{Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya dan mereka tidak ragu (dalam keimanan itu) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka serta diri mereka pada jalan Allah. Merekalah orang-orang yang benar (dalam menghayati keimanan/aqidah)} (al-Hujurat : 15)

Sunday, July 31, 2011

TARBIYAH ISLAMIYAH HARAKIYAH



Allah Taala berfirman di dalam Surah Al 'Asr, "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman, yang mengerjakan amal soleh , dan yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan- pesan dengan kesabaran". Ayat ini merupakan prinsip penting bagi manusia yang benar-benar melaksanakan peranannya, mengapa mereka dicipta dan diletakkan di atas muka bumi Allah. Allah telah menetapkan tiga tugas besar bagi manusia dalam kehidupan di alam dunia ini, dan perkara-perkara ini akan dihisab dan dibicarakan di hadapan Allah.

Firman Allah Taala di dalam Surah Al Mukminun ayat 115, "Adakah kamu mengira bahawa kami ciptakan kamu begitu (sahaja tanpa tujuan)? Dan dalam keadaan kamu tidak dikembalikan semula kepada kami (untuk dihisab dan dibicarakan)".

Ketiga-tiga tugas itu ialah :

1| Ibadah, dinyatakan oleh firman Allah Taala Surah Az Zariyat ayat 56, "Dan tidaklah aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepadaKu". Ibadah itu merangkumi perkara syiar ibadah dan kepatuhan semua urusan kehidupan di dunia dalam segala aspek.

2| Khilafah, dinyatakan oleh firman Allah Surah AL Baqarah ayat 30, "Dan ingatlah apabila Tuhan-mu berfirman kepada Para Malaikat; Sesungguhnya aku hendak menciptakan di atas muka bumi itu makhluk (manusia) yang menjadi khalifah". Khilafah itu ialah kewajipan menegakkan agama dan mentadbir urusan dunia dengan agama.

3| Amanah, dinyatakan oleh firman Allah dalam surah Al Ahzab ayat ke 72, "Sesungguhnya kami telah membentangkan amanah kepada langit, bumi, bukit-bukau dan gunung-ganang (supaya mereka memikulnya) tiba-tiba mereka enggan dan merasa takut akan tetapi manusia sanggup memikulnya, sesungguhnya manusia itu sangat zalim lagi amat jahil".

Amanah paling besar ialah mengendalikan urusan kehidupan di dunia dengan menunaikan perintah Allah. Manusia yang dapat menunaikan ketiga-tiga peranan itu ialah mereka yang dipandu oleh petunjuk Allah yang terkandung di dalam surah Al Asr yang menjadi wirid menamatkan majlis di kalangan Salafu As Soleh (generasi awal yang soleh).

Perkara perkara yang disebut dalam surah itu ialah :

* Iman.
* Amal soleh.
* Berpesan dan nasihat supaya menegakkan yang benar daripada Allah.
* Berpesan dan nasihat supaya bersabar dalam perjuangan dan menghadapi cabaran
kerana menegakkan yang benar dengan berjihad , amar ma’arof dan nahi mungkar.
* Melaksanakan perkara-perkara di atas secara berjama’ah kerana disebut dengan lafaz jama’ah.


Oleh kerana penubuhan Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah memenuhi kewajipan merealisasikan perkara-perkara yang tersebut dan kejayaannya juga sangat bergantung dengan pertolongan Allah apabila memenuhi syarat-syaratnya, maka Tarbiyah Islamiyah Harakiyah wajiblah menjadi Aplikasi yang ditunaikan merangkumi aspek-aspek nya yang menyeluruh.



TARBIYAH ISLAMIYAH HARAKIYAH

Allah Azza wa Jalla telah mengatur ciri-ciri HizbuLlah (Parti yang menegakkan Agama Allah) dengan janji kemenangan dunia dan akhirat, firman Allah di dalam Surah AL Maidah ayat 54-56, "Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa yang menyeleweng di kalangan kamu, maka Allah melahirkan satu golungan yang Allah mengasihi mereka dan mereka mengasihi Allah, mereka merendah diri terhadap orang-orang yang beriman dan menunjukkan kekuatan menghadapi orang-orang yang menentang, mereka berjihad pada jalan Allah dan tidak takut menghadapi orang yang mencela, yang demikian itu adalah kurnia Allah kepada sesiapa yang Ia (Allah) kehendaki, dan Allah itu Maha luas kurnianNya lagi Maha mengetahui. Sesungguhnya Wali (pemimpin dan penolong) kamu ialah Allah, RasulNya dan orang orang yang beriman yang mendirikan solat, yang menunaikan zakat dan mereka ruku’ (patuh). Dan sesiapa yang berwalikan Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman (sehingga mewujudkan golungan (Parti) yang bersifat tersebut) maka sesungguhnya gulungan (parti) itulah yang akan mendapat kemenangan".

Kesimpulannya ialah mewujudkan satu golungan atau kumpulan di kalangan orang-orang beriman yang bersifat dengan perkara-perkara yang tersebut, ciri-ciri dan sifatnya dilahirkan melalui tarbiyah.

Tarbiyah itu ialah menanamkan ilmu yang menghasilkan iman atau aqidah yang membuahkan amal dan jihad dengan sifat-sifat individu yang menjadi anggota kepada golongan yang berdasarkan aqidah dan sifat-sifat yang tersebut.

Maka di dalam tarbiyah itu disenaraikan perkara-perkara yang berikut :

1. Tarbiyah Imaniyah (Aqidah).
2. Tarbiyah Amal Soleh.
3. Tarbiyah Ruhiyah.
4. Tarbiyah berJamaah (berparti).
5. Tarbiyah Jihadiyah.
6. Tarbiyah Siyasiyah.


TARBIYAH IMAN (AQIDAH)

Al Quran telah menyebut bahawa peningkatan iman itu berlaku dengan beberapa cara. Firman Allah Taala di dalam Surah Al Anfal ayat 2-4,"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut Allah, rasa takutlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka akan ayat-ayatNya nescaya iman mereka bertambah dan mereka bertawakkal kepada Tuhan mereka. Mereka mendirikan sembahyang dan membelanjakan daripada apa yang kami beri rezeki kepada mereka. Mereka itulah orang-orang beriman yang sebenar, untuk mereka beberapa darjat di sisi Tuhan mereka, serta keampunan dan rezeki yang mulia".

Ayat ini menyatakan bahawa peningkatan iman itu berlaku dengan ilmu berkenaan ayat-ayat Allah yang dibaca dan ilmu melihat alam, zikrullah dan mengerjakan amalan yang wajib dan sunat.

Ayat-ayat Allah itu mengandungi ayat yang dibaca daripada Al Quran dan Hadith-hadith Rasulullah S.A.W yang menyatakan kebesaran Allah, dosa dan pahala, janji syurga dan amaran neraka, dan juga cerita-cerita umat-umat yang terdahulu, sama ada yang beriman dan beramal soleh yang berjaya di dunia dan di akhirat, atau yang kafir dan derhaka yang dibinasakan di dunia dan azab neraka di hari akhirat.

Firman Allah Taala di dalam Surah Al Imran ayat 172-173,"Mereka yang menyahut seruan Allah (agar meneruskan jihad) setelah mengalami luka-luka (dalam peperangan Uhud), bagi mereka yang berbuat baik (mentaati Allah dan Rasul) dan bertaqwa mendapat ganjaran yang besar. Mereka ialah orang-orang yang apabila diberitahu; Bahawa musuh sedang berkumpul untuk memerangi kamu, maka takutlah kepadanya. Tiba-tiba iman mereka bertambah dan mereka berkata;"Cukuplah Allah (yang menolong kami) dan sebaik-baik yang kami bertawakkal kepadaNya".

Firman Allah di dalam Surah Al Ahzab ayat 22, "Dan apabila orang-orang yang beriman melihat bala tentera Ahzab (Bersekutu yang datang menyerang), mereka berkata; Inilah yang telah dijanjikan oleh Allah dan RasulNya dan benarlah Allah dan RasulNya dan tidaklah menambahkan kepada mereka melainkan iman yang lebih kuat dan penyerahan diri kepada Allah yang lebih bersungguh- sungguh".

Firman Allah di dalam Surah Al Ankabut ayat 2-3, "Adakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan begitu sahaja setelah mereka berkata; Kami telah beriman, dalam keadaan mereka tidak diuji? Sesungguhnya kami (Allah) telah menguji orang-orang yang lebih dahulu daripada mereka. Maka Allah mengetahui orang-orang yang benar (beriman) dan orang-orang yang berbohong".

Ayat-ayat ini menegaskan berlakunya tarbiyah iman dengan ujian menghadapi cabaran kezaliman yang dilakukan oleh musuh untuk menapis keikhlasan orang beriman. Kesemua ayat-ayat yang tersebut menjelaskan bahawa tarbiyah imaniyah (aqidah) itu berlaku dengan ilmu, amal, jihad dan ujian secara serentak. Adalah tidak benar mereka yang menangguhkan masanya untuk melibatkan diri dengan perjuangan Islam kerana ingin mencari ilmu, harta dan menguatkan iman terlebih dahulu.

Aqidah atau Iman itu hendaklah bertonggakkan Tauhid dan menolak syirik dalam segala bentuknya yang menjadi prinsip semua para Rasul dan Anbia A.S. di sepanjang zaman. Firman Allah di dalam Surah An Nahl ayat 36,"Dan sesungguhnya kami bangkitkan di kalangan tiap-tiap umat itu Rasul (yang menyeru manusia supaya) mengabdikan diri kepada Allah sahaja dan menjauhkan diri daripada toghut (setiap yang melampaui batas Allah".

Maka tarbiyah dalam aspek ini juga wajib memperkenalkan perkara-perkara yang menentang dan membatalkan aqidah Tauhid yang berlaku di sepanjang zaman dalam segala aspek nya. Oleh itu, tarbiyah Aqidah juga wajib mengalami tajdid (pembaharuan). Perlu disedari juga bahawa iman itu menjadi asas kepada semua amalan, di mana amalan yang dibina di atas perkara yang membatalkan iman tidak diterima oleh Allah. Firman Allah di dalam Surah Az Zummar ayat 65,"Sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada Para Rasul sebelum-mu, jika sekiranya kamu melakukan syirik nescaya dihapuskan amalan mu dan kamu tergulung di kalangan orang-orang yang rugi".

TARBIYAH AMAL SOLEH

Allah Taala menegaskan amal soleh menjadi ciri terpenting kepada golongan Islam di sepanjang masa, sama ada dalam perjalanan perjuangan sehingga mencapai kemenangan. Firman Allah Taala di dalam Surah Al Maidah ayat 55-56,"Sesungguhnya Wali (pemimpin dan penolong) kamu ialah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat, yang menunaikan zakat dan mereka ruku’ (patuh). Dan sesiapa yang berwalikan Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman sehingga mewujudkan golongan (Parti yang bersifat tersebut) maka sesungguhnya gulungan (parti) itulah yang akan mendapat kemenangan".

Dan firman Allah di dalam Surah Al Hajj ayat 41,"Orang-orang yang kami berikan kepada mereka memerintah bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mereka menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, dan bagi Allah sahaja dikembalikan segala urusan".

Ayat-ayat tersebut menegaskan ciri gulungan Islam itu ialah beramal soleh dalam hubungan dengan Allah melalui roh dan jasad dengan mendirikan solat, amal melalui harta benda dengan menunaikan zakat terhadap masyarakat dalam hubungan dengan manusia, dan menunaikan kewajipan menyuruh kepada yang baik serta mencegah kemungkaran di semua peringkat, sehingga di peringkat berkuasa memerintah menegakkan kerajaan, seterusnya semua amalan itu dihisab di hadapan Allah.

Amalan-amalan yang disebut di dalam ayat-ayat itu merupakan rukun dan tonggak yang diwajibkan. Perlu difahami bahawa amal yang soleh itu terlalu luas bidangnya sehingga mencakupi segala ruang hidup manusia yang diserlahkan dalam setiap denyut nadi dan jantung, sendi- sendi anggota seseorang sama ada dalam perkara mengerjakan atau meninggalkan mengikut perintah Allah yang wajib dipatuhi secara Islam (menyerah diri) dan ibadah (memperhambakan diri) dengan hati yang ikhlas kerana Allah yang lahir daripada iman (aqidah) yang benar.

Amalan itu dibahagikan oleh syara’ kepada lima cabang : Wajib, Sunat, Haram, Makruh dan Harus. Pendokong Gerakan Islam wajib di-tarbiyah untuk meneguhkan pendirian mereka sendiri dengan Islam dan menjadi contoh kepada masyarakat. Kejayaan generasi awal umat Islam dalam perjuangan mereka bukan sahaja kerana berjaya dalam ujian iman (aqidah), mereka juga berjaya menjadi model orang-orang yang mengerjakan amal soleh yang mengeratkan hubungan dengan Allah dan makhluknya.

TARBIYAH RUHIYAH


Tarbiyah ini disebut juga dengan tazkiyatun nafs (membersih jiwa) dengan tujuan untuk mengikhlaskan hati kepada Allah dan menjauhkan diri daripada maksiat yang merosakkan niat. Firman Allah di dalam Surah Al Bayyinah ayat 5,"Dan mereka tidak diperintah melainkan supaya mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas keranaNya sahaja berpegang dengan agama".

Firman Allah di dalam Surah At Taubah ayat 25-27,"Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu di banyak medan peperangan dan pada hari peperangan Hunain ketika kamu merasa ‘Ujub (kagum) dengan ramainya bilangan kamu, tiba-tiba kamu tidak boleh berbuat sesuatu (ketika diserang) dan bumi yang luas itu kamu rasa sempit, kemudian kamu berundur lari bertempiaran, kemudian Allah menurunkan rasa ketenangan kurniaNya ke atas Rasullullah S.A.W. dan orang-orang yang beriman dan ia menurunkan kepada kamu bala tentera bantuan yang kamu tidak dapat melihatnya, lalu ia mengazabkan orang-orang yang kafir dan itulah balasan yang sewajarnya bagi orang-orang yang kafir. Kemudian Allah mengampunkan selepas itu kepada sesiapa yang Ia kehendaki dan Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".

Ayat-ayat ini menyatakan wajib ikhlas kerana Allah dalam segala amalan termasuk ketika berjihad dan membersihkan hati daripada maksiat batin saperti ‘ujub (kagum pada diri sendiri) riya' (menunjuk diri), hubbul mal (kasihkan harta), hubbur riasah (kerana jawatan) dan lain-lain, serta meneguhkan pendirian dengan istiqamah dalam perjuangan.

TARBIYAH BERJAMA’AH (BERPARTI)


Selaras dengan kehidupan bermasyakat menjadi naluri manusia, banyak perkara yang mewajibkan wujudnya jalinan hidup yang berkumpul bagi menghasilkan keperluan hidup, maka keperluan hidup beragama Islam menjadi sebahagian daripadanya. Banyak orang mengetahui berkenaan perlunya solat berjamaah dan wajib sembahyang Jumaat secara mingguan, dan berijtima’a di Makkah secara tahunan untuk mengerjakan Haji, tetapi masih ramai yang melupakan kewajipan berjama’ah menegakkan Islam dan mempertahankannya. Allah mewajibkan wujudnya kumpulan ini di kalangan umat Islam, pada awalnya secara fardu kifayah, tetapi kepada orang-orang yang tertentu dan keadaan tertentu menjadi fardhu ‘ain.

Allah befirman di dalam Surah Al Imran ayat 104,"Hendaklah ada di kalangan kamu satu golongan yang menyeru kepada yang baik (berdakwah), yang menyuruh kepada kebaikkan dan mencegah kemunkaran dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan".

Firman Allah di dalam Surah Al Maidah ayat 54,"Wahai orang-orang yang beriman. Sesiapa yang menyeleweng di kalangan kamu daripada agama nya, maka Allah melahirkan satu golongan yang Allah mengasihi mereka dan mereka mengasihi Allah, mereka merendah diri terhadap orang-orang yang beriman dan menunjukkan kekuatan menghadapi orang-orang yang menentang, mereka berjihad pada jalan Allah dan tidak takut menghadapi orang yang mencela, yang demikian itu adalah kurnia Allah kepada sesiapa yang Ia (Allah) kehendaki, dan Allah itu Maha luas kurnia Nya lagi Maha mengetahui. Sesungguhnya Wali (pemimpin dan penolong) kamu ialah Allah, Rasul Nya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat, yang menunaikan zakat dan mereka ruku’ (patuh). Dan sesiapa yang berwalikan Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman (sehingga mewujudkan gulungan (Parti) yang bersifat tersebut maka sesungguhnya gulungan (parti) itulah yang akan mendapat kemenangan".

Seterusnya Allah menunjukkan cara berjamaah dalam berjuang untuk menegak dan mempertahankan agama Nya dalam ayat-ayat yang banyak, di antaranya firman Allah di dalam SUrah As Soff ayat 2-4,"Wahai orang-orang yang beriman. Mengapa kamu berkata apa yang kamu tidak lakukan. Sangat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu berkata apa yang kamu tidak lakukan. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berjuang pada jalan Nya dalam saff yang tersusun rapi laksana bangunan yang didirikan daripada batu bata yang disusun diatur dan diikat dengan seteguh teguhnya".

Firman Allah Taala di dalam Surah Al Imran ayat 159,"Maka dengan sebab rahmat Allah yang melimpah ruah terhadap mu (wahai Muhammad) maka engkau bersikap lembut terhadap mereka, dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati terhadap mereka nescaya mereka lari dari kelilingmu. Maka maafkan kesilapan mereka, dan beristighfar untuk mereka dan bermesyuaratlah bersama mereka (dalam perkara yang memerlukan mesyuarat), dan apabila engkau telah berazam (setelah bermesyuarat) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepada Nya".


Ayat-ayat tersebut menyatakan wajib berparti, ciri-ciri parti Islam dan akhlak berparti, seperti beriman dan teguh dengan prinsip, hubungan pemimpin dengan pengikut dengan bermusyawarah, ketaatan dan lain lain.

TARBIYAH JIHADIYAH

Allah telah menetapkan Islam yang dianut oleh manusia wajib mengalami proses fitrah kejadiannya yang dikurniakan aqal untuk memilih, maka Allah menetapkan berlakunya pertembungan dan cabaran yang memerlukan jihad sejak manusia pertama sehingga akhir zaman, perkara ini menjadi penentu yang meninggikan martabat mereka daripada makhluk yang lain.

Jihad bermakna kesungguhan mengembelengkan segala nikmat kurnia Allah roh dan jasad, harta, jiwa raga, akal dan tenaga bagi dikorbankan untuk menegakkan agama Allah di bumi sehingga keperingkat yang dihuraikan oleh Allah secara terperinci di dalam surah Saff dalam ayat seterusnya,"Mereka ingin memadamkan cahaya (agama Allah) dengan mulut-mulut mereka, dan Allah tetap menyempurnakan agama Nya walau pun orang-orang yang kafir membencinya. Dialah (Allah) yang telah mengutuskan RasulNya dengan petunjuk dan agama yang benar, agar dia (Allah) memenangkannya di atas segala agama (dan ajaran) walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin. Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu, aku tunjukkan kepada kamu satu perniagaan yang menyelamatkan kamu dari azab yang pedih. Ia itu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan kamu berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa raga kamu, itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. Dia mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di dalam nya sungai-sungai dan tempat-tempat tinggal yang sangat baik di dalam syurga Adn, dan itulah kemenangan paling besar dan yang lain yang sangat kamu ingini, iaitu pertolongan Allah dan kemenangan yang hampir (waktunya), dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang beriman".

Ayat-ayat ini memperincikan jihad, bermula daripada mengapa perlunya, definisinya, prinsipnya, caranya dan natijahnya di dunia dan akhirat. Seterusnya Allah berfirman di dalam Surah Al Hujuraat ayat 14-15,"Berkatalah orang-orang Arab Badwi; Kami telah beriman. Katakan kepada mereka. Kamu belum beriman, kerana iman itu belum lagi masuk ke dalam hati-hati kamu, jika kamu taatkan Allah dan RasulNya, Dia tidak akan mengurangi dosa kamu sedikit pun, sesungguhnnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya orang-orang beriman itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu dan berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa raga mereka. Mereka itulah orang- orang yang benar"

Ayat-ayat ini mengaitkan pula hubungan jihad dengan iman, menandakan kaitan rapat di antara kedua-duanya.

Bahawa Rasulullah S.A.W bersabda ketika berlakunya peperangan Khaibar,"Esok aku serahkan bendera kepada seorang yang Allah kurniakan dengannya akan mencapai kemenangan, dia mengasihi Allah dan RasulNya dan dia dikasihi oleh Allah dan RasulNya".

Pada malamnya masing bertanya-tanya siapakah orangnya, di waktu pagi nya masing-masing datang dengan mengharapkan bendera itu diserahkan kepadanya. Tiba-tiba Rasulullah S.A.W bersabda,"Di mana Ali bin Abi Tolib?". Di kalangan mereka ada yang memberitahu,"Dia mengalami sakit mata". Maka Ali dipanggil datang menghadap Baginda. Tiba-tiba Rasulullah S.A.W meludah ke dalam matanya yang sakit dan sembuh dengan segera, dan bendera diserahkan kepadanya.

Ali berkata,"Wahai Rasulullah, perangi mereka sehingga mereka menjadi Islam saperti kita?

Sabda Rasulullah S.A.W,"Teruskan perjalananmu sehingga sampai ke tempat mereka, ajak mereka kepada Islam dan perintahkan mereka melaksanakan hak yang wajib ditunaikan (dalam ajaran Islam). Demi sesungguhnya Allah memberi hidayah kepada seseorang dengan sebab kamu lebih baik daripada barang yang paling mahal harganya".

Hadis ini menunjukkan bahawa peroses dakwah dan motivasi sehingga mengubah fikiran adalah yang terbaik dan pertama dilakukan. Maka PAS tetap mengambil pendekatan demokrasi walaupun penuh dengan kelemahan dan kejahatan dan kita wajib berjihad dengan cara ini selagi peluang masih ada. Maka jangan terpengaruh dengan pendekatan lain yang cuba ditonjolkan, sesungguhnya kepatuhan kepada jama’ah hukumnya wajib.

Allah berfirman menceritakan Nabi Musa A.S di dalam Surah Yunus ayat 88-89,"Dan berkatalah Nabi Musa A.S, Wahai Tuhan kami. Engkau telah berikan kapada Firaun dan pembesar-pembesarnya perhiasan dan harta benda dunia sehingga mereka sesat dan dapat menyesatkan (rakyat) dari jalanmu. Wahai Tuhan. Binasakan harta mereka dan tutup pintu hati mereka sehingga mereka melihat azab yang pedih. Tuhan berfirman; Sesungguhnya doa kamu berdua (Musa dan Harun) telah diperkenankan, maka kamu mestilah beristiqamah (berada dijalan dan cara yang betul) dan jangan sekali-kali mengikut jalan mereka yang tidak mengerti".

TARBIYAH SIYASIYAH

Kemuncak perjuangan Islam didunia ini ialah menegakkan negara Islam dengan acuan yang dinyatakan oleh Allah, di antaranya firman Allah Taala di dalam Surah An Nur ayat 55,"Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman di kalangan kamu dan mengerjakan amal yang soleh, bahawa Dia akan menjadikan mereka golongan yang memerintah sebagaimana dikurniakan kepada mereka yang sama di zaman dahulu, dan Dia menjadikan agama yang ia redha ini (Islam) berkuasa memerintah, dia menukar keadaan ketakutan kepada keamanan, mereka mengabdikan diri kepada Ku dan mereka tidak menyengutuiKu dengan sesuatu yang lain dan sesiapa yang kufur selepas itu mereka adalah orang-orang yang fasik".

Ayat-ayat ini menegaskan Tarbiyah Siasiyah itu dengan senarai berikut :

* Adanya jamaah (parti) yang berjuang.
* Memenuhi keperluan tarbiyah iman, amal, dan jihad.
* Negara mengikut acuan Allah.

APLIKASI TARBIYAH


Al Quran dan Hadith Nabawi menegaskan bahawa kemenangan perjuangan Islam itu adalah kurnia Allah dengan syarat-syarat dan ciri-ciri yang menunjukkan kematangan pendukung cita-cita Islam. Amirul Mukminin Umar bin Al Khattab R.A telah menyimpulkan perkara ini dalam perutusannya kapada Saad bin Abi Waqqas R.A, yang ditugaskan memimpin jihad menetang Farsi, salah satu Kuasa Besar dunia di zaman itu :

"Adapun selepas itu (Bismillah). Maka sesungguhnya aku memerintahmu dan bala tentera bersamamu supaya bertaqwa kepada Allah (dengan mentaati perintahNya dan meninggalkan laranganNya) dalam semua keadaan, maka sesungguhnya bertaqwa itu persediaan terbaik dan perancangan paling teguh di medan perang. Aku memerintahmu dan sesiapa sahaja (tiap- tiap individu) bersamamu supaya berwaspada menjaga diri sendiri lebih daripada berwaspada menghadapi musuh kerana sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh bala tentera sendiri lebih merbahaya daripada musuh mereka, dan sesungguhnya orang-orang Islam itu diberi kemenangan dengan makasiat yang dilakukan oleh musuh, kalau tidak kerana itu kita tidak mempunyai jumlah bilangan yang sama saperti mereka dan kelengkapan kita juga tidak sama saperti mereka, kalau kita sama sama mengerjakan maksiat saperti mereka, mereka pula mempunyai kekuatan yang lebih daripada kita. Kalau kita tidak mempunyai kemuliaan yang mengatasi mereka nescaya kita tidak dapat mengalahkan kekuatan yang ada pada mereka. Ketahuilah, bahawa bersama kamu dalam perjalanan kamu itu para Malaikat yang memerhati amalan kamu yang bertugas daripada Allah, mereka mengetahui apa sahaja yang kamu lakukan, maka malulah kepada mereka, dan jangan sekali-kali melakukan ma’asiat padahal kamu dalam perjalanan berjuang kerana menegakkan agama Allah. Dan jangan kamu berkata; Musuh kita lebih jahat daripada kita, maka mereka tidak boleh mengalahkan kita". Kerap berlaku kaum yang dikalahkan oleh musuh yang lebih jahat daripada mereka, sebagaimana berlaku ke atas kaum Bani Israel apabila mereka mengerjakan maksiat di mana mereka dikalahkan oleh orang-orang kafir Majusi (penyembah api) di mana musuh dapat bermaharajalela (menawan dan membunuh) sampai ke celah-celah kampung, itulah ketetapan yang pasti berlaku. Bermohonlah kepada Allah akan pertolongan untuk menghadapi diri kamu sendiri sebagaimana kamu bermohon kemenangan menentang musuh musuh kamu dan aku juga bermohon untuk kami dan juga untuk kamu".

Taqwa adalah perkara penting yang menjadi syarat bagi mendapat pertolongan Allah dan perjuangan kita diberkati. Kesemua perkara yang dilahirkan oleh tarbiyah yang berjaya dalam segala aspek tersebut di atas disimpulkan di dalam perkara yang dinamakan TAQWA yang dihuraikan oleh Allah dalam ayat ayat yang berikut :

Firman Allah Taala di dalam Surah Al Baqarah ayat 2-5,"Kitab ini tidak syak lagi di dalam nya petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa. Meraka itu ialah orang-orang yang beriman kepada perkara yang ghaib, mereka juga mendirikan sembahyang dan menginfaqkan daripada apa-apa yang kami beri rezqi kepada mereka. Mereka juga beriman kepada apa yang diturunkan kepada mereka (Al Quran) dan apa yang diturunkan (kitab sebelumnya serta mereka percaya kepada hari akhirat. Mereka itulah orang-orang yang berada diatas hidayah Tuhan mereka dan mendapat kemenangan".

Dan firman Allah di dalam SUrah Al Baqarah ayat 177,"Bukanlah kebajikan itu seqadar bahawa kamu berhadap wajah ke arah Timur dan Barat, tetapi kebajikan itu ialah sesiapa yang beriman kepada Allah, Hari Akhirat, Para Malaikat, dan Para Nabi serta memberi harta dalam keadaan sayangnya kepada harta itu untuk kaum keluarga anak-anak yatim, orang-orang miskin, orang musafir yang memerlukan bantuan, orang-orang yang meminta sedekah dan hamba-hamba dan juga dia mendirikan solat dan menunaikan zakat, begitu juga orang-orang yang menunaikan janji apabila berjanji dan bersabar ketika menghadapi kesusahan, kesempitan dan dalam perjuangan ketika menghadapi musuh. Mereka itulah orang-orang yang benar (beriman) dan bertaqwa".


Ayat-ayat ini juga menunjukkan betapa erat sifat taqwa yang lahir daripada iman, amal dan jihad melalui tarbiyah yang bersumberkan Kitab Allah dan Sunnah Rasul S.A.W itu dengan Gerakan Islam di mana Parti Islam Se Malaysia (PAS) menjadi wadah yang wajib dipelihara dan dipertahankan dengannya, kerana Islam menjadi rahsia ketahanan PAS sepanjang perjalanannya yang penuh cabaran. Pasang surut hanya keputusan pilihanraya, tetapi kematangan parti dan kesinambungan kepimpinan dan pangikut tetap bertambah matang, kerana kita membangun bersama Islam dan membina keperkasaan juga dengan Islam, rebah bangun tetap bersama Islam dan dengan Islam kita mendapat petunjuk yang sebenar.

“Wahai Tuhan kami! janganlah hati kami terpesong setelah engkau mengurniakan petunjuk kepada kami dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisi Mu. Sesungguhnya Engkau Tuhan Yang Maha melimpah kurnian Nya".

Oleh : Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang

Thursday, July 21, 2011

Definisi ULAMA : MENURUT AL QURAN DAN HADIS



Ustaz, siapa yang dikatakan ulama itu? Berapa lama tempohnya nak jadi ulama? Adakah tempoh lama menjadi pendakwah menjadi syarat orang itu boleh diiktiraf menjadi ulama? Berikut adalah soalan-soalan yang kerap ditanya kepada saya sejak kebelakangan ini. Ramai sungguh yang bertanya saya persoalan begini. Jika jawapanya seperti pensyarah universiti pasti panjang berjela. Sebenarnya sudah banyak hal ini ditulis. Namun ramai yang tidak membacanya, mungkin kerana jemu, malas atau tiada masa. Maka saya jawab secara ringkas berdasarkan beberapa nas Al Quran dan Hadis yang sudah ribuan tahun dipelihara Allah Taala sumber-sumbernya.

Secara mudah, ulama adalah jama’ (plural) kepada perkataan ‘alim. ‘Alim pula yang berilmu. Bila disebutkan ‘alim dalam kefahaman kita, ia adalah yang berilmu agama. Kriteria seorang ulama yang hakiki terlalu banyak untuk disenaraikan. Antaranya :

[1] Bertaqwa. Hal ini disentuh berdasarkan firman Allah Taala :

“Hanya yang takutkan Allah di kalangan hamba-hamba-Nya adalah ULAMA“ [ Surah Al Fatir:28 ]

Saidina Anas R.A menambah,”Sesiapa yang tidak takutkan Allah bukanlah orang ‘alim”.

Oleh kerana itu, kriteria utamanya mestilah takutkan Allah. Kalau berani lawan hukum-hukum Allah, bersekongkol dengan golongan sekular, mendiamkan kemungkaran kerana takut dibayangi hukuman kerajaan, ilmuwan seperti ini walau ada Ph.D bertimbun pun tidak diiktiraf sebagai ulama.

Begitu juga kepada mana-mana ilmuwan yang memiliki berlembar-lembar ijazah, tetapi tidak beradab dengan para ulama, maka bukanlah juga dia orang yang ‘alim.

Salah satu tanda seseorang itu takut kepada Allah adalah dia mencintai para kekasih Allah dan tentu sekali menjaga lidahnya dari perkataan buruk, menghina atau mencela kepada mereka. Adakah wajar seorang yang berilmu mengheret nama-nama tokoh besar seperti Imam Al Ghazali, Imam An Nawawi, Sheikh Abdul Qadir Jailani dengan kata-kata nista? Adakah selayaknya seorang yang berpengetahuan Islam itu mencaci ulama yang berbeza pendapat (khilaf) dengan cacian ‘ulama kepala lutut? Jika beginilah sikap ilmuwan, maka bukanlah dia seorang yang berhak dijadikan rujukan umat mahupun digelar seorang ‘alim.

[2] Berguru. Dalam sebuah hadis yang sahih :

“Ilmu itu diperoleh dengan cara ta’allum (dipelajari dari guru), kefahaman itu dengan cara tafaqquh (bertemu dengan guru menagih kefahaman darinya) dan sesiapa yang Allah mahu baginya kebaikan, maka Allah akan memberikan kepadanya kefaqihan (kefahaman) dalam hal ehwal agama”. [ Tarikh Dimashq Ibn Asakir ]

Syarat utama mahu menjadi ‘alim mesti belajar. Tempohnya? Tentu sekali panjang kerana ilmu kurniaan Allah itu tiada batasan.

Ilmu bukan hanya membaca buku sendiri. Bukan juga dengan cara google atau melihat sesawang blog sahaja. Ia juga bukan dengan hanya pandai menyusun bicara atau rajin mengarang tetapi mestilah dengan dipelajari secara disiplin dengan tertib dan adabnya dari guru yang belajar pula dengan gurunya sehinggalah kepada penghulu kepada semua guru-guru iaitu, Baginda Rasulullah S.A.W.

Hari ini ramai yang mampu berpidato dan menulis ilmu tentang agama. Kepesatannya diibaratkan Malaysia sudah ada 10 juta orang mufti kerana masing-masing hendak mengeluarkan fatwa. Malangnya, tidak pernah pula belajar dari sumbernya. Malah ada juga yang tidak menghormati golongan ulama yang sebenar.

Mereka yang merasakan diri sudah ‘alim hanya semata-mata dengan pembacaan di sana sini juga tidak sepatutnya dilabel ulama.

[3] Mewarisi hikmah kenabian (ilmu dakwah). Berdasarkan hadis sahih yang lain pula :

“Sesungguhnya ulama adalah pewaris para Nabi” [ Sunan Ibn Majah, Tirmizi dan Musnad Imam Ahmad ]

Apa yang ulama warisi? Tentu sekali ilmu. Apa yang patut ada pada mereka? Menyambung perjuangan, dakwah dan kepimpinan Para Nabi. Mereka yang berpeluk tubuh sahaja menunggu kemenangan bukanlah ulama.

Pewaris Nabi yang sebenar tentulah menyedari tanggungjawab ilmu yang mereka perolehi memikul tanggungjawab dakwah yang sangat berat.

Inilah yang disebutkan dalam hadis yang lain bahawa ilmu itu dihilangkan oleh Allah dengan cara mematikan para ulama. Ketika itu manusia akan mengangkat orang yang jahil sebagai pemimpin, sesat lagi menyesatkan. Hal ini bermakna, selagi ulama itu hidup kumpulan elit di sisi Allah ini perlu memimpin masyarakat, menyelamatkan mereka dari kesesatan yang selayaknya menjadi tugas sebagai waris Para Nabi.

Malangnya hari ini ada yang mengatakan ulama sepatutnya jauh dari politik dan permasalahan negara. Ulama perlu berceramah dari masjid ke masjid sahaja. Ulama hanya perlu menulis kitab atau memilki blog peribadi. Ulama duduklah di atas sajadah mendoakan kebahagian ummah. Urusan kepimpinan serahkan sahaja kepada yang lain. Pewaris Nabi jangan ganggu urusan pewaris Qaisar. Begitu?

Pemikiran begini sangat berbahaya. Nantikanlah kiamat bila semua manusia berfikiran begini, kerana waktu itu sama ada “mati”-nya jasad ulama ataupun hak dan peranan mereka cuba di-matikan.

Lupakah kita, kalah atau menangnya ulama rabbani itu mereka semua dipimpin atas petunjuk Allah.

“Jika apa yang engkau serukan kepada mereka sesuatu yang terbentang luas dan mudah diperolehi, destinasinya tidak begitu jauh, tidak sukar menuju matlamatnya. Nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu. Tetapi tempat yang hendak dituju (bagi redha Allah) itu jauh bagi mereka (sehingga ada yang terkandas)...” [ Surah At Taubah:42 ]


Ada disebut dalam hadis qudsi perihal kekasih Allah bahawa penglihatan, pedengaran dan pergerakan mereka semua itu dipandu oleh Allah. Itu semua adalah hasil berkat amalan mereka yang jujur ingin menggapai redha Allah.

Mana yang lebih baik, pergerakan yang dipandu oleh Allah atau mereka yang dijenterai politikus rakus dan pemikir genius?

Catatan Hujung :

1) Pendakwah tidak semestinya ‘alim. Ibarat penjual sesuatu produk tidak semestinya arif segala perkara yang dijualnya. Pendakwah ibarat yang mempromosikan produk Islam. Tetapi yang mengerti produk itu sendiri adalah seorang ‘alim. Ada juga yang mengerti produk, tetapi tidak tahu mempromosikannya. Maka ulama yang hebat lazimnya memiliki kedua-dua kemahiran ini.

2) Gulungan ijazah bukan isyarat seorang itu ‘alim atau tidak. Tetapi syarat nak jadi ‘alim mesti belajar. Zaman kita biasanya bila belajar di sebuah institusi, dapatlah gulungan ijazah. Begitupun tidak semua yang dapat gulungan ijazah itu benar-benar belajar. Fahamilah.

3) Ulama ada pelbagai peringkat. Dari sehebat seorang Mujtahid Mutlaq sehinggalah seorang mufti, sampai kepada seorang ‘alim biasa.

4)
Sebuah hadis yang sahih menjelaskan kelebihan orang yang ‘alim itu akan didoakan keampunan baginya oleh seluruh makhluk yang berada di langit dan di bumi. Untung bukan? Siapalah kita.


Oleh : Ustaz Syed Abdul Kadir Al Joofre

Monday, July 4, 2011

ALLAHU AKHBAR.. ALLAHU AKHBAR... ALLAHU AKHBAR... YDPA Tuanku Mizan Zainal Abidin titah kerajaan adil dan bijaksana


KUALA LUMPUR, 3 Julai: Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan agar kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan rakyat secara adil dan bijaksana serta menyelesaikan masalah dengan rundingan.

Titah ini dikeluarkan baginda seminggu menjelang perhimpunan Bersih 9 Julai ini dengan kira-kira 100 orang sudah ditangkap kerana dikaitkan dengan perhimpunan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara pula telah mengeluarkan kenyataan pintu rundingan sudah ditutup dan akan menahan pihak yang terlibat dengan perhimpunan ini.

Menurut Tuanku Mizan, baginda mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Bersih 2.0 yang didokong oleh berpuluh-puluh NGO dan parti politik merancang untuk mengadakan perhimpunan 9 Julai ini di Kuala Lumpur bagi menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agung memohon baginda membantu mendapatkan pilihan raya yang bersih dan adil untuk rakyat negara ini.

Lapan tuntutan dikemukakan untuk tujuan tersebut iaitu:-


Tuntutan Segera Perhimpunan BERSIH 2.0

1. Bersihkan senarai undi


• Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal.

• Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.

2. Mereformasikan undi pos


• SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.

• Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.

• Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.

3. Gunakan dakwat kekal

• Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.

4. Masa kempen minima 21 hari

• Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja.

• Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.

5. Akses media yang bebas dan adil

• RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding.

• Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.

• Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.

6. Kukuhkan institusi awam


Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.
Contohnya :

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil.

Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak.

Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa.

Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

7. Hentikan rasuah

Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.

Pembelian undi harus dihentikan!

Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan.

8. Hentikan politik kotor


BERSIH 2.0 menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor.

Tuntutan ini adalah kesinambungan Bersih pertama yang dibuat menjelang pilihan raya ke 12 lalu.


Berikut adalah kenyataan penuh baginda.



TEKS PENUH KENYATAAN YANG DIPERTUAN AGUNG

Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".

Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.


Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara.

Friday, July 1, 2011

27 Rejab –Peristiwa Kebesaran Islam – Israk Mikraj Nabi Muhammad S.A.W.

Peristiwa Israk Mikraj


1. Sebelum Israk dan Mikraj


Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah; iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A. S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

- Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

- Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

-Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

-Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

-Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.
-Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

-Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

-Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

-Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.


3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

. Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

i. Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.

ii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S. iii. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.
iv. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

v. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.


vi. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH". Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

vii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

viii. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

ix. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A. S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

5. Selepas Mikraj


Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id) Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Mafhum Firman Allah S. W. T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1). wallahua'lam..


SUMBER:

http://fullfilth.blogspot.com

Mari Mengaji

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails