya dikalahkan. Dalam masa yang singkat Sultan Yusuf berjaya menguasai seluruh Sepanyol dan menyelamatkan umat Islam. Selepas itu, Sepanyol Dinasti Murabit berdiri sejak 1090 hingga 1147 Masihi.


TENTERA ISLAM MENGALAHKAN TENTERA MONGOL



Pada tahun 126 hingga 1405 masihi, kaum Mongol melebarkan penaklukannya hampir kesemua benua Asia. Menurut rekod, empayar penaklukan mereka meliputi seluas 33 juta kilometer persegi. Jeneral tentera Mongol dikenali sebagai Genghis Khan. Dalam misi penaklukan itu, mereka membunuh melebihi sejuta rakyat negara yang ditakluki. Penaklukan mereka menjangkau hingga ke Moscow dan Kiev.


Pada tahun 1258, tentera pimpinan Jeneral Hulagu Khan merempuh kota Baghdad yang menjadi kemegahan Dinasti Abbasiah. Dalam serangan itu, ramai umat Islam terbunuh dan banyak buku karangan sarjana Islam dibuang ke dalam Sungai Furat dan Dajlah sehingga airnya menjadi hitam kerana dakwat.


Pada 15 Ramadhan 658 Hijrah bersamaan 1260 Masihi, angkatan tentera Islam bangkit membuat serangan balas. Tentera Islam dan para ulama pimpinan Sultan Qutuz dari Dinasti Mamluk, Mesir mara ke Palestin selepas Mongol menguasainya. Kedua-dua pihak bertemu di ‘Ain Jalut.

Dalam pertempuran itu, tentera Islam meraih kemenangan dan berjaya menawan Kitbuqa Noyen, seorang Leftenan Kristian yang memberi nasihat kepada Hulagu Khan bagi menyerang Baghdad. Kitbuqa akhirnya dihukum bunuh. Kemenangan itu adalah suatu yang luar biasa apabila Mongol yang terkenal dengan keganasan akhirnya kalah kepada tentera Islam.


PEPERANGAN YAKHLIZ


Pada 15 Ramadhan 1294 Hijrah, bala tentera Islam Dinasti Uthmaniah yang dipimpin oleh Ahmad Mukhtar Basya dengan jumlah 34,000 anggota mengalahkan tentera Rusiayang berjumlah 740,000. Seramai 10,000 tentera Rusia terbunuh dalam pertempuran itu. Ia menjadi kebanggaan umat Islam mempertahankan agama yang diancam oleh kerajaan Tzar di Rusia.


TERTAWANNYA GARIS BAR LEV, ISRAEL


Dalam sejarah moden, berlaku Perang Yom Kippur yang melibatkan tentera Islam pakatan Mesir dan Syria dengan tentera Yahudi Israel pada 10 Ramadhan 1390 Hijrah bersamaan 6 Oktober hingga 22 atau 24 Oktober 1973 Masihi. Perang Yom Kippur, juga dikenali sebagai Peperangan Arab-Israel 1973, Perang Oktober, dan Perang Ramadhan.


Ia adalah sebahagian daripada konflik Arab-Israel sejak dari tahun 1948. Pada bulan Jun 1967, berlaku Perang Enam Hari antara Israel dengan Mesir, Syria dan Jordan. Dalam pertempuran itu , Israel berjaya menduduki Bukit Golan, Syria di utara serta Semenanjung SInai, Mesir di selatan sehingga ke Terusan Suez. Selepas itu, Israel membina barisan pertahanan di SInai dan Bukit Golan. Pada tahun 1971, Israel memperuntukkan 500 juta dolar Amerika bagi membina kubu dan kerja tanah raksasa yang dinamai Garis Bar Lev sempena nama Jeneral Israel, Haim Ber Lev.


Israel bermegah dengan kubu Bar Lev yang didakwa ‘tidak dapat ditawan’ kerana mempunyai kekebalan dan teknologi peralatan yang canggih. Namun, tentera Islam berjaya menawan kubu itu sekaligus mengalahkan Israel. Antara peristiwa menarik dalam peperangan ini adalah peranan seorang sarjana Islam merangkap sebagai Imam Masjid Bandar Suez al Marhum, Syeikh Hafiz Salamah yang mengambilalih pimpinan operasi peperangan.


Beliau menggantikan jawatan ini apabila gabenor daerah bersedia menyerah kalah. Akhirnya para mujahidin gabungan tentera Mesir, Syria dan penduduk bandar Suez berjaya megasak tentera Israel yang terpaksa berundur sehingga terpaksa menyerahkan Semenanjung Sinai dan Bukit Golan

Sumber

Sunday, July 31, 2011

TARBIYAH ISLAMIYAH HARAKIYAH



Allah Taala berfirman di dalam Surah Al 'Asr, "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman, yang mengerjakan amal soleh , dan yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan- pesan dengan kesabaran". Ayat ini merupakan prinsip penting bagi manusia yang benar-benar melaksanakan peranannya, mengapa mereka dicipta dan diletakkan di atas muka bumi Allah. Allah telah menetapkan tiga tugas besar bagi manusia dalam kehidupan di alam dunia ini, dan perkara-perkara ini akan dihisab dan dibicarakan di hadapan Allah.

Firman Allah Taala di dalam Surah Al Mukminun ayat 115, "Adakah kamu mengira bahawa kami ciptakan kamu begitu (sahaja tanpa tujuan)? Dan dalam keadaan kamu tidak dikembalikan semula kepada kami (untuk dihisab dan dibicarakan)".

Ketiga-tiga tugas itu ialah :

1| Ibadah, dinyatakan oleh firman Allah Taala Surah Az Zariyat ayat 56, "Dan tidaklah aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepadaKu". Ibadah itu merangkumi perkara syiar ibadah dan kepatuhan semua urusan kehidupan di dunia dalam segala aspek.

2| Khilafah, dinyatakan oleh firman Allah Surah AL Baqarah ayat 30, "Dan ingatlah apabila Tuhan-mu berfirman kepada Para Malaikat; Sesungguhnya aku hendak menciptakan di atas muka bumi itu makhluk (manusia) yang menjadi khalifah". Khilafah itu ialah kewajipan menegakkan agama dan mentadbir urusan dunia dengan agama.

3| Amanah, dinyatakan oleh firman Allah dalam surah Al Ahzab ayat ke 72, "Sesungguhnya kami telah membentangkan amanah kepada langit, bumi, bukit-bukau dan gunung-ganang (supaya mereka memikulnya) tiba-tiba mereka enggan dan merasa takut akan tetapi manusia sanggup memikulnya, sesungguhnya manusia itu sangat zalim lagi amat jahil".

Amanah paling besar ialah mengendalikan urusan kehidupan di dunia dengan menunaikan perintah Allah. Manusia yang dapat menunaikan ketiga-tiga peranan itu ialah mereka yang dipandu oleh petunjuk Allah yang terkandung di dalam surah Al Asr yang menjadi wirid menamatkan majlis di kalangan Salafu As Soleh (generasi awal yang soleh).

Perkara perkara yang disebut dalam surah itu ialah :

* Iman.
* Amal soleh.
* Berpesan dan nasihat supaya menegakkan yang benar daripada Allah.
* Berpesan dan nasihat supaya bersabar dalam perjuangan dan menghadapi cabaran
kerana menegakkan yang benar dengan berjihad , amar ma’arof dan nahi mungkar.
* Melaksanakan perkara-perkara di atas secara berjama’ah kerana disebut dengan lafaz jama’ah.


Oleh kerana penubuhan Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah memenuhi kewajipan merealisasikan perkara-perkara yang tersebut dan kejayaannya juga sangat bergantung dengan pertolongan Allah apabila memenuhi syarat-syaratnya, maka Tarbiyah Islamiyah Harakiyah wajiblah menjadi Aplikasi yang ditunaikan merangkumi aspek-aspek nya yang menyeluruh.



TARBIYAH ISLAMIYAH HARAKIYAH

Allah Azza wa Jalla telah mengatur ciri-ciri HizbuLlah (Parti yang menegakkan Agama Allah) dengan janji kemenangan dunia dan akhirat, firman Allah di dalam Surah AL Maidah ayat 54-56, "Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa yang menyeleweng di kalangan kamu, maka Allah melahirkan satu golungan yang Allah mengasihi mereka dan mereka mengasihi Allah, mereka merendah diri terhadap orang-orang yang beriman dan menunjukkan kekuatan menghadapi orang-orang yang menentang, mereka berjihad pada jalan Allah dan tidak takut menghadapi orang yang mencela, yang demikian itu adalah kurnia Allah kepada sesiapa yang Ia (Allah) kehendaki, dan Allah itu Maha luas kurnianNya lagi Maha mengetahui. Sesungguhnya Wali (pemimpin dan penolong) kamu ialah Allah, RasulNya dan orang orang yang beriman yang mendirikan solat, yang menunaikan zakat dan mereka ruku’ (patuh). Dan sesiapa yang berwalikan Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman (sehingga mewujudkan golungan (Parti) yang bersifat tersebut) maka sesungguhnya gulungan (parti) itulah yang akan mendapat kemenangan".

Kesimpulannya ialah mewujudkan satu golungan atau kumpulan di kalangan orang-orang beriman yang bersifat dengan perkara-perkara yang tersebut, ciri-ciri dan sifatnya dilahirkan melalui tarbiyah.

Tarbiyah itu ialah menanamkan ilmu yang menghasilkan iman atau aqidah yang membuahkan amal dan jihad dengan sifat-sifat individu yang menjadi anggota kepada golongan yang berdasarkan aqidah dan sifat-sifat yang tersebut.

Maka di dalam tarbiyah itu disenaraikan perkara-perkara yang berikut :

1. Tarbiyah Imaniyah (Aqidah).
2. Tarbiyah Amal Soleh.
3. Tarbiyah Ruhiyah.
4. Tarbiyah berJamaah (berparti).
5. Tarbiyah Jihadiyah.
6. Tarbiyah Siyasiyah.


TARBIYAH IMAN (AQIDAH)

Al Quran telah menyebut bahawa peningkatan iman itu berlaku dengan beberapa cara. Firman Allah Taala di dalam Surah Al Anfal ayat 2-4,"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut Allah, rasa takutlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka akan ayat-ayatNya nescaya iman mereka bertambah dan mereka bertawakkal kepada Tuhan mereka. Mereka mendirikan sembahyang dan membelanjakan daripada apa yang kami beri rezeki kepada mereka. Mereka itulah orang-orang beriman yang sebenar, untuk mereka beberapa darjat di sisi Tuhan mereka, serta keampunan dan rezeki yang mulia".

Ayat ini menyatakan bahawa peningkatan iman itu berlaku dengan ilmu berkenaan ayat-ayat Allah yang dibaca dan ilmu melihat alam, zikrullah dan mengerjakan amalan yang wajib dan sunat.

Ayat-ayat Allah itu mengandungi ayat yang dibaca daripada Al Quran dan Hadith-hadith Rasulullah S.A.W yang menyatakan kebesaran Allah, dosa dan pahala, janji syurga dan amaran neraka, dan juga cerita-cerita umat-umat yang terdahulu, sama ada yang beriman dan beramal soleh yang berjaya di dunia dan di akhirat, atau yang kafir dan derhaka yang dibinasakan di dunia dan azab neraka di hari akhirat.

Firman Allah Taala di dalam Surah Al Imran ayat 172-173,"Mereka yang menyahut seruan Allah (agar meneruskan jihad) setelah mengalami luka-luka (dalam peperangan Uhud), bagi mereka yang berbuat baik (mentaati Allah dan Rasul) dan bertaqwa mendapat ganjaran yang besar. Mereka ialah orang-orang yang apabila diberitahu; Bahawa musuh sedang berkumpul untuk memerangi kamu, maka takutlah kepadanya. Tiba-tiba iman mereka bertambah dan mereka berkata;"Cukuplah Allah (yang menolong kami) dan sebaik-baik yang kami bertawakkal kepadaNya".

Firman Allah di dalam Surah Al Ahzab ayat 22, "Dan apabila orang-orang yang beriman melihat bala tentera Ahzab (Bersekutu yang datang menyerang), mereka berkata; Inilah yang telah dijanjikan oleh Allah dan RasulNya dan benarlah Allah dan RasulNya dan tidaklah menambahkan kepada mereka melainkan iman yang lebih kuat dan penyerahan diri kepada Allah yang lebih bersungguh- sungguh".

Firman Allah di dalam Surah Al Ankabut ayat 2-3, "Adakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan begitu sahaja setelah mereka berkata; Kami telah beriman, dalam keadaan mereka tidak diuji? Sesungguhnya kami (Allah) telah menguji orang-orang yang lebih dahulu daripada mereka. Maka Allah mengetahui orang-orang yang benar (beriman) dan orang-orang yang berbohong".

Ayat-ayat ini menegaskan berlakunya tarbiyah iman dengan ujian menghadapi cabaran kezaliman yang dilakukan oleh musuh untuk menapis keikhlasan orang beriman. Kesemua ayat-ayat yang tersebut menjelaskan bahawa tarbiyah imaniyah (aqidah) itu berlaku dengan ilmu, amal, jihad dan ujian secara serentak. Adalah tidak benar mereka yang menangguhkan masanya untuk melibatkan diri dengan perjuangan Islam kerana ingin mencari ilmu, harta dan menguatkan iman terlebih dahulu.

Aqidah atau Iman itu hendaklah bertonggakkan Tauhid dan menolak syirik dalam segala bentuknya yang menjadi prinsip semua para Rasul dan Anbia A.S. di sepanjang zaman. Firman Allah di dalam Surah An Nahl ayat 36,"Dan sesungguhnya kami bangkitkan di kalangan tiap-tiap umat itu Rasul (yang menyeru manusia supaya) mengabdikan diri kepada Allah sahaja dan menjauhkan diri daripada toghut (setiap yang melampaui batas Allah".

Maka tarbiyah dalam aspek ini juga wajib memperkenalkan perkara-perkara yang menentang dan membatalkan aqidah Tauhid yang berlaku di sepanjang zaman dalam segala aspek nya. Oleh itu, tarbiyah Aqidah juga wajib mengalami tajdid (pembaharuan). Perlu disedari juga bahawa iman itu menjadi asas kepada semua amalan, di mana amalan yang dibina di atas perkara yang membatalkan iman tidak diterima oleh Allah. Firman Allah di dalam Surah Az Zummar ayat 65,"Sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada Para Rasul sebelum-mu, jika sekiranya kamu melakukan syirik nescaya dihapuskan amalan mu dan kamu tergulung di kalangan orang-orang yang rugi".

TARBIYAH AMAL SOLEH

Allah Taala menegaskan amal soleh menjadi ciri terpenting kepada golongan Islam di sepanjang masa, sama ada dalam perjalanan perjuangan sehingga mencapai kemenangan. Firman Allah Taala di dalam Surah Al Maidah ayat 55-56,"Sesungguhnya Wali (pemimpin dan penolong) kamu ialah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat, yang menunaikan zakat dan mereka ruku’ (patuh). Dan sesiapa yang berwalikan Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman sehingga mewujudkan golongan (Parti yang bersifat tersebut) maka sesungguhnya gulungan (parti) itulah yang akan mendapat kemenangan".

Dan firman Allah di dalam Surah Al Hajj ayat 41,"Orang-orang yang kami berikan kepada mereka memerintah bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mereka menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, dan bagi Allah sahaja dikembalikan segala urusan".

Ayat-ayat tersebut menegaskan ciri gulungan Islam itu ialah beramal soleh dalam hubungan dengan Allah melalui roh dan jasad dengan mendirikan solat, amal melalui harta benda dengan menunaikan zakat terhadap masyarakat dalam hubungan dengan manusia, dan menunaikan kewajipan menyuruh kepada yang baik serta mencegah kemungkaran di semua peringkat, sehingga di peringkat berkuasa memerintah menegakkan kerajaan, seterusnya semua amalan itu dihisab di hadapan Allah.

Amalan-amalan yang disebut di dalam ayat-ayat itu merupakan rukun dan tonggak yang diwajibkan. Perlu difahami bahawa amal yang soleh itu terlalu luas bidangnya sehingga mencakupi segala ruang hidup manusia yang diserlahkan dalam setiap denyut nadi dan jantung, sendi- sendi anggota seseorang sama ada dalam perkara mengerjakan atau meninggalkan mengikut perintah Allah yang wajib dipatuhi secara Islam (menyerah diri) dan ibadah (memperhambakan diri) dengan hati yang ikhlas kerana Allah yang lahir daripada iman (aqidah) yang benar.

Amalan itu dibahagikan oleh syara’ kepada lima cabang : Wajib, Sunat, Haram, Makruh dan Harus. Pendokong Gerakan Islam wajib di-tarbiyah untuk meneguhkan pendirian mereka sendiri dengan Islam dan menjadi contoh kepada masyarakat. Kejayaan generasi awal umat Islam dalam perjuangan mereka bukan sahaja kerana berjaya dalam ujian iman (aqidah), mereka juga berjaya menjadi model orang-orang yang mengerjakan amal soleh yang mengeratkan hubungan dengan Allah dan makhluknya.

TARBIYAH RUHIYAH


Tarbiyah ini disebut juga dengan tazkiyatun nafs (membersih jiwa) dengan tujuan untuk mengikhlaskan hati kepada Allah dan menjauhkan diri daripada maksiat yang merosakkan niat. Firman Allah di dalam Surah Al Bayyinah ayat 5,"Dan mereka tidak diperintah melainkan supaya mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas keranaNya sahaja berpegang dengan agama".

Firman Allah di dalam Surah At Taubah ayat 25-27,"Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu di banyak medan peperangan dan pada hari peperangan Hunain ketika kamu merasa ‘Ujub (kagum) dengan ramainya bilangan kamu, tiba-tiba kamu tidak boleh berbuat sesuatu (ketika diserang) dan bumi yang luas itu kamu rasa sempit, kemudian kamu berundur lari bertempiaran, kemudian Allah menurunkan rasa ketenangan kurniaNya ke atas Rasullullah S.A.W. dan orang-orang yang beriman dan ia menurunkan kepada kamu bala tentera bantuan yang kamu tidak dapat melihatnya, lalu ia mengazabkan orang-orang yang kafir dan itulah balasan yang sewajarnya bagi orang-orang yang kafir. Kemudian Allah mengampunkan selepas itu kepada sesiapa yang Ia kehendaki dan Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".

Ayat-ayat ini menyatakan wajib ikhlas kerana Allah dalam segala amalan termasuk ketika berjihad dan membersihkan hati daripada maksiat batin saperti ‘ujub (kagum pada diri sendiri) riya' (menunjuk diri), hubbul mal (kasihkan harta), hubbur riasah (kerana jawatan) dan lain-lain, serta meneguhkan pendirian dengan istiqamah dalam perjuangan.

TARBIYAH BERJAMA’AH (BERPARTI)


Selaras dengan kehidupan bermasyakat menjadi naluri manusia, banyak perkara yang mewajibkan wujudnya jalinan hidup yang berkumpul bagi menghasilkan keperluan hidup, maka keperluan hidup beragama Islam menjadi sebahagian daripadanya. Banyak orang mengetahui berkenaan perlunya solat berjamaah dan wajib sembahyang Jumaat secara mingguan, dan berijtima’a di Makkah secara tahunan untuk mengerjakan Haji, tetapi masih ramai yang melupakan kewajipan berjama’ah menegakkan Islam dan mempertahankannya. Allah mewajibkan wujudnya kumpulan ini di kalangan umat Islam, pada awalnya secara fardu kifayah, tetapi kepada orang-orang yang tertentu dan keadaan tertentu menjadi fardhu ‘ain.

Allah befirman di dalam Surah Al Imran ayat 104,"Hendaklah ada di kalangan kamu satu golongan yang menyeru kepada yang baik (berdakwah), yang menyuruh kepada kebaikkan dan mencegah kemunkaran dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan".

Firman Allah di dalam Surah Al Maidah ayat 54,"Wahai orang-orang yang beriman. Sesiapa yang menyeleweng di kalangan kamu daripada agama nya, maka Allah melahirkan satu golongan yang Allah mengasihi mereka dan mereka mengasihi Allah, mereka merendah diri terhadap orang-orang yang beriman dan menunjukkan kekuatan menghadapi orang-orang yang menentang, mereka berjihad pada jalan Allah dan tidak takut menghadapi orang yang mencela, yang demikian itu adalah kurnia Allah kepada sesiapa yang Ia (Allah) kehendaki, dan Allah itu Maha luas kurnia Nya lagi Maha mengetahui. Sesungguhnya Wali (pemimpin dan penolong) kamu ialah Allah, Rasul Nya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat, yang menunaikan zakat dan mereka ruku’ (patuh). Dan sesiapa yang berwalikan Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman (sehingga mewujudkan gulungan (Parti) yang bersifat tersebut maka sesungguhnya gulungan (parti) itulah yang akan mendapat kemenangan".

Seterusnya Allah menunjukkan cara berjamaah dalam berjuang untuk menegak dan mempertahankan agama Nya dalam ayat-ayat yang banyak, di antaranya firman Allah di dalam SUrah As Soff ayat 2-4,"Wahai orang-orang yang beriman. Mengapa kamu berkata apa yang kamu tidak lakukan. Sangat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu berkata apa yang kamu tidak lakukan. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berjuang pada jalan Nya dalam saff yang tersusun rapi laksana bangunan yang didirikan daripada batu bata yang disusun diatur dan diikat dengan seteguh teguhnya".

Firman Allah Taala di dalam Surah Al Imran ayat 159,"Maka dengan sebab rahmat Allah yang melimpah ruah terhadap mu (wahai Muhammad) maka engkau bersikap lembut terhadap mereka, dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati terhadap mereka nescaya mereka lari dari kelilingmu. Maka maafkan kesilapan mereka, dan beristighfar untuk mereka dan bermesyuaratlah bersama mereka (dalam perkara yang memerlukan mesyuarat), dan apabila engkau telah berazam (setelah bermesyuarat) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepada Nya".


Ayat-ayat tersebut menyatakan wajib berparti, ciri-ciri parti Islam dan akhlak berparti, seperti beriman dan teguh dengan prinsip, hubungan pemimpin dengan pengikut dengan bermusyawarah, ketaatan dan lain lain.

TARBIYAH JIHADIYAH

Allah telah menetapkan Islam yang dianut oleh manusia wajib mengalami proses fitrah kejadiannya yang dikurniakan aqal untuk memilih, maka Allah menetapkan berlakunya pertembungan dan cabaran yang memerlukan jihad sejak manusia pertama sehingga akhir zaman, perkara ini menjadi penentu yang meninggikan martabat mereka daripada makhluk yang lain.

Jihad bermakna kesungguhan mengembelengkan segala nikmat kurnia Allah roh dan jasad, harta, jiwa raga, akal dan tenaga bagi dikorbankan untuk menegakkan agama Allah di bumi sehingga keperingkat yang dihuraikan oleh Allah secara terperinci di dalam surah Saff dalam ayat seterusnya,"Mereka ingin memadamkan cahaya (agama Allah) dengan mulut-mulut mereka, dan Allah tetap menyempurnakan agama Nya walau pun orang-orang yang kafir membencinya. Dialah (Allah) yang telah mengutuskan RasulNya dengan petunjuk dan agama yang benar, agar dia (Allah) memenangkannya di atas segala agama (dan ajaran) walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin. Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu, aku tunjukkan kepada kamu satu perniagaan yang menyelamatkan kamu dari azab yang pedih. Ia itu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan kamu berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa raga kamu, itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. Dia mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di dalam nya sungai-sungai dan tempat-tempat tinggal yang sangat baik di dalam syurga Adn, dan itulah kemenangan paling besar dan yang lain yang sangat kamu ingini, iaitu pertolongan Allah dan kemenangan yang hampir (waktunya), dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang beriman".

Ayat-ayat ini memperincikan jihad, bermula daripada mengapa perlunya, definisinya, prinsipnya, caranya dan natijahnya di dunia dan akhirat. Seterusnya Allah berfirman di dalam Surah Al Hujuraat ayat 14-15,"Berkatalah orang-orang Arab Badwi; Kami telah beriman. Katakan kepada mereka. Kamu belum beriman, kerana iman itu belum lagi masuk ke dalam hati-hati kamu, jika kamu taatkan Allah dan RasulNya, Dia tidak akan mengurangi dosa kamu sedikit pun, sesungguhnnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya orang-orang beriman itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu dan berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa raga mereka. Mereka itulah orang- orang yang benar"

Ayat-ayat ini mengaitkan pula hubungan jihad dengan iman, menandakan kaitan rapat di antara kedua-duanya.

Bahawa Rasulullah S.A.W bersabda ketika berlakunya peperangan Khaibar,"Esok aku serahkan bendera kepada seorang yang Allah kurniakan dengannya akan mencapai kemenangan, dia mengasihi Allah dan RasulNya dan dia dikasihi oleh Allah dan RasulNya".

Pada malamnya masing bertanya-tanya siapakah orangnya, di waktu pagi nya masing-masing datang dengan mengharapkan bendera itu diserahkan kepadanya. Tiba-tiba Rasulullah S.A.W bersabda,"Di mana Ali bin Abi Tolib?". Di kalangan mereka ada yang memberitahu,"Dia mengalami sakit mata". Maka Ali dipanggil datang menghadap Baginda. Tiba-tiba Rasulullah S.A.W meludah ke dalam matanya yang sakit dan sembuh dengan segera, dan bendera diserahkan kepadanya.

Ali berkata,"Wahai Rasulullah, perangi mereka sehingga mereka menjadi Islam saperti kita?

Sabda Rasulullah S.A.W,"Teruskan perjalananmu sehingga sampai ke tempat mereka, ajak mereka kepada Islam dan perintahkan mereka melaksanakan hak yang wajib ditunaikan (dalam ajaran Islam). Demi sesungguhnya Allah memberi hidayah kepada seseorang dengan sebab kamu lebih baik daripada barang yang paling mahal harganya".

Hadis ini menunjukkan bahawa peroses dakwah dan motivasi sehingga mengubah fikiran adalah yang terbaik dan pertama dilakukan. Maka PAS tetap mengambil pendekatan demokrasi walaupun penuh dengan kelemahan dan kejahatan dan kita wajib berjihad dengan cara ini selagi peluang masih ada. Maka jangan terpengaruh dengan pendekatan lain yang cuba ditonjolkan, sesungguhnya kepatuhan kepada jama’ah hukumnya wajib.

Allah berfirman menceritakan Nabi Musa A.S di dalam Surah Yunus ayat 88-89,"Dan berkatalah Nabi Musa A.S, Wahai Tuhan kami. Engkau telah berikan kapada Firaun dan pembesar-pembesarnya perhiasan dan harta benda dunia sehingga mereka sesat dan dapat menyesatkan (rakyat) dari jalanmu. Wahai Tuhan. Binasakan harta mereka dan tutup pintu hati mereka sehingga mereka melihat azab yang pedih. Tuhan berfirman; Sesungguhnya doa kamu berdua (Musa dan Harun) telah diperkenankan, maka kamu mestilah beristiqamah (berada dijalan dan cara yang betul) dan jangan sekali-kali mengikut jalan mereka yang tidak mengerti".

TARBIYAH SIYASIYAH

Kemuncak perjuangan Islam didunia ini ialah menegakkan negara Islam dengan acuan yang dinyatakan oleh Allah, di antaranya firman Allah Taala di dalam Surah An Nur ayat 55,"Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman di kalangan kamu dan mengerjakan amal yang soleh, bahawa Dia akan menjadikan mereka golongan yang memerintah sebagaimana dikurniakan kepada mereka yang sama di zaman dahulu, dan Dia menjadikan agama yang ia redha ini (Islam) berkuasa memerintah, dia menukar keadaan ketakutan kepada keamanan, mereka mengabdikan diri kepada Ku dan mereka tidak menyengutuiKu dengan sesuatu yang lain dan sesiapa yang kufur selepas itu mereka adalah orang-orang yang fasik".

Ayat-ayat ini menegaskan Tarbiyah Siasiyah itu dengan senarai berikut :

* Adanya jamaah (parti) yang berjuang.
* Memenuhi keperluan tarbiyah iman, amal, dan jihad.
* Negara mengikut acuan Allah.

APLIKASI TARBIYAH


Al Quran dan Hadith Nabawi menegaskan bahawa kemenangan perjuangan Islam itu adalah kurnia Allah dengan syarat-syarat dan ciri-ciri yang menunjukkan kematangan pendukung cita-cita Islam. Amirul Mukminin Umar bin Al Khattab R.A telah menyimpulkan perkara ini dalam perutusannya kapada Saad bin Abi Waqqas R.A, yang ditugaskan memimpin jihad menetang Farsi, salah satu Kuasa Besar dunia di zaman itu :

"Adapun selepas itu (Bismillah). Maka sesungguhnya aku memerintahmu dan bala tentera bersamamu supaya bertaqwa kepada Allah (dengan mentaati perintahNya dan meninggalkan laranganNya) dalam semua keadaan, maka sesungguhnya bertaqwa itu persediaan terbaik dan perancangan paling teguh di medan perang. Aku memerintahmu dan sesiapa sahaja (tiap- tiap individu) bersamamu supaya berwaspada menjaga diri sendiri lebih daripada berwaspada menghadapi musuh kerana sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh bala tentera sendiri lebih merbahaya daripada musuh mereka, dan sesungguhnya orang-orang Islam itu diberi kemenangan dengan makasiat yang dilakukan oleh musuh, kalau tidak kerana itu kita tidak mempunyai jumlah bilangan yang sama saperti mereka dan kelengkapan kita juga tidak sama saperti mereka, kalau kita sama sama mengerjakan maksiat saperti mereka, mereka pula mempunyai kekuatan yang lebih daripada kita. Kalau kita tidak mempunyai kemuliaan yang mengatasi mereka nescaya kita tidak dapat mengalahkan kekuatan yang ada pada mereka. Ketahuilah, bahawa bersama kamu dalam perjalanan kamu itu para Malaikat yang memerhati amalan kamu yang bertugas daripada Allah, mereka mengetahui apa sahaja yang kamu lakukan, maka malulah kepada mereka, dan jangan sekali-kali melakukan ma’asiat padahal kamu dalam perjalanan berjuang kerana menegakkan agama Allah. Dan jangan kamu berkata; Musuh kita lebih jahat daripada kita, maka mereka tidak boleh mengalahkan kita". Kerap berlaku kaum yang dikalahkan oleh musuh yang lebih jahat daripada mereka, sebagaimana berlaku ke atas kaum Bani Israel apabila mereka mengerjakan maksiat di mana mereka dikalahkan oleh orang-orang kafir Majusi (penyembah api) di mana musuh dapat bermaharajalela (menawan dan membunuh) sampai ke celah-celah kampung, itulah ketetapan yang pasti berlaku. Bermohonlah kepada Allah akan pertolongan untuk menghadapi diri kamu sendiri sebagaimana kamu bermohon kemenangan menentang musuh musuh kamu dan aku juga bermohon untuk kami dan juga untuk kamu".

Taqwa adalah perkara penting yang menjadi syarat bagi mendapat pertolongan Allah dan perjuangan kita diberkati. Kesemua perkara yang dilahirkan oleh tarbiyah yang berjaya dalam segala aspek tersebut di atas disimpulkan di dalam perkara yang dinamakan TAQWA yang dihuraikan oleh Allah dalam ayat ayat yang berikut :

Firman Allah Taala di dalam Surah Al Baqarah ayat 2-5,"Kitab ini tidak syak lagi di dalam nya petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa. Meraka itu ialah orang-orang yang beriman kepada perkara yang ghaib, mereka juga mendirikan sembahyang dan menginfaqkan daripada apa-apa yang kami beri rezqi kepada mereka. Mereka juga beriman kepada apa yang diturunkan kepada mereka (Al Quran) dan apa yang diturunkan (kitab sebelumnya serta mereka percaya kepada hari akhirat. Mereka itulah orang-orang yang berada diatas hidayah Tuhan mereka dan mendapat kemenangan".

Dan firman Allah di dalam SUrah Al Baqarah ayat 177,"Bukanlah kebajikan itu seqadar bahawa kamu berhadap wajah ke arah Timur dan Barat, tetapi kebajikan itu ialah sesiapa yang beriman kepada Allah, Hari Akhirat, Para Malaikat, dan Para Nabi serta memberi harta dalam keadaan sayangnya kepada harta itu untuk kaum keluarga anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang musafir yang memerlukan bantuan, orang-orang yang meminta sedekah dan hamba-hamba dan juga dia mendirikan solat dan menunaikan zakat, begitu juga orang-orang yang menunaikan janji apabila berjanji dan bersabar ketika menghadapi kesusahan, kesempitan dan dalam perjuangan ketika menghadapi musuh. Mereka itulah orang-orang yang benar (beriman) dan bertaqwa".


Ayat-ayat ini juga menunjukkan betapa erat sifat taqwa yang lahir daripada iman, amal dan jihad melalui tarbiyah yang bersumberkan Kitab Allah dan Sunnah Rasul S.A.W itu dengan Gerakan Islam di mana Parti Islam Se Malaysia (PAS) menjadi wadah yang wajib dipelihara dan dipertahankan dengannya, kerana Islam menjadi rahsia ketahanan PAS sepanjang perjalanannya yang penuh cabaran. Pasang surut hanya keputusan pilihanraya, tetapi kematangan parti dan kesinambungan kepimpinan dan pangikut tetap bertambah matang, kerana kita membangun bersama Islam dan membina keperkasaan juga dengan Islam, rebah bangun tetap bersama Islam dan dengan Islam kita mendapat petunjuk yang sebenar.

“Wahai Tuhan kami! janganlah hati kami terpesong setelah engkau mengurniakan petunjuk kepada kami dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisi Mu. Sesungguhnya Engkau Tuhan Yang Maha melimpah kurnian Nya".

Oleh : Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang

Thursday, July 21, 2011

Definisi ULAMA : MENURUT AL QURAN DAN HADIS



Ustaz, siapa yang dikatakan ulama itu? Berapa lama tempohnya nak jadi ulama? Adakah tempoh lama menjadi pendakwah menjadi syarat orang itu boleh diiktiraf menjadi ulama? Berikut adalah soalan-soalan yang kerap ditanya kepada saya sejak kebelakangan ini. Ramai sungguh yang bertanya saya persoalan begini. Jika jawapanya seperti pensyarah universiti pasti panjang berjela. Sebenarnya sudah banyak hal ini ditulis. Namun ramai yang tidak membacanya, mungkin kerana jemu, malas atau tiada masa. Maka saya jawab secara ringkas berdasarkan beberapa nas Al Quran dan Hadis yang sudah ribuan tahun dipelihara Allah Taala sumber-sumbernya.

Secara mudah, ulama adalah jama’ (plural) kepada perkataan ‘alim. ‘Alim pula yang berilmu. Bila disebutkan ‘alim dalam kefahaman kita, ia adalah yang berilmu agama. Kriteria seorang ulama yang hakiki terlalu banyak untuk disenaraikan. Antaranya :

[1] Bertaqwa. Hal ini disentuh berdasarkan firman Allah Taala :

“Hanya yang takutkan Allah di kalangan hamba-hamba-Nya adalah ULAMA“ [ Surah Al Fatir:28 ]

Saidina Anas R.A menambah,”Sesiapa yang tidak takutkan Allah bukanlah orang ‘alim”.

Oleh kerana itu, kriteria utamanya mestilah takutkan Allah. Kalau berani lawan hukum-hukum Allah, bersekongkol dengan golongan sekular, mendiamkan kemungkaran kerana takut dibayangi hukuman kerajaan, ilmuwan seperti ini walau ada Ph.D bertimbun pun tidak diiktiraf sebagai ulama.

Begitu juga kepada mana-mana ilmuwan yang memiliki berlembar-lembar ijazah, tetapi tidak beradab dengan para ulama, maka bukanlah juga dia orang yang ‘alim.

Salah satu tanda seseorang itu takut kepada Allah adalah dia mencintai para kekasih Allah dan tentu sekali menjaga lidahnya dari perkataan buruk, menghina atau mencela kepada mereka. Adakah wajar seorang yang berilmu mengheret nama-nama tokoh besar seperti Imam Al Ghazali, Imam An Nawawi, Sheikh Abdul Qadir Jailani dengan kata-kata nista? Adakah selayaknya seorang yang berpengetahuan Islam itu mencaci ulama yang berbeza pendapat (khilaf) dengan cacian ‘ulama kepala lutut? Jika beginilah sikap ilmuwan, maka bukanlah dia seorang yang berhak dijadikan rujukan umat mahupun digelar seorang ‘alim.

[2] Berguru. Dalam sebuah hadis yang sahih :

“Ilmu itu diperoleh dengan cara ta’allum (dipelajari dari guru), kefahaman itu dengan cara tafaqquh (bertemu dengan guru menagih kefahaman darinya) dan sesiapa yang Allah mahu baginya kebaikan, maka Allah akan memberikan kepadanya kefaqihan (kefahaman) dalam hal ehwal agama”. [ Tarikh Dimashq Ibn Asakir ]

Syarat utama mahu menjadi ‘alim mesti belajar. Tempohnya? Tentu sekali panjang kerana ilmu kurniaan Allah itu tiada batasan.

Ilmu bukan hanya membaca buku sendiri. Bukan juga dengan cara google atau melihat sesawang blog sahaja. Ia juga bukan dengan hanya pandai menyusun bicara atau rajin mengarang tetapi mestilah dengan dipelajari secara disiplin dengan tertib dan adabnya dari guru yang belajar pula dengan gurunya sehinggalah kepada penghulu kepada semua guru-guru iaitu, Baginda Rasulullah S.A.W.

Hari ini ramai yang mampu berpidato dan menulis ilmu tentang agama. Kepesatannya diibaratkan Malaysia sudah ada 10 juta orang mufti kerana masing-masing hendak mengeluarkan fatwa. Malangnya, tidak pernah pula belajar dari sumbernya. Malah ada juga yang tidak menghormati golongan ulama yang sebenar.

Mereka yang merasakan diri sudah ‘alim hanya semata-mata dengan pembacaan di sana sini juga tidak sepatutnya dilabel ulama.

[3] Mewarisi hikmah kenabian (ilmu dakwah). Berdasarkan hadis sahih yang lain pula :

“Sesungguhnya ulama adalah pewaris para Nabi” [ Sunan Ibn Majah, Tirmizi dan Musnad Imam Ahmad ]

Apa yang ulama warisi? Tentu sekali ilmu. Apa yang patut ada pada mereka? Menyambung perjuangan, dakwah dan kepimpinan Para Nabi. Mereka yang berpeluk tubuh sahaja menunggu kemenangan bukanlah ulama.

Pewaris Nabi yang sebenar tentulah menyedari tanggungjawab ilmu yang mereka perolehi memikul tanggungjawab dakwah yang sangat berat.

Inilah yang disebutkan dalam hadis yang lain bahawa ilmu itu dihilangkan oleh Allah dengan cara mematikan para ulama. Ketika itu manusia akan mengangkat orang yang jahil sebagai pemimpin, sesat lagi menyesatkan. Hal ini bermakna, selagi ulama itu hidup kumpulan elit di sisi Allah ini perlu memimpin masyarakat, menyelamatkan mereka dari kesesatan yang selayaknya menjadi tugas sebagai waris Para Nabi.

Malangnya hari ini ada yang mengatakan ulama sepatutnya jauh dari politik dan permasalahan negara. Ulama perlu berceramah dari masjid ke masjid sahaja. Ulama hanya perlu menulis kitab atau memilki blog peribadi. Ulama duduklah di atas sajadah mendoakan kebahagian ummah. Urusan kepimpinan serahkan sahaja kepada yang lain. Pewaris Nabi jangan ganggu urusan pewaris Qaisar. Begitu?

Pemikiran begini sangat berbahaya. Nantikanlah kiamat bila semua manusia berfikiran begini, kerana waktu itu sama ada “mati”-nya jasad ulama ataupun hak dan peranan mereka cuba di-matikan.

Lupakah kita, kalah atau menangnya ulama rabbani itu mereka semua dipimpin atas petunjuk Allah.

“Jika apa yang engkau serukan kepada mereka sesuatu yang terbentang luas dan mudah diperolehi, destinasinya tidak begitu jauh, tidak sukar menuju matlamatnya. Nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu. Tetapi tempat yang hendak dituju (bagi redha Allah) itu jauh bagi mereka (sehingga ada yang terkandas)...” [ Surah At Taubah:42 ]


Ada disebut dalam hadis qudsi perihal kekasih Allah bahawa penglihatan, pedengaran dan pergerakan mereka semua itu dipandu oleh Allah. Itu semua adalah hasil berkat amalan mereka yang jujur ingin menggapai redha Allah.

Mana yang lebih baik, pergerakan yang dipandu oleh Allah atau mereka yang dijenterai politikus rakus dan pemikir genius?

Catatan Hujung :

1) Pendakwah tidak semestinya ‘alim. Ibarat penjual sesuatu produk tidak semestinya arif segala perkara yang dijualnya. Pendakwah ibarat yang mempromosikan produk Islam. Tetapi yang mengerti produk itu sendiri adalah seorang ‘alim. Ada juga yang mengerti produk, tetapi tidak tahu mempromosikannya. Maka ulama yang hebat lazimnya memiliki kedua-dua kemahiran ini.

2) Gulungan ijazah bukan isyarat seorang itu ‘alim atau tidak. Tetapi syarat nak jadi ‘alim mesti belajar. Zaman kita biasanya bila belajar di sebuah institusi, dapatlah gulungan ijazah. Begitupun tidak semua yang dapat gulungan ijazah itu benar-benar belajar. Fahamilah.

3) Ulama ada pelbagai peringkat. Dari sehebat seorang Mujtahid Mutlaq sehinggalah seorang mufti, sampai kepada seorang ‘alim biasa.

4)
Sebuah hadis yang sahih menjelaskan kelebihan orang yang ‘alim itu akan didoakan keampunan baginya oleh seluruh makhluk yang berada di langit dan di bumi. Untung bukan? Siapalah kita.


Oleh : Ustaz Syed Abdul Kadir Al Joofre

Mari Mengaji

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails