{Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya dan mereka tidak ragu (dalam keimanan itu) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka serta diri mereka pada jalan Allah. Merekalah orang-orang yang benar (dalam menghayati keimanan/aqidah)} (al-Hujurat : 15)

Wednesday, February 23, 2011

Jadilahlah manusia yang tinggi akhlaknya.



Jadilahlah manusia yang tinggi akhlaknya.

Islam meletakkan aspek akhlak di kedudukan tertinggi sekaligus membuktikan Islam merupakan agama yang mementingkan keperibadian ummah yang luhur. Malah Nabi SAW diutuskan Allah sebagai pembina akhlak sekalian umat Islam.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada suatu amalan seorang hamba yang paling berat timbangannya pada hari kiamat melebihi akhlak yang baik.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Hadis ini mengingatkan umat Islam supaya sentiasa menjalani kehidupan di dunia dengan akhlak yang mulia kerana akhlak mulia seseorang mukmin membuktikan dia sudah memperkasakan jati diri serta keimanannya.

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Dan sesungguhnya sebaik-baik keislaman seseorang adalah yang paling baik akhlaknya.” (Hadis riwayat As-Suyuthi)


Oleh itu, di samping kita memenuhi segala perintah Allah dengan mengerjakan amal ibadah wajib dan sunat, soal akhlak tidak boleh dipandang remeh kerana kepincangan yang berlaku dalam masyarakat hari ini semua berkait dengan keruntuhan akhlak yang semakin merisaukan.

Nabi SAW pernah didatangi perwakilan, lalu mereka bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, siapakah hamba Allah yang dicintai-Nya? Nabi SAW menjawab: Orang yang baik akhlaknya.” (Hadis riwayat Al-Haitsami)

Amalan ibadah yang ikhlas kepada Allah disertakan budi pekerti terpuji, seseorang itu dijamin Rasulullah SAW mendapat ganjaran besar di hari akhirat kelak.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Saya menjamin sebuah rumah yang paling tinggi tingkatnya di syurga bagi orang yang berbudi pekerti.” (Hadis riwayat Al-Haitsami)

Kita juga seharusnya menjadikan berdoa sebagai amalan memperbaiki akhlak dengan budi pekerti luhur kerana Nabi SAW sentiasa berdoa yang bermaksud: “Dan berikanlah hidayah padaku agar baik akhlakku. Tidak ada yang mampu memberi hidayah untuk memperbaikinya kecuali Engkau.” (Hadis riwayat Muslim)

Untuk memperbaiki akhlak diri, kaedah terbaik ialah dengan sentiasa bermuhasabah serta merenung perjalanan hidup melalui tingkah laku, pertuturan atau budi ditabur kepada masyarakat. Jika apa dilaksanakan menepati piawaian, dengan izin Allah kita tampil sebagai seorang yang hebat.

Janganlah anggap dengan menjaga solat saja maka kita dikira hebat di sisi Allah kerana akhlak diri akan menjadi kayu pengukur seterusnya untuk menjadikan kita mukmin dikasihi Allah.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Penyebab utama masuknya manusia ke syurga adalah bertakwa kepada Allah dan kebaikan akhlaknya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Lihatlah susunan tertib orang yang dibenarkan masuk ke syurga Allah iaitu pertama, orang yang bertakwa dan memiliki budi pekerti baik. Malah Nabi SAW juga mengatakan ganjaran akhlak baik sangat tinggi sehingga menyamainya dengan amalan orang yang rajin berpuasa dan solat malam.

Begitulah tingginya kedudukan insan berakhlak mulia dan sewajarnya ibu bapa dalam mendidik anak perlu menekankan pembinaan akhlak mulia yang akan melahirkan modal insan memiliki jati diri serta berketrampilan.

Akhlak yang baik juga membolehkan seorang hamba mendapat tempat hampir dengan Rasulullah SAW di akhirat kelak.

Ini dijelaskan Nabi SAW dalam sabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling aku cintai dan paling dekat tempat duduknya dariku pada hari kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Usah pandang remeh urusan pendidikan akhlak kepada anak sejak kecil lagi kerana ketika itu mereka lebih mudah dibentuk berbanding apabila sudah dewasa dan terdedah pengaruh sekeliling yang menjurus tingkah laku negatif.

Justeru, mendidik anak dengan akhlak sempurna dan menepati kehendak agama seharusnya diutamakan ibu bapa. Kita harus percaya kekuatan iman dan takwa tidak tertakluk kepada amal ibadah spiritual semata-mata kerana akhlak dan budi pekerti mulia turut meningkatkan kekuatan iman.

Tuesday, February 22, 2011

Enam Golongan yang Sukar Menerima Dakwah



Enam Golongan yang Sukar Menerima Dakwah

PENDAHULUAN

Surah Al Baqarah [2] : [255]

.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).


PENGENALAN

Asas bagi penulisan artikel ini adalah dari buku-buku yang banyak menulis tentang metod berdakwah, ciri-ciri pendakwah, mendekati orang yang ingin didakwahkan dan sebagainya. Tetapi, penulisan mengenai siapakah orang paling sukar menerima dakwah adalah sangat kurang.

Contohnya, apabila ditanya kepada beberapa orang Islam, apakah isi khutbah jumaat (selepas solat jumaat), mereka tidak ingat malah ada yang tertidur. Ditanya pula apakah isi ceramah, tazkirah dan seumpamanya pada beberapa orang selepas tamat sesi tersebut, jawapan mereka lebih kurang sama. Perkara ini berlaku pada kebanyakan orang, anda boleh bertanya kepada diri sendiri dan boleh juga bertanya pada orang lain untuk melakukan ujikaji sendiri jika mampu bagi memastikan kebenarannya.

Mengenai orang bukan Islam pula, apabila ditanya mengenai agama Islam, mereka lebih mempercayai media cetak, media elektronik, ‘media angin’ (khabar angin), memerhatikan tingkah laku orang Islam yang buruk dan menganggap semua agama adalah sama. Malah tidak kurang juga yang mengatakan Islam menggalakkan keganasan dan mencabuli hak kemanusiaan serta melanggar ‘Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia’ (saya menggelarnya Deklarasi Dajjal). Contoh yang diberi seperti poligami, menutup aurat dan sebagainya.

Surah An-Nahl [16] : 108

108. Mereka itulah orang-orang yang hati, pendengaran dan penglihatannya telah dikunci mati oleh Allah, dan mereka itulah orang-orang yang lalai. (Ayat ini ditujukan kepada orang kafir.Sila lihat empat ayat sebelumnya).

Sebenarnya mengetahui perkara ini (perkara yang menyebabkan sukar menerima dakwah) adalah perkara yang sangat penting kerana segala isi pengajaran yang didapati dalam sesi pembelajaran atau dakwah itu perlu diaplikasikan di dalam diri. Maksudnya ialah, dakwah perlu difahami kemudian memastikan kebenarannya serta menerima kebenaran itu dengan jujur dan barulah diyakini serta beramal dengannya.

Satu contoh yang mudah; jika seseorang berdakwah mengatakan sembahlah Allah yang Maha Besar, maka perlu kita fahami makna ‘Maha Besar’ itu. Iaitu, tidak ada yang lebih besar melainkan Allah. Kebenarannya, lihatlah isi di langit dan di bumi. Mampukah manusia sekecil kita mencipta semua itu (mencipta bulan, matahari, tanah, lautan dan lain-lain)? Kemudian terimalah kebenaran itu dengan jujur dan seikhlas hati dan mengucapkan tiada tuhan selain Allah yang Maha Besar.

Surah An-Nuur [24] : 54

54. Katakanlah: "Taat kepada Allah dan taatlah kepada rasul; dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya kewajiban rasul itu adalah apa yang dibebankan kepadanya, dan kewajiban kamu sekalian adalah semata-mata apa yang dibebankan kepadamu. Dan jika kamu taat kepadanya, nescaya kamu mendapat petunjuk. Dan tidak lain kewajiban rasul itu melainkan menyampaikan (amanat Allah) dengan terang."


ISI PERBINCANGAN

Persoalannya, sejauh mana dakwah para pendakwah benar-benar berkesan terhadap penerima dakwah? Sedikit kajian, pemerhatian dan penelitian dalam Al-Quran, Hadis dan sirah Nabi Muhammad saw, didapati beberapa golongan yang sangat sukar menerima dakwah dan berdakwah kepadanya. Moga-moga kita terhindar dari menjadi golongan seperti ini, antaranya;

1. Mereka yang Menolak Kebenaran


Surah Al-Anfaal [8] : 22

22. Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah; orang-orang yang pekak dan tuli yang tidak mengerti apa-apapun.

Maksudnya, manusia yang paling buruk di sisi Allah yang Maha Agung ialah yang tidak mahu mendengar dan memahami kebenaran. (Rujukan : Tafsir Ibn Katsir)


Zaman ini : Setelah mendengar seruan Nabi Muhammad salallahu ‘alaihi wasallam (saw) mereka mengingkarinya dan mengatakan itu adalah amalan orang-orang lama (konservatif) dan pemikiran yang beku (jumud). Mereka menolak hadis-hadis dari Rasulullah saw dengan pelbagai alasan, malah mengatakan hadis-hadis inilah punca perselisihan dan perpecahan umat Islam sekarang.

Orang-orang seperti ini sangat sukar menerima dakwah kerana mereka sendiri enggan mengakui akan kebenaran Al-Quran dan Nabi Muhammad saw. Perkara ini bukan hanya terjadi pada orang kafir dan munafik sahaja, malah tergolong juga pada orang-orang yang mengaku Islam pada mulutnya, tetapi tidak beriktikad dalam hatinya.

Mereka tetap bersolat dan melaksanakan ibadah sebagai seorang muslim, tetapi mereka menolak apa yang diperintahkan Allah yang Maha Agung melalui Rasul-Nya dan sebenarnya mereka tidak mengetahui mereka telah cenderung kepada kemunafikan dan kekufuran. Contohnya; Mereka mengatakan ada perkataan dan hukum yang lebih baik dari Al-Quran, malah mencaci pula Rasulullah saw dan para sahabatnya r.a.

Hadis : Dari Abu Hurairah : Rasulullah saw bersabda, "Barangsiapa taat kepadaku, bererti dia telah taat kepada Allah SWT; dan barangsiapa menderhakaiku, bererti dia derhaka kepada Allah SWT." (0003) [Sahih Ibnu Majah]

2. Mereka yang Taksub Mengikuti Tradisi

Surah Al-Baqarah [2] : 170

170. Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah," mereka menjawab: "(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami". "(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?".

Maksudnya, mereka yang telah diseru supaya mengikut perintah dan larangan Allah yang Maha Agung, tetapi mereka ingkar dan beralasan tradisi nenek moyang tidak boleh ditinggalkan, iaitu penyembahan berhala dan membuat sekutu-sekutu bagi Allah yang Maha Agung. (Rujukan : Tafsir Ibn Katsir)

Zaman ini : Manusia zaman ini pula tidak terlepas dari mengikut tradisi nenek moyang mereka walaupun ia bertentangan dengan syariat. Amalan-amalan khurafat zaman dahulu seperti keris sakti pusaka, cincin geliga yang mampu menyembuh penyakit, gelang dan rantai yang dapat memberi kesihatan dan pelbagai lagi sekutu-sekutu yang diciptakan bagi menidakkan kekuasaan Allah yang Maha Agung.

Selain itu ada pula yang mengikuti tradisi kitab. Apabila berdakwah kepadanya mengenai sesuatu amalan atau ibadah yang bercanggah dengan syariat dan dikemukakan kebenaran dan faktanya, mereka mengatakan kitab itu hasil nenek moyang mereka dan mereka tetap mengikut kitab itu. Walhal kitab itu penuh penyelewengan seperti penuh hadis palsu, salah faham dalam penafsiran dan sebagainya.

Orang-orang seperti ini sangat sukar berdakwah kepadanya kerana mereka begitu taksub dengan tradisi mereka.

Hadis : Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa menyeru ke jalan petunjuk (kebaikan), maka baginya pahala seperti pahala orang-orang yang mengikutinya, yang tidak terkurangi sedikitpun dari pahala-pahala amal mereka sama sekali.


Barangsiapa menyeru kepada jalan yang menyesatkan, maka baginya dosa semisal (sama) dosa orang-orang yang mengikutinya, yang tidak terkurangi sedikitpun dari dosa-dosa mereka sama sekali.” (0172) [Sahih Ibnu Majah]

3. Menyangka Majoriti adalah Kebenaran

Apa yang dimaksudkan adalah; melihat ramai orang yang melakukan sesuatu kemungkaran, dan kita menyangka bahawa perkara itu dibolehkan dalam syariat. Contohnya wanita yang memakai tudung yang jarang, wanita yang berbaju lengan pendek dan mempamerkan bentuk badan, wanita yang menyanyi di pentas (anugerah itu dan ini) dan pelbagai lagi yang bertentangan dengan syariat.

Walaupun contoh diatas pelakunya adalah wanita, tetapi di belakangnya terdapat kaum lelaki yang membiarkan malah menganjurkannya pula kerana mereka (lelaki) juga menyangka perkara itu dibolehkan. Ini termasuk para suami dan para bapa; sedangkan lelaki itu adalah pemimpin kepada wanita dan mereka akan ditanya tentang kepimpinan mereka.

Surah An-Nisaa' [4] : 34

34. Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), .......

Apabila tiba hari pembalasan, orang yang dipimpin akan mula menyalahi para pemimpinnya kerana terlalu takut.

Surah Al-Ahzab [33] : 67

67. Dan mereka berkata: "Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar).


Apa yang penting adalah, kebenaran itu didasari dengan ilmu. Di manakah pula cara, atau sumber kepada ilmu bagi mendapatkan kebenaran? Jawapannya adalah; Al-Quran dan Hadis termasuk juga ijtihad dan kesepakatan seluruh ulama. Selain itu terdapat juga ijtihad perseorangan ulama yang muktabar (kepelbagaian pendapat).

Kebenaran itu tidak semestinya mengikut majoriti, jika terdapat kesalahan dan kesilapan orang terdahulu kemudian setelah diketahui kebenarannya, hendaklah kita menerima dengan hati yang terbuka dan perbetuli kembali kesalahan dan kesilapan itu agar tidak membiarkan generasi akan datang terus menerus dalam kesilapan.

Hadis : Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Kalau amanah tidak lagi dipegang teguh, maka tunggulah saat kehancuran.

Ia (Abu Hurairah) bertanya, ‘Bagaimana orang (yang) tidak memegang teguh amanah itu ya Rasulullah?’

Beliau (Nabi saw) menjawab, “Kalau sesuatu urusan telah diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran.” (1746) [Sahih Bukhari]

4. Mereka yang Berilmu Pengetahuan


Surah Al-Mu'min [40] : 83

83. Maka tatkala datang kepada mereka rasul-rasul (yang diutus kepada) mereka dengan membawa keterangan-keterangan, mereka merasa senang dengan pengetahuan yang ada pada mereka dan mereka dikepung oleh azab Allah yang selalu mereka perolok-olokkan itu.

Di antara orang yang paling sukar didakwahkan juga adalah orang yang ‘menyangka’ dia sudah mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup. Sebarang pendapat yang berlainan dengannya akan ditentang habis-habisan walaupun bertentangan dengan hadis Nabi saw. Mereka akan berhujah dengan kitab itu dan ini, kata-kata guru itu dan guru ini malah mereka lebih mengikut pendapat guru dan kitab mereka melebihi perkataan Rasulullah saw sendiri.

Apa yang lebih melucukan adalah, mereka menggunakan dalil yang langsung tidak layak seperti suratkhabar, radio dan sebagainya bagi menentang atau beralasan menolak hadis Rasulullah saw.

Hadis (diringkaskan): Dari Irbadh bin Sariyah : Rasulullah saw bersabda, “....Kamu akan melihat perselisihan yang sangat dahsyat sesudahku, maka hendaklah kamu berpegang pada Sunnah-ku dan Sunnah-Khulafa ur rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah dengan gigi gerahammu dan jauhilah perkara-perkara baru, sesungguhnya setiap bidaah (perkara baru dalam agama) adalah sesat.” (0040)

5. Orang yang Mempunyai Pangkat, Harta dan Kuasa

Surah Az-Zumar [39] : 49

49. Maka apabila manusia ditimpa bahaya ia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat dari Kami, ia berkata: "Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah kerana kepintaranku." Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui.

Umum kita mengetahui sepanjang sejarah dakwah para Rasul dan Nabi mempunyai banyak tentangan dari orang yang mempunyai pangkat, harta dan kuasa (sila rujuk sirah para Nabi dan Rasul). Keadaan ini berterusan pula sehingga ke hari ini, tetapi perlu diingat bahawa pengulangan sejarah ini adalah sebagai satu pengajaran buat umat zaman akhir ini. Apakah yang telah terjadi kepada orang-orang yang menentang risalah Rasul mereka? Mereka menerima kebinasaan di dunia dan di akhirat.

Mereka menganggap segala nikmat yang diberikan oleh Allah yang Maha Agung adalah kerana hasil usaha mereka sendiri. Mereka lupa bahawa nikmat itu pasti akan ditanya kembali pada hari pembalasan mengenai apakah yang telah mereka perbuat terhadap nikmat itu. Mari kita perhatikan kata-kata Qarun;

Surah Al-Qashash [28] : 78

78. Qarun berkata: "Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, kerana ilmu yang ada padaku." Dan apakah ia tidak mengetahui, bahwasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu, tentang dosa-dosa mereka.


Kedua-dua ayat diatas menyatakan akan kesombongan golongan yang kelima ini. Apabila didakwahkan kepada mereka agar mentaati perintah Allah yang Maha Agung dan Rasul-Nya, mereka sangat sombong; mereka berkata ada perkataan yang lebih baik dari itu pada zaman moden ini. Tujuan mereka tidak lain hanyalah untuk menambah kekayaan mereka sahaja dan takut rugi dari segi kehilangan pengaruh dan kuasa.

Hadis : Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Setiap umat ku masuk ke dalam syurga, selain orang yang enggan.”

Mereka bertanya, ‘Ya, Rasulullah, Siapakah yang enggan (masuk syurga) itu?’

Jawab Nabi saw, “Siapa yang mematuhi perintah ku, masuk syurga dan siapa yang melanggar perintah ku, maka sesungguhnya orang itu enggan (masuk syurga).” (1952) [Sahih Bukhari]


6. Sangka Buruk

Surah Al-Hujuraat [49] : 12

12. Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka, kerana sebahagian dari prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjing (memfitnah, mengumpat atau mengata) satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.


Mereka ini sentiasa bersangka buruk pada orang lain, terutamanya kepada orang-orang yang mempunyai kelebihan dari mereka. Mereka mencari-cari kesalahan orang lain tanpa melihat diri sendiri. Mereka juga menganggap mudah mengenai hal-hal ilmu agama dan melihat orang lain lebih rendah dari mereka.

Surah Al-Hujuraat [49] : 11

11. Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan.


Mencela diri sendiri juga bermaksud mencela para mukmin yang lain. Orang seperti ini sukar didakwahkan kerana mereka menganggap orang lain semua sama seperti mereka termasuk juga para ilmuwan dan pendakwah. Padahal di dalam Al-Quran jelas mengatakan orang yang berilmu tidak sama dengan orang yang jahil.

Surah Az-Zumar [39] : 9

9. .......... Katakanlah: "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.


Hadis : Dari Aisyah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Orang yang sangat dibenci Allah ialah orang yang suka bermusuh-musuhan.” (1915) [Sahih Bukhari]


PENUTUP

Setelah kita mengenali enam golongan di atas, dapatlah kita memperbaiki diri agar lebih mudah menerima pendapat orang lain dan bertolak ansur sesama saudara se-Islam. Mungkin juga kita tergolong dalam salah satu golongan di atas, tetapi kita tidak menyedarinya selama ini.

Kepada para pendakwah, strategi yang betul diperlukan bagi menarik minat orang ingin didakwahkan agar dakwah itu benar-benar memberi pemahaman kepada penerimanya. Selain itu, isu-isu yang diutarakan juga perlulah lebih segar, iaitu isu-isu yang berkaitan dengan kehidupan semasa supaya contoh-contoh yang diberikan nampak lebih jelas dan mudahlah untuk mereka memahaminya.

Hanya kepada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayanglah kita memohon perlindungan agar terhindar dari menjadi enam golongan di atas. Kesabaran dalam berdakwah amat diperlukan, janganlah sesekali berputus asa kerana putus asa hanyalah sikap orang kafir.

Surah Al-Baqarah [2] : 153

153. Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.

Hadis : Dari Mu’awiyah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Sentiasa ada segolongan umat ku yang selalu berjuang menegakkan agama AllahTa’ala. Mereka tidak akan celaka oleh orang-orang yang menghina atau menentang mereka sampai hari kiamat. Bahkan mereka tetap menang atas semua manusia.” (1873) [Sahih Muslim]


Rujukan:

Terjemahan Al-Quran dan Tafsir Ibn Katsir

Hadis-hadis sahih

Sirah dan Riwayat Hidup Nabi Muhammad Saw [Abu Mazaya Al-Hafiz]

Metodologi Dakwah [Prof. Dr. Abd Aziz bin Mohd. Zin]

As-Sunnah dalam mengamalkan As-Sunnah [Ustaz Fadlan bin Mohd. Othman]

Wednesday, February 2, 2011

Kenyataan Mursyid Am IM Dr. Mohd Badi’ – Mesir 2011



إن الإخوان المسلمين “وهم جزء أصيل من الشعب المصري الكريم” يتقدمون بخالص التحية والتقدير لشباب مصر وشعبها الحر في طول البلاد وعرضها على انتفاضهتم السلمية المباركة، وعلى الدور الوطني والأداء المشرف في حماية المؤسسات والممتلكات العامة والخاصة.

Sesungguhnya Ikhwanul Muslimin (yang merupakan satu bahagian tulen daripada kalangan rakyat Mesir yang mulia ini) mengucapkan salam tulus dan penghargaan kepada para pemuda dan rakyat Mesir yang merdeka di seluruh pelusuk negara kerana kebangkitan secara aman mereka yang diberkati, peranan patriotik dan tindakan luhur dalam melindungi institusi dan harta benda awam dan juga swasta.

ويؤكد الإخوان المسلمون الدعوةَ إلى الاستمرار في ذلك، ويتقدمون مع جموع الشعب بالتحية إلى جيش مصر صاحب التاريخ الوطني المُشرِّف الذي يمتلك بالتأكيد رؤيةً إستراتيجيةً للحفاظ على أمن مصر وحماية مكتسبات الشعب وتحقيق مطالبه العادلة.

Ikhwanul Muslimin menegaskan seruannya agar segala perkara ini tetap terus dipelihara. Bersama-sama rakyat massa, Ikhwanul Muslimin menyampaikan salam hormat kepada tentera Mesir, pengukir mulia sejarah negara. Pastinya mereka (pihak tentera) mempunyai visi strategik dalam menjaga keselamatan Mesir, melindungi perolehan rakyat dan merealisasikan segala tuntutan saksama mereka.

ويؤكد الإخوان المسلمون أن ما حدث هو ثورة تلقائية سلمية وطنية ترفض الظلم وتطالب بالحرية والإصلاح الشامل، وأن الذين يقومون بتخريب المحال والاعتداء على الممتلكات العامة والخاصة هم شركاء الجهاز الأمني من البلطجية الذين سبق أن استعان بهم الأمن في قمع الشعب وتزوير إردته في الانتخابات.

Ikhwanul Muslimin juga menegaskan bahawa, apa yang berlaku kini adalah merupakan sebuah revolusi (arus perubahan) yang tercetus secara automatik (tanpa dirancang) dan aman, hasil dorongan semangat kebangsaan yang menolak kezaliman, menuntut kebebasan dan pembaikan yang menyeluruh. Sementara mereka yang bertindak merosakkan kedai-kedai, menceroboh harta benda awam dan swasta, mereka sebenarnya adalah rakan persekongkolan pihak keamanan yang terdiri daripada kumpulan samseng yang sebelum ini pernah digunakan oleh pihak keamanan untuk menindas dan memalsukan kemahuan rakyat semasa pilihanraya.

ويؤكد الإخوان المسلمون أن الشاب الوطني الحر هم الذين تصدوا بأجسادهم لحماية المؤسسات والممتلكات من هذا العدوان الهمجي في ظلِّ غيابٍ كاملٍ لأجهزة الأمن، التي تفرَّغت للبطش بهم، بل وقتلهم، ونسيت مهمتها الأساسية.

Seterusnya, Ikhwanul Muslimin menegaskan bahawa, para pemuda yang cintakan negara lagi merdeka, mereka inilah yang telah berjuang dengan tubuh jasad mereka bagi melindungi institusi dan harta benda ini daripada pencerobohan tak bertamaddun yang berlaku dalam suasana ketiadaan langsung jentera keamanan; jentera keamanan yang menghabiskan seluruh masa dan usaha mereka untuk membantai bahkan membunuh para pemuda ini dengan melupakan tugas asasi mereka yang sebenar.

ويناشدون شباب الأمةَ الاستمرار في حماية مؤسسات الدولة والممتلكات العامة والخاصة مهما كانت التضحيات.

Ikhwanul Muslimin menyeru para pemuda umat untuk tetap terus melindungi institusi negara, harta benda awam dan swasta, walau apa jua pengorbanan yang harus dicurahkan.

والإخوان المسلمون إذْ يتقدمون بخالص العزاء لأسر الشهداء، ويدعون الله أن يتقبَّلهم في الشهداء، ويمنُّ بالشفاء العاجل على المصابين؛ فإنهم يعلنون أنهم مع هذا الشعب الكريم حتى تتحقق مطالب الشعب الأساسية التي اتفقت عليها جموع الشعب وسائر القوى الوطنية والشعبية، وعلى رأسها:

Ikhwanul Muslimin turut memajukan belasungkawa yang tulus kepada keluarga para syuhada`, berdoa kepada Allah agar menerima mereka sebagai syuhada`. Ikhwanul Muslimin juga mendoakan agar Allah mengurniakan kesembuhan segera kepada mereka yang tercedera. Dalam pada itu, Ikhwanul Muslimin mengumumkan bahawa Ikhwanul Muslimin akan tetap bersama dengan rakyat yang mulia ini sehinggalah tuntutan asasi rakyat yang disepakati oleh pelbagai lapisan massa dan kekuatan nasional tercapai, terutamanya ialah:



*
إلغاء حالة الطوارئ فورًا ودون إبطاء.
*
حل مجلسي الشعب والشورى المزورَينِ، والدعوة إلى انتخابات جديدة تحت إشراف قضائي كامل.
*
الإفراج الفوري عن جميع المعتقلين والمسجونين السياسيين.
*
الإعلان عن تشكيل حكومة وطنية انتقالية من غير الحزب الوطني تتولى إجراء الانتخابات النزيهة ونقل السلطة بشكلٍ سلمي.
*
تشكيل لجنة وطنية للتحقيق وتقصي الحقائق في وقائع استخدام العنف والقتل غير المبرر ضد المتظاهرين، والذي تسبب في عشرات القتلى ومئات الجرحى وآلاف المعتقلين.

1 – Membatalkan keadaan darurat dengan segera tanpa penangguhan.

2 – Membubarkan Majlis Rakyat dan Majlis Syura yang dipalsukan, dan menyeru agar pilihanraya baru dijalankan di bawah pengawasan penuh Badan Kehakiman.

3 – Membebaskan segera semua tahanan dan banduan politik.

4 – Mengumumkan pembentukan kerajaan peralihan nasional (yang dibentuk bukan daripada kalangan Parti Kebangsaan) untuk menjalankan pilihanraya yang bersih dan perpindahan kuasa secara aman.

5 – Membentuk jawatankuasa nasional untuk menyiasat dan menyelidik fakta sebenar berkenaan kejadian penggunaan kekerasan dan pembunuhan tanpa alas an kukuh terhadap para demonstrator, yang menyebabkan puluhan orang terkorban, ratusan tercedera dan ribuan ditahan.

ونحن مصرون على الاستمرار في هذه الانتفاضة السلمية حتى تتحقق مطالب الشعب العادلة كاملةً غير منقوصة قبل أن يحصل ما لا نتمناه لوطننا الحبيب، وقد آن لليل أن ينجلي، وللقيد أن ينكسر.. والله نسأل أن يحفظ مصرنا وشعبها من كل مكروهٍ وسوء.

Kami bertekad untuk meneruskan kebangkitan aman ini sehinggalah segala tuntutan rakyat yang saksama tercapai penuh tanpa terkurang, iaitu sebelum sesuatu yang kita tidak ingini berlaku kepada tanah air kita yang tercinta.

Dan telah tiba masanya untuk malam berlalu dan belenggu dipecahkan.. Kami memohon kepada Allah agar memelihara negara Mesir kita, dan rakyatnya daripada segala perkara tak diingini dan keburukan.


التوقيع
أ د. محمد بديع
المرشد العام للإخوان المسلمين
القاهرة: 25 من صفر 1432هـ= الموافق 29 من يناير 20011م

Mari Mengaji

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails